Showing posts with label kongsi ilmu. Show all posts
Showing posts with label kongsi ilmu. Show all posts

Friday, 21 December 2012

Aulawiyyat



Semalam, sewaktu solat di surau perpustakaan, ada satu perkara yang saya jumpa. Bukan sekali, malah sudah banyak kali.

Surau itu kecil, boleh memuatkan 1 saf 5 orang sahaja untuk sesuatu masa. Jam 1-2 petang, surau itu akan sesak, kerana ramai yang akan solat di situ. 

Saya berdiri menunggu giliran untuk solat. Ada pelajar yang solat di hadapan sudah memberi salam dan bangun, saya berganjak ke depan. Saya sangka beliau akan keluar dari saf. Rupanya, beliau bangun untuk menunaikan solat sunat! Waktu sudah di hujung rehat. Ramai lagi sedang menunggu giliran untuk solat.

Saya menarik nafas. Saya kenal pelajar itu. Dia pimpinan organisasi Islam di kampus. 

Situasi yang kedua, di surau yang sama. Surau sesak dengan orang yang mahu bersolat, mahu pakai tudung sesudah solat, pakai stokin, tengok cermin, semua mesti dilakukan dalam surau. Tiba-tiba, wujud pula perempuan bertudung labuh yang duduk dengan khusyuk nya membaca Quran di situ. Sudah la fizikal nya menyusahkan orang mahu pakai tudung di surau yang sempit itu, suaranya juga mengganggu jemaah lain yang sedang bersolat.

Lagi saya menarik nafas.

Saya rasa, jangan bermimpi Islam akan diminati ramai kalau yang memakai ‘pakaian Islam’ tidak tahu aulawiyyat.

Selain mengajar orang menukar pemerintah, jangan lupa sebarkan ketelitian Islam dalam menjaga hubungan dengan manusia.

Selain menggalakkan orang bagun malam, jangan lupa sebarkan bahawa Islam menjaga kepentingan awam.

Sifat universal Islam itu kadang kala tenggelam dek keasyikan dengan cerita-cerita ajaib, keasyikan melawan pemerintah, keasyikan mujahadah diri untuk ibadah sunat, dan berbagai keasyikan. Semua itu perlu dilakukan dengan ilmu. Ilmu mendahului amal. Tengoklah situasi di atas apabila amal mendahului ilmu! Kelihatan kecacatan yang ketara amat.

Apabila saya bercerita tentang perkara ini, jangan ada pula yang melihat dari sudut yang lain. 

“Sebab tu la kena tukar pemerintah, pemerintah sekarang ni buat suaru kecik.!” 

Err..ok. Kata seorang ustaz, ‘gigi dia hitam berlubang pun, salahkan pemerintah.’ 



# bukan semua benda baik (solat sunat, baca Quran) baik di semua tempat. Menurut Al Albani, katanya "memperdengarkan ayat-ayat Quran di tempat awam akan membebankan orang awam yang mendengarnya kerana,
"Dan apabila dibacakan Al Qur’an maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (al-A'raf:204)

Jika orang awam tidak mampu mendengar dan memerhatikan ayat-ayat yang dibaca itu, maka yang bertanggungjawab ialah yang meninggikan suara al Quran itu kerana dia sedang menyusahkan orang lain untuk mendengarkan al Quran dalam keadaan tidak bersedia untuk mendengarnya." -dipetik dari buku 'Ilmu Tafsir bersama Utsaimin dan Albani.'

pinjam dari library.banyak buku wahabi kt library.kena report ni.



Tuesday, 18 December 2012

Jelaskan Kefahaman tentang Asobiyyah

 
Ciri2 Assobiyyah sebagaimana yg dijelas Nabi SAW ialah apabila bermati2an mempertahankan puak sendiri walaupun jelas salah. Hari ini gejala Assobiyyah mengakar bukan sahaja dalam parti2 politik bahkan gerakan2 Islam yg partisan sehinggakan pertimbangan hukum punyai 2 versi berlainan. 

Umpamanya hukum fitnah hanya terpakai apabila dilakukan oleh puak bertentangan tetapi jika puak sendiri yg melakukan fitnah dianggap sebuah perjuangan suci demi kebenaran.

