Friday 18 April 2014

Kesilapan, Keegoan atau Keputusan?




Cerita demi cerita disampaikan. Pengajaran semata yang diharapkan untuk dikaut sang pendengar. Pengajaran, ibrah, nilai atau apa sahaja yang dirasa berfaedah. Itulah yang utama.

Benarkah itu yang utama?

Jika dalam gurauan pun perlu bercakap benar, apatah lagi dalam sebuah ‘kisah agama’ yang tidak ada sandaran lain melainkan agama. Tentang Nabi, roh, syurga, neraka, cahaya, mati, kubur, malaikat, semua itu tidak dipelajari melainkan daripada sumber agama.

Justeru apa-apa cerita yang berkaitan dengan itu semