Sunday 10 June 2012

Kenapa enggan berubah?


Kata seorang pensyarah, bahawa dalam dunia akademik, ada politiknya sendiri, ada maruah dan egonya sendiri. Itu jawapannya kepada persoalan saya.

Pensyarah yang lain juga pernah berkata, setiap kelompok manusia memang akan mahukan pengaruh. Tidak semestinya kuasa, tetapi pengaruh dan kepercayaan. Bukan sekadar ahli politik gilakan pengaruh, tetapi setiap kelompok manusia. Profesional, orang-orang agama, pelajar, guru, peniaga dan sesiapa jua.

Beberapa minggu lalu, saya memberi cadangan kepada seorang ustazah di blognya agar berhentilah dari menguli isu cinta kepada mahasiswa di kampus. Mereka sepatutnya sudah melangkaui masalah cinta, mereka perlu berfikir kepada perkara-perkara yang lebih serius dan global.

Lalu beliau kemukakan sebab menolak cadangan saya, bahawa cinta asas kepada semua perkara, jika berdebat isu-isu besar nanti masyarakat akan berbalah, tidak ramai yang akan berminat, dan berbagai-bagai lagi sehingga saya pun letih mahu memautnya kembali kepada jalan utama perbincangan dek terlalu bermain dengan kata-kata.

Lalu saya mendapat jawapan. Kenapa enggan berubah?

Pertama kerana ada ego dan maruah. Kedua, kerana berebut pengaruh. Itu jawapannya.

Datangkanlah berbagai alasan - masyarakat akan berpecah, manusia akan keliru, banyak lagi kemungkaran yang lebih besar – datangkanlah. 

Demikianlah. Saya pun punya ego dan maruah. Saya pun mahu mempengaruhi ramai orang. 

Tetapi pertimbangkanlah ego dan pengaruh dengan apa yang Allah dan Nabi sarankan. Jangan terlalu sibuk mempertahankan maruah dan pengaruh sehingga enggan berubah. Lebih teruk, enggan mempertimbangkan cadangan lain. 

Nilailah dengan apa yang Allah dan Nabi sarankan. Jangan hanya menilai dengan ilmu kita, kerana ilmu yang ada di dada kita, hanya sedikit. 

Pesanan untuk saya, dan kalian. 

Insya Allah, kelak kita bincangkan apakah dengan mendatangkan hujah yang berbagai, lalu masyarakat akan berpecah? Di mana perpecahan itu? Di mana kekeliruan itu? Atau perpecahan dan kekeliruan hanya sekadar alasan untuk malas berbincang? Hanya alasan untuk tidak mahu berubah?


No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...