Tuesday 15 February 2022

Kesusahan

Saya pernah ikuti satu temubual Neelofa bersama ibunya. Kata ibunya, Neelofa tidak akan berkongsi apa apa kesusahan dengan beliau. Jika Neelofa ada masalah, dia akan cuba selesaikan dan uruskan sendiri.

Pada saya, kita semua sebolehnya menyembunyikan segala kepayahan hidup. Apa jua masalah, kita cuba selesaikan sendiri. Kadangkala, memberitahu manusia lain itu menambahkan beban masalah. Lebih baik laluinya sendiri.

Sebab itu, kita perlu menjadi baik dengan semua orang. Dalam diri setiap insan, pasti ada kepayahan yang dia sembunyikan. 

Saya bersyukur tentunya dengan kehidupan yang diberi Tuhan. Ada yang hidupnya penuh dengan kepayahan yang jika saya di tempat dia, mungkin saya tak mampu lalui.

Tetapi entah kenapa semalam apabila saya berbicara dengan seseorang yang mengatakan hidup saya sempurna, baik, tenang, cukup serba serbi, saya menitiskan air mata.

Mungkin kerana saya terlalu mujur dan bersyukur, atau saya sebenarnya sedang menahan dari berkongsi sekian beban kehidupan kepada orang lain, ingin sahaja menyenaraikan segala kepayahan yang saya sembunyikan.

Entah yang mana satu sebab titis air mata, saya pun tidak tahu.

Apapun, sekali lagi saya bersyukur tentunya dengan kehidupan yang diberi Tuhan. Ada yang hidupnya penuh dengan kepayahan yang jika saya di tempat dia, mungkin saya tak mampu pun melalui.

Alhamdulillah untuk kehidupan dan kepayahan yang kita mampu lalui.


Monday 14 February 2022

Orang Agama

Humairah, Amirah, Dalilah dan saya duduk di tangga berhadapan kelas kami ketika Tingkatan 6. Melepak. Budaya yang biasa di Maahad jika tak ada guru dalam kelas. Kami bebas, tidak seperti di sekolah lain yang seperti penjara lagaknya. Waktu itu kami di Tingkatan 6, menunggu keputusan SPM beberapa hari lagi. Kami berbincang bidang apa yang akan kami dalami. Kami berbincang mengenai cadangan Ustazah Anizah yang 'memaksa' kami mengambil STAM. Kata beliau, kalau kami ambil, pasti memperoleh mumtaz dengan senang. Tugas cikgu cikgu pun senang, tak perlu nak 'berambat' dengan pelajar kelas hujung untuk menghafal subjek STAM, katanya. Tetapi kami bersepakat bahawa mengambil bidang agama itu adalah amanah yang sangat berat. Apabila difikirkan, kelakar pula gelagat kami. Baru 18 tahun, tetapi berfikir konon seperti dewasa.

Hari ini kami benar benar tidak mendalami bidang agama. Masing masing dalam bidang yang berbeza.

Saya juga hanya belajar agama secara rasmi sehingga Tingkatan 5. Tingkatan 6 hanya 3 bulan. Mudahnya, pelajaran agama dan Bahasa Arab saya hanya sekadar level SPM.

Ketika di universiti, saya diajar ilmu itu ada disiplinnya. Baik ia dituntut secara rasmi atau tidak rasmi, ia jauh dari picisan omelan gorengan sang guru.

Saya kecewa apabila graduan universiti masih dengan mudahnya mempercayai gorengan manusia yang tidak mengikut disiplin ilmu. Orang orang kampung, apalah daya mereka yang hanya inginkan agama yang bernama agama. Allah mengampuni kekhilafan mereka. Namun yang pernah menjejak kaki di univerisiti, mengalami pembelajaran hingga menggenggam ijazah, tidakkah mereka faham kemasnya disiplin ilmu sehingga mereka boleh membela penyampai ajaran yang salah dengan takwilan yang berbagai?

Ilmu itu mulia. Guru itu mulia. Ia tidak boleh diperhinakan dengan kemalasan, keburukan akhlak, dan kepalsuan bersarungkan jubah serban dan terkini tasbih di tangan dan leher. Ilmu itu jauh lebih mulia dari semua itu.

Serendah ilmu agama saya di tahap SPM, saya memuliakan akal bodoh saya dengan tidak mudah mempercayai sang penglipur lara.


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....