Tuesday, 21 July 2026

Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah. 

Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebolehan. Kerana beliau terlalu berkebolehan dan sentiasa bersemangat waja, segala kerja beliau akan selesaikan.

Perkara yang di luar bidang jadual waktu pun beliau setelkan.

Setiap inci pengurusan sekolah, semua beliau boleh selesaikan. Penempatan kelas sesi petang yang bertindan dengan kelas sesi pagi, isu pelajar ke surau jika hujan, bahkan isu guru layak minta relief atau tidak pun beliau berani putuskan.

Beliau lantang, tegas, tiada siapa berani berkata tidak. Hanya bercakap cakap di belakang. 

Bayangkan sahaja, saya yang lemah dan hina ini mengganti tempat beliau. Saya rasa sangat jauh terkebelakang.

Setelah hampir 3 bulan menggalas tugas, saya betul betul tidak mampu. Semua benda guru guru rujuk saya, saya tiada jawapan dan penyelesaian. Saya pun pelik, kenapa tanya saya.

Saya berjumpa PKP, dan ceritakan yang saya tidak mampu. Kata beliau, "susah juga kalau semua nak tolak tugas. Saya dulu................"

Saya rancang nak menangis di hadapan beliau, tapi tak terkeluar pula air mata walaupun di rumah dah bergelen saya menangis dan stres.

Saya tak kira. Saya tak nak jawatan ni. Bila pulak tugas lain saya pernah tolak. Tak pernah pun. Bahkan tugas ini pun, saya cuba dulu juga. Dah tak boleh, nak buat macam mana.

Nasib baik PKP tu dah nak pencen esok lusa. Saya layankan sahajalah kisah 'saya duluuuuu' dia tu. hihihihi

Wednesday, 4 March 2026

Tidak Matang

Sangat tidak matang apabila dua pihak menjustifikasikan kebahagian masing masing. Bahawa merekalah terpaling bahagia, orang lain semua tak bahagia.

Yang anak ramai : "Orang yang tak ada anak tu try hard je nak nampak mereka happy. Padahal mereka sedih."

Yang tak ada anak : "Korang yang anak ramai ni jeles sebenarnya kan tengok kitorang banyak masa free? Sebab tu lah nak paksa kitroang ada anak kan?"

Macam mana lah kedua dua pihak nak jadi ibu bapa yang baik kalau pemikiran macam ni punya budak budak?

Buat je lah hal masing masing. Mind your very own bussiness. Tak payah fikir hal orang. Tak payah judge orang. Hiduplah dengan merdeka.

Suka hati lah siapa nak anak ramai, siapa tak nak anak. Siapa pejuang garis dua, garis satu, garis tiga pun. Letihnya hidup kalian membanding bandingkan. 

Itu belum tengok fan artis tertentu marah artis lain. Ya Allah, apa telah jadi dengan hidup kamu semua? Kasihannya.


Wednesday, 17 December 2025

HLP

 "Akak, nanti akak apply sama Lan ya untuk HLP." seperti biasa, Shazielan setiap tahun mengingatkan saya. Dia juga seperti saya, memohon bertahun tahun, tapi masih belum direzekikan. Bezanya, Shazielan memohon untuk peringkat kedoktoran.

Saya tidak memikir apa apa selain bayangan temuduga HLP sebelum ini. Satu saja saya membalas pada Lan, "Malas dah la akak."

Demikian cita cita bertukar. Tiada lagi yang diimpikan gah gah. Hanya mengharapkan hal hal kecil yang menyubur syukur pada yang telah ada.

Semoga Tuhan reda pada kita.

Wednesday, 12 November 2025

Maha Mulia



Ayat ini sangat menyentuh. 

Sejak akhir akhir ini, setiap kali selak rambut, akan ada yang berwarna putih yang mana suatu waktu dahulu, tiada pun yang putih.

Dan, tulang belakang saya memang selalu sakit. Duduk lama sikit - sakit, berdiri lama - sikit, angkat berat sikit - sakit. 

Bahagian ayat yang terakhir itu pun, selalu juga saya rasa. Apa pun yang saya minta, Allah selalu bagi. Saya percaya dan yakin, ada yang Allah tak bagi tu, mesti ada benda lain yang Dia akan bagi untuk saya atau telah bagi tetapi saya tak perasan.

Hanya Dia yang tahu buruknya saya yang saya sembunyikan di sebalik dada, dan Dia dengan Maha Mulia sudi menutupinya.


Saturday, 16 August 2025

Sakit

 Dahulu pun saya selalu rasa sakit belakang, Tetapi on off dan ia tidaklah terlalu mengganggu pergerakan saya, kecuali waktu pagi saya sedikit terbongkok bongkok. Kadang kuat, kadang sedikit, kadang tak sakit pun.