Assobiyyah ialah nilai kepuakan yg melampau sehingga sanggup melakukan apa sahaja mempertahankan puak sendiri walaupun melakukan kezaliman sebagaimana Hadis Nabi SAW أن تعين قومك على الظلم

Kadangkala tanpa kita sedari Assobiyyah juga menggejala atas nama mempertahankan agama. Walhal agama tidak sesekali merestui tindakan yg membela kezaliman atas nama agama.

Assobiyyah juga amalan Yahudi. Hukum RIBA hanya haram jika transaksi dilakukan sesama Yahudi tetapi harus bahkan digalakkan melakukan RIBA jika bermuamalah dgn kaum lain selain Yahudi.

Mengutamakan Melayu bukan Assobiyyah, tapi mempertahankan Melayu dengan mengambil hak bangsa lain ataupun mempertahankan Melayu walaupun Melayu melakukan kezaliman itu adalah Assobiyyah.
  
Inilah sebenarnya ujian terbesar Umat Islam hari ini, yg pernah disebut Nabi SAW. Selagi tidak bersatu selagi itulah kemenangan hakiki yg dijanjikan Allah tidak akan tercapai. Malangnya umat Islam hari ini lebih berprasangka sesama Islam tetapi cukup bersangka baik terhadap bukan Islam. 1001 alasan utk tidak bersama sesama Islam, tapi cukup 1 alasan utk bersama dgn bukan Islam. Jelas bertentangan dgn akhlak Nabi SAW yg disebut dalam Al-Quran: أشداء على الكفار رحماء بينهم


Perjuangan bangsa semata-mata secara mutlak adalah salah, tidak kira di mana atau sesiapa pun, ini fatwa ulama dunia. berbeza dgn mmperjuangkan hak2 bangsa. Kemerdekaan Malaysia bersyarat, 7 wasiat raja2 Melayu. Ini syarat2 yg disepakati, penjagaan hak2 ini wajib dijaga kerana kata Nabi 'almukmin ala syuruthihim'

Bagaimanapun, kalau sampai mengenepikan hak2 bangsa lain, tidak dibolehkan.

Hakikatnya, janganlah terlalu bangga dengan Melayu, sehingga merendah2 kan bangsa lain. Namun, jangan pula bongkak tidak mengiktiraf kewujudan bangsa sehingga tidak mahu dikenali sebagai Melayu, hanya mahu dikenali sebagai Islam. Ingatlah kata Nabi, 'ketahuilah nasab keturunan mu'.  

Al Quran sendiri mengiktiraf kewujudan manusia yang berbangsa-bangsa sebagai satu tanda kebesaran Allah.

Sebagai 'pejuang Islam', perlu jelas kefahaman tentang konsep asobiyyah sebelum menyerang sesiapa. Cari dahulu maklumat tentang sesuatu perkara, bina kefahaman. Asasnya faham, bukan ikut.

sumber : Dr Asyraf Wajdi, Ust Fathul Bari, dan pandangan saya sendiri.



Friday, 15 June 2012

Kebenaran Itu Boleh Di Ambil Hatta Daripada Syaitan

Kebenaran itu boleh jadi berada pada sesiapa sahaja. Bukan hanya pada mufti atau sheikh. Asal sahaja apa yang dikata bertepatan dengan al-Quran dan As-Sunnah, maka dia telah berkata benar. Sekalipun ia daripada syaitan. [boleh diambil, tetapi tidak boleh berguru dengan syaitan]

Syaitan berkata benar

Dalam kisah Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dengan syaitan yang mencuri harta zakat, disebutkan bahawa syaitan tersebut berkata,

“Biarkan aku mengajarimu beberapa kalimah yang Allah memberimu manfaat dengannya. Bila engkau masuk ke tempat tidur, bacalah ayat kursi. Dengan demikian, akan selalu ada penjaga daripada Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.”

 Ketika Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam, beliau berkata,
 “Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.” (HR. al-Bukhari no. 2187)


Sikap kita
Sikap kita dalam mencari kebenaran ialah merujuk kepada al Quran dan Sunnah. Bukan merujuk kepada siapa yang berkata. 

Maka sangat silap apabila kita memutuskan kebenaran dengan hanya melihat kepada orang yang berkata. 

‘Oh, dia bukan ustaz. Bukan tahu apa pun, tahu bawak teksi je..’

‘Kalau dah sokong UMNO tu, tak payah dengar la..janggut panjang mana pun, Phd la berapa kali pun..'

'Tengok lambang pun dah malas nak dengar.'

Ambillah pengajaran dari Nabi. Bukankah kita mengaku mencintai Nabi?

Boleh sahaja untuk Nabi berkata pada Abu Hurairah, ‘Kalau dah syaitan yang cakap tu..buat apa nak percaya.’

Tapi Nabi mendengar dahulu cerita Abu Hurairah. 

Adakah kita lebih mulia dari Nabi, atau adakah mereka lebih hina dari syaitan?

Kata Saidina Ali r.a. yang berbunyi:

Bermaksud: “Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan."


“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al Maidah: 8]

Berlaku adil lah, saudaraku. Jadikan prinsip kebenaran kita ialah Al Quran dan Sunnah. Kebenaran yang ada dalam al Quran itu tidak sesekali boleh berubah berdasarkan prinsip parti atau label mana-mana golongan.

“There are always two sides to a story and at times even more.

It is totally unacceptable to make our minds up negatively about another person or behave badly towards them based solely on what we heard about them, without giving them a chance to explain themselves fully.

If we are not prepared to do this much, then we must ignore the entire matter. “ – Mufti Ismail Menk.



Sunday, 10 June 2012

Bid'ah Hasanah



Mari mencari kesepakatan. Anda mampu mengubahnya! Semuanya baik-baik sahaja, tiada siapa pun mahu berbalah. Senyum!


Monday, 23 April 2012

Ini Khilaf..

'Pernah tak jumpa dalam Sirah, sebelum nabi perang ke apa ke, nabi ajak sahabat2 semua berkumpul buat solat hajat sama2, letak botol air kat depan, pastu baca yasin ramai2? Ada ke? Emmm..'

'Lahai..tu pun nak kecoh. biaq pi la depa nk buat..bukan buat maksiat'

'Oppss..sy x kata apa2, saya tanya jerrrr...'

'Banyak lg benda lain yg penting. Benda alah ni, ulamak banyak khilaf..'

'Oh...kalau nak kira khilaf, negara Islam pun khilaf, x payah perjuang la negara islam, kan khilaf. Even yg Astora cakap tu pun semua ada sandaran ulama, ada je ulama kata x payah pakai tudung. Nak bukti boleh bagi, ulama Sheikh Tahir Asyur (mufti Tunis) - ada tafsir Ibn Asyur sendiri (bukan calang2 ulama), ada kitab Maqasid Syariatul Islamiah. Dalam kitab tu dia kata ayat tutup aurat ialah khas utk raikan bangsa Arab, mana2 bangsa yg memang tak pakai tudung labuh, x payah. So??'

So, cakap ulama dgn dalil Quran dan hadis sahih, mana yg perlu di dahulukan?

Fikir2kan...

Short Notes on Solat Hajat


Ada hadis tentang solat hajat yang diriwayatkan oleh  Imam Tirmizi dlm Sunan Tirmizi. Ulama telah pun bahas tentang hadis itu, ada ulamak yg dhaifkan sebab ada rawi yg majhul, ada  yg angkat jadi hasan disebabkan faktor lain yg menyokong antaranya ayat wasta’inu bissobri wassolah.

Apapun dlm hadis tirmizi hanya sebut 2 rakaat solat, dan doa selepas solat. Tidak ada kaifiat bacaan sekian2 masa sujud, mahupun lebih dari 2 rakaat.

Kalau nak solat, solat lah, x payah namakan solat hajat, doa je dalam solat2 malam, tak payah buat kaifiat dan khasiat sendiri. Sebab yg nak bagi khasiat ialah Allah, so kalau dia tak state tak payah nak state kan. Kaifiat pula nabi yg ajar, kalau nabi tak buat, tak payah reka kaifiat sendiri. 

Minta je dgn Allah, Allah pasti akan bagi. Tapi dgn pelbagai cara dan bentuk. Mungkin tak sama dgn apa yg kita minta, tp tetap sama dgn tujuan yg kita minta.

Amman yujibul mudthorra idza da’a..








Tuesday, 14 February 2012

Menjadi Kismis Sebelum Menjadi Anggur

Kisah yang akan ceritakan ini sering saya dengar semasa menuntut di Syria dahulu. Ternyata ianya berasal dari kitab Al-Asybah wa Al-Naza’ir karangan Ibn Nujaim Al-Hanafi, lalu dikisahkan kembali oleh Syeikh Zahid Al-Kauthari dalam kitabnya Husnu Al-Taqadhi fi Sirah Abi Yusuf Al-Qadhi.
Kisah ini berkenaan dengan Imam Ya’qub bin Ibrahim Al-Ansari; masyhur dengan panggilan Abu Yusuf (w. 182 H).  Beliau murid kesayangan Imam Abu Hanifah.  Beliau sangat bijak, hafalannya kuat dan banyak ilmu. Di antara ramai murid Abu Hanifah yang lain, Abu Yusuf selalu terdepan dalam semua perkara.
Pada suatu hari, Abu Yusuf merasa ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Saatnya untuk menjadi tokoh ulama yang siap menjawab semua permasalahan umat. Beliau lalu meninggalkan majlis Abu Hanifah dan membuka majelis ilmu sendiri. Dalam majelis itu, Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.
Mengetahui perkara ini, Abu Hanifah berniat menyadarkan muridnya. Diam-diam, beliau mengutus seseorang ke majelis Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.
Orang itu berkata kepada Abu Yusuf: “Saya menyerahkan sepotong kain kepada penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun esoknya, ia memberi saya kain itu yang telah dijahit menjadi baju. Soalan saya: apakah ia berhak menerima upah?”
Abu Yusuf menjawab: “Ia berhak menerima upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.”
Abu Yusuf merubah jawabannya: “Ia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf menjadi sangat bingung.
Orang yang telah dilatih Abu Hanifah ini lalu berkata: “Jawaban yang benar adalah: jika baju itu dijahit sebelum ia mengingkari kain, maka ia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah ia mengingkari kain, maka ia tidak berhak.”
Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, ia menyalahkan jawapannya lalu mengajukan jawapan yang tepat.
Diskusi ini jadi menyadarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih perlu banyak belajar daripada ulama. Akhirnya, beliau memutuskan kembali ke majelis ilmu Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.
Apabila melihat Abu Yusuf, Abu Hanifah tersenyum dan berkata: “Engkau telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”

Hukum Kesempurnaan
Kisah ini sangat inspiratif. Seringkali kita melihat diri kita begitu besar dan matang, padahal pada kenyataannya masih begitu kecil dan mentah.
Sebuah kesempurnaan dan kematangan tidak pernah datang begitu sahaja. Ianya merupakan hasil dari suatu proses. Proses ini terdiri dari beberapa tahapan. Antara satu tahapan kepada tahapan yang lain seringkali memerlukan masa yang cukup panjang.
Hukum ini berlaku untuk semua makhluk hidup. Seekor ulat menghabiskan masa berhari-hari di dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama yang cantik. Bahkan sebiji anggur sebelumnya mentah, lalu masak, kemudian kering dan menjadi kismis.
Sesiapa yang tidak sabar menjalani semua ini, maka proses kesempurnaan itu akan terbantut. Lalu ia tidak akan pernah sempurna selama-lamanya.
Hukum kesempurnaan ini juga berlaku untuk semua disiplin ilmu atau kerjaya yang kita pilih. Seorang dokter pakar memerlukan masa yang panjang sebelum menjadi spesialis di bidang perubatan. Begitu juga seorang jurutera, penulis, pelakon apalagi ulama Islam yang menjadi rujukan umat.
Jadi, jalan menuju kepakaran sangat panjang. Sesiapa yang menjalaninya dengan sabar, suatu hari akan tampil sebagai pakar yang disegani. Dan pendapatnya dalam disiplin itu diakui sebagai pandangan yang berwibawa.
Sebaliknya, sesiapa yang tak sabar menjalaninya, lalu mendakwa pakar sebelum masanya, maka ia telah kering sebelum matang, menjadi kismis sebelum menjadi anggur. Oleh itu, ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi nilai ilmiah sama sekali.
Dalam kaidah fiqh ada disebutkan:

