Tuesday 12 June 2012

Zuriat Kita


Pandanglah pada mata mereka. Usaplah ubun-ubun mereka. Mereka bukan asing, mereka zuriat kita yang perlu kita bimbing. Amanah dari Allah yang sangat penting.

Bukan kita yang menentukan syurga neraka buat mereka. Tetapi mereka yang mungkin lebih berhak menarik kita dari syurga. 

Tanggungjawab yang kita abaikan terhadap mereka. Perlindungan, tunjuk ajar dan bimbingan, semua itu kita tinggalkan. Tidak mungkinkah mereka menyalahkan kita pada hari Keputusan kelak? Tidak mungkinkah? Di dunia pun mereka boleh menuntut hak, apatah lagi di akhirat yang penuh keadilan hakiki. Pada hari itu, mereka yang tidak ditunaikan hak, akan menuntut. Menuntut dari semua yang dahulunya dipertanggungjawabkan.

Sekadar ingatan bersama kepada para ibu bapa, agar memimpin tangan anak-anak dengan berhati-hati sekali. Bukan sahaja bahaya dunia boleh menimpa mereka jika kita lalai, malah lebih menakutkan bahaya akhirat boleh menimpa kita jika pada mereka kita abai.

Janganlah hanya memikirkan apa yang bakal mereka beri pada kita di hari tua, tetapi panjangkanlah impian untuk melihat mereka di syurga. Saya belum punya anak, tetapi memandang si kecil yang cerdik itu terlalu menyentuh hati. Akankah mereka kita bimbing mengikut Nabi? Atau, mereka kah nanti menjadi penyebab kita membelok dari syurga? Segalanya bermula dari tangan kita, akhi.

Diamnya insan kadangkala jauh lebih mengetahui dari yang memekik memberi nasihat berjela. Cuma tahu belum tentu membawa ke daerah mampu. Bangunlah saudaraku. Kami semua menyayangimu.

Dahulunya saya bimbang mereka dibawa dunia bebas ke mana-mana. Namun seminggu bersama mereka, melihat mereka bijaksana, berdikari dan matang, memberi saya sedikit kelegaan. Mereka sesungguhnya dipimpin Tuhan. 

Masih kerisauan ada di jiwa. Mendengar ibu bercerita tentang mimpinya, sungguh membuatkan saya berfikir lebih dalam, mencari penyelesaian. Ya, mimpi bukan hujah. Terlalu dungu untuk hanya bertindak berdasarkan mimpi. Saya tahu. Namun peringatan itu datang dengan berbagai cara.

Semua ini tidak lain, kerana cinta dan sayang. Semoga kita semua dalam pimpinan Tuhan.



No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...