Sehingga lah pada 29 Julai, saya tidur selepas Subuh, bangun sahaja, saya rasa teramat sakit. Lebih dari biasa. Sebelum ini, pernah juga tetapi ia makin beransur hilang setelah saya regangkan badan dan bergerak. Tetapi hari itu, ia benar benar pelik. Sehingga untuk saya memikul beg laptop, dan 2 botol air saya, saya tak mampu. 

Saya bertahan. Dua botol air saya, saya tinggalkan di rumah. Saya hanya bawa laptop di sekolah. Saya bawa kereta rasa berat sangat stereng, saya susah nak putar sebab rasa tak ada kudrat di tangan. Saya menahan sakit dengan harapan ia akan beransur hilang seperti selalu. Saya menelan ubat tahan sakit. Sehingga petang, ia tidak langsung berkurang, Bahkan bertambah.Ketika bangun dari kerusi, saya akan mengerang kesakitan. Rasa macam nak lumpuh kaki saya. Mencucuk pinggang saya. Kaki saya berat sangat.

Kawan kawan saya meminta saya pulang awal. Tetapi saya bertahan sehingga waktu balik.

Waktu balik, saya ke Hospital Salam sebelah sekolah saya, dengan harapan untuk berjumpa doktor pakar menggunakan takaful saya. Suami saya akan datang ke hospital itu. Kaunter hospital cakap Hospital Salam bukan panel AIA. Saya keluar hospital masuk kereta menangis nangis. Suami saya telefon KPJ, KPJ cakap kalau nak jumpa doktor pakar, perlu datang waktu office hour. Saya menagis esak esak, kenapa susah sangat ni. Nak jumpa doktor je pun.

Saya dan suami ke klinik biasa di situ. Doktor cucuk. Kata doktor ubat cucuk ni akan hilang rasa sakit sehingga 6 jam. Malam itu, masalahnya rasa sakit tak hilang pun.

Esoknya, saya ke KPJ yang hanya 5km dari rumah saya. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Friday, 11 July 2025

Skudai atau Shah Alam?

 Suami saya bertanya, mana lagi seronok sekolah di Johor atau di Selangor?

Sejujurnya saya rasa lebih seronok di Selangor. Sekolah di Johor dahulu sangat tertekan. Walaupun hakikatnya, sekarang ini jawatan saya lebih banyak, tetapi saya rasa lebih selesa.

Mungkin kerana dah jadi sedikit senior. Atau dah boleh tebal telinnga, atau dah tak perlu banyak sangat berlakon.

Mungkin juga kerana dah tak perlu hadap kerenah kawan kawan di rumah.

Saya masih ingat dulu masa di Johor, masa perhimpunan sesi petang, saya nampak guru sesi pagi sedang bersiap nak balik naik kereta. Saya fikir, seronoknya mereka pulang ke 'rumah' yang ada keluarga. Saya pula tak pernah rasa rumah sewa saya itu sebagai 'rumah' melainkan hanya bilik sempit saya itu. Nak ke dapur terbatas, nak tengok tv ramai ramai lagi lah tak sanggup. 

Alhamdulillah, sekarang, saya sangat menikmati rumah saya. Sehingga tak mahu keluar ke mana mana pun, hanya mahu berada di rumah.

Mungkin kerana faktor itu juga, saya rasa sekolah di Selangor lenih tenang. Faktor kurang tekanan lain selain di sekolah.

Alhamdulillah untuk segalanya.


Thursday, 10 April 2025

HARI RAYA 1446

Tahun ini, giliran beraya rumah mentua. Walaupun rasa nak sangat tetap stay dekat rumah ma sendiri, tetapi tanggungjawab perlu dilaksanakan.

Lagipun, selain ibu sendiri, ibu mentua juga ada hak yang perlu ditunaikan. Saya kasihan melihat ibu mentua yang juga sudah tua, tidaklah lagi secergas mana tenaganya, namun, masih mahu kekal memasak itu dan ini.

Sebagai menantu, saya cuba membantu yang boleh. Namun tetap tidak sama dengan rumah sendiri. Ada limitasi, setiap keputusan tak berani dibuat sendiri. Apatah lagi mencadang itu ini, atau pun melarang itu ini seperti melarang kepada ibu sendiri. Tak terdaya lagi nak buat, mungkin belum capai 'pangkat' itu.

Sudahnya, saya hanya menurut walaupun sangat kasihan dengan ibu mentua. Tambahan pula, waktu itu beliau tengah demam. Saya jadi ralat.

Jiwa dan hati meronta nak balik rumah sendiri. Ibu sendiri pun, tak larat mana juga. Usia tua menghakis juga bersama tenaga yang ada. 

Moga moga kita semua berusaha sempurna memberikan hak kepada yang sepatutnya.  

Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah.  Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...