مَنِ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

“Sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan daripada memiliki sesuatu itu.”
Orang seperti ini ibarat pokok yang belum tertanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak bermutu tinggi. Berkata Syeikh Ibn ‘Athoillah Al-Sakandari dalam Al-Hikam:

ادْفِنْ وجودَك في أرضِ الخمولِ فما نَبَتَ مما لم يُدْفَنْ لا يَتِمُّ نَتَاجُه

“Tanamlah dirimu di tanah kehinaan (khumul). Sebab apa-apa yang tumbuh dari pokok yang tidak tertanam tidak pernah matang.”
Sebelum merusak orang lain, sikap “ingin cepat besar” ini akan merusak dirinya sendiri. Ia akan tersibukkan dengan berbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu. Dan, perasaan takut dilihat bodoh dan khuatir ditinggalkan pengikut akan menjauhkan dirinya daripada jalan peningkatan ilmu.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari menukil ucapan berikut ini dari Imam Al-Syafii:

إِذَا تَصَدَّرَ الْحَدَث فَاتَهُ عِلْم كَثِير

“Apabila orang yang baru belajar telah maju ke hadapan (yakni: hendak menjadi tokoh besar), maka ia terluput ilmu yang sangat banyak.”

Umar Muhammad Noor
Artikel ini diterbitkan oleh majalah solusi isu 30

Saya Tidak Pernah Menulis Seterang Ini.

oleh Ust Hasrizal  (pd thn 2007)

Saya bersama SS Dr. MAZA membina manhaj jauh sebelum beliau bergelar doktor dan mufti. Pandangan saya sangat terkesan oleh apa yang saya tahu beliau tahu.

PAS bukanlah terdiri daripada wajah-wajah yang memusuhi dr maza dan yang dimusuhi dr maza semasa beliau di dalam PAS. PAS adalah sebuah badan yang mempunyai keahlian mencecah hampir 1 juta orang! Ia bukan suatu yang untuk dibanggakan, tetapi terbayangkah anda betapa sulitnya untuk PAS menyeragamkan ahlinya dengan satu manhaj, satu fikrah, satu suara, satu baju, satu serban?

PAS tidak seperti ABIM atau JIM atau ‘Geng Sunnah’ yang menarik ‘satu jenis’ keahlian. Orang-orang JIM, ABIM, dan pengikut Dr Maza mempunyai wavelength yang dekat, dan lebih mudah dididik. Ia suatu kelebihan, tetapi ia mungkin tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat. It’s an alternate reality!
Ketika Dr Maza mengkritik PAS, dan kritikannya menjadi ikutan kepada ‘geng Sunnah’ pula untuk turut sama mengkritik PAS, Dr Maza tahu akan semua realiti di dalam PAS ini.

Maka seruan saya ialah supaya beliau jangan tersilap dengan membayangkan kritikannya kepada PAS adalah kritikannya kepada satu dua tiga atau empat orang pimpinan PAS yang tidak senang dengannya dan dia tidak senang dengan mereka. Tetapi apabila Dr. Maza mengkritik PAS, dia mengkritik 800,000 manusia yang pelbagai kepala, pelbagai taraf pendidikan dan pelbagai ragam.

Jangan campak mancis ke lubuk minyak. 

Teguran yang baik adalah amat berguna untuk PAS. Tak ada sekelumit pun di fikiran saya untuk menafikan kelemahan-kelemahan PAS. Bahkan saya bukan di posisi untuk mempertahankan PAS kerana siapalah saya ini? Tetapi teguran menyindir dan seolah-olah tidak faham kepada apa yang ada di dalam PAS menjadikan usaha membawa manhaj tajdid ke dalam PAS hampir mustahil!

Dr Maza yang menyulitkan PAS untuk menerima perjuangannya. Jika Dr Maza yakin manhaj yang dibawanya adalah sesuatu yang baik, tidakkah dia terfikir yang 800 ribu ahli PAS juga patut menerima manhaj yang beliau bawa? Tetapi…

Kita semua tahu, selama ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan lain-lain pemimpin utama PAS, mereka juga berpegang dengan manhaj yang sama dengan Dr Maza. Tuan Guru Nik Aziz sedikit demi sedikit cuba memperkenalkan kitab Fiqh Sunnah kepada ahli PAS dan orang Kelantan, untuk menyuntik sedikit idea pemurnian mazhab ke masyarakat. Tetapi kehadiran Dr Maza dengan pandangan-pandangannya yang sering sinis kepada PAS memusnahkan segala-galanya. Akhirnya peminat dia tepu Salaf, dan PAS kelihatan sebagai kem khalaf! Apakah manfaat dari semua ini? Jika Dr. Maza lihat orang PAS semakin benci dengan geng Sunnah, jangan salahkan sesiapa, muhasabah balik apa yang beliau sebagai ikon salafi buat kepada PAS. Betapa banyak usaha tuan-tuan guru sebelum ini yang musnah akibat penyemaian benih perbalahan yang ditabur.

Dan semua ini berlaku dalam keadaan Dr Maza bukannnya jahil terhadap apa itu PAS.

Jika bantahan saya ini dinamakan ‘marah;, maka saya marah kepada Dr. Maza bukan sebab saya PAS, tetapi sebab saya bermanhaj salaf seperti Dr Maza. Dan pendekatannya menyulitkan penerimaan manhaj Salaf ini di dalam PAS. So, ia bukan isu jemaah centric atau taasub parti atau apa-apa yang seumpama dengannya.
Saya rasa tidak sulit untuk saya memahami peta pemikiran dr maza. Jika soal dakwah non Muslim, saya sendiri duduk di negara non Muslim dan menerima kunjungan non muslim setiap hari ke pejabat saya selama bertahun-tahun. Ketika itu buah fikiran dr maza menjadi sebahagian daripada bahan wacana saya. Tetapi itu bukan justifikasinya.

Jika Dr. MAZA fedap dengan perjuangan PAS yang jumud dan beku, saya adalah orang yang lebih lebih lagi fedapnya. Tetapi saya melihat kejumudan dan kebekuan itu sebagai tanggungjawab saya untuk melakukan sesuatu memperbaikinya. Sebab itu saya menyabarkan diri, dan memfokuskan kepada ruang-ruang pembaikan yang boleh dilakukan.


*saya malah lebih yakin dgn apa yg saya faham setelah membaca ini,

Sunday, 5 February 2012

Nilai Sejarah dan Maulid


Kesan revolusi teknologi maklumat dan pendemokrasian ilmu, hari ini masyarakat kita tidak lagi menerima sesuatu tanpa soal bicara. Antara ruang yang kini menghadapi kesulitan untuk menyesuaikan diri di dalam fenomena ini ialah ruang agama. 

Golongan agama tidak lagi boleh duduk di dalam zon selesa. Pendemokrasian ilmu telah membuka ruang kepada kelompok yang dilabel sebagai ‘orang awam’ sudah mula bersikap kritis. Mereka sudah berani mempersoalkan “apakah dalil itu dan ini?”, “Siapakah yang mengatakan sedemikian?”, “Mengapakah hukumnya sebegini?”, “Tidakkan ada pendapat lain berhubung isu ini?”, dan lain-lain ungkapan yang pada suatu waktu dahulu tidak pernah diajarkan lewat kuliah-kuliah agama dan juga proses tradisional menghasilkan para ustaz.

Antara isu yang sering menjadi polemik ialah isu ‘Maulid al-Rasul’. Setipa kali kedatangan ‘Maulid’, kini sudah mula polemik tentang bid’ah atau tidaknya sambutan tersebut. Polemik yang suatu waktu dahulu diwarnai sentimen kini mula diwarnai dengan perbincangan ilmiah.

Sungguhpun begitu tidak dinafikan masih lagi terdapat kelompok yang masih tidak dapat menerima khilaf terus menggunakan bahasa kuasa dan juga emosional. Walau apapun, polemik tetap polemik. Baik yang mempertahankan mahupun yang menentang, rata-ratanya tidak mahu berganjak dan membuka ruang persefahaman. 

Lebih malang perjuangan unutk samada mempertahankan mahupun menentang itu dianggap kemuncak beragama mereka. Akhirnya jalan pintas mengkafirkan ataupun menyesatkan diambil. Bagi yang mempertahankan, dengan mudah menuduh lawan mereka sebagai tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh Islam. Bagi yang menentang pula melemparkan bahawa lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) di dalam mendewakan Nabi, menderhakai Nabi kerana Nabi tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa, dan juga ahli bid’ah.


Ternyata di sana terdapat jalan keluar bagi isu ini. Perayaan atau sambutan Maulid itu perlu dikeluarkan dari kerangkan ritual-spiritual yang disikapi selama ini. Ia harus dilihat dan disikapi sebagai satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran (‘ibar menurut istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun). Sepertimana anjuran di dalam ayat-ayat al-Quran yang menyuruh umat Islam mengambil iktibar dan pelajaran dari acara-acara sejarah, begitu jugalah tarikh Maulid ini perlu disikapi. 

Apabila sesuatu bangsa itu diikatkan dengan sejarah, mereka akan lebih berdaya saing, lebih mampu untuk mengorak langkah ke hadapan kerana mereka mempunyai masa lampau. Bangsa yang tidak mempunyai sejarah, ataupun tidak mempunyai kenangan silam yang gemilang pastinya agak sukar untuk membina masa depan yang cemerlang.

Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh umat Islam jika perayaan Maulid ini dikeluarkan dari kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya?

Banyak sekali, malah jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apakah kesannya kepada para peserta mahupun kepada orang lain.

Usaha memperingati Nabi Muhammad ini bukan sekadar berlegar di kalangan umat Islam sahaja, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan Islam sekalipun. Perayaan yang berunsurkan sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan esklusif untuk orang Islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan ‘kesempurnaan hidup manusia’ (human well-being). 

Malangnya ini tidak berlaku, apa yang dipentingkan seperti kebiasaannya, ialah ‘kulit’ (form) sahaja dan bukannya ‘isi’ (substance) kepada Maulid. Saban tahun umat Islam di Malaysia hanya memeikirkan untuk berarak menyambut Maulid, tanpa berusaha memahami ruh daripada perayaan Maulid.

Apakah ertinya berarak Maulid jika di dalam menyediakan peralatan perarakan itupun berlaku korupsi, penipuan dan juga pecah amanah?

Apakah ertinya berarak, jika para peserta yang berarak itu tidak mengenali Nabi Muhammad dan tidak mengamalkan sunnahnya di dalam kehidupan mereka?





Apakah erti berarak, jika para peserta berarak itu masih mengamalkan rasuah, mengamalkan perniagaan ‘Ali Baba’, menipu, berzina, pecah amanah, mengadu domba dan juga menyokong perbuatan kezaliman?

Apakah erti berarak, jika kezaliman golongan tirani disokong dan dijadikan alasan sebagai mempertahankan agama dan bangsa?

Apakah erti berarak jika Islam yang penuh faham-memahami dan tolak ansur merentas budaya, agama dan kefahaman diselewengkan sebagai agama rasis (perkauman), ekstrimis dan juga mengajarkan kebencian terhadap bangsa dan penganut agama lain?

Apakah erti berarak jika unsur kemanusiaan dan juga penjagaan alam sekitar tidak langsung menjadi tema kehidupan para Muslim?

Apakah erti berarak jika undang-undang drakonian masih lagi bebas dijadikan alat untuk menutup suara-suara kritikan dan undang-undang tidak lagi tertakluk kepada unsur keluhurannya (rule of law) tetapi dijadikan bahan mainan pihak tertentu (rule of man)?

Apakah erti berarak jika unsur akauntabiliti, ketelusan, kebebasan bersuara, keadilan sosial, swardaya rakyat (people empowerment) dan juga tadbirurus yang baik (good governance) seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad dan ajaran Islam tidak dihayati?


Sudah tiba masanya Islam di dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan dari kesempitan dogma dan juga acuan golongan jumud yang berkepentingan. Islam sebagai ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ (rahmat kepada sekelian alam) perlu dijadikan lebih inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan hanya untuk umat Islam semata-mata...

 Dr Maszlee Malik

Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah.  Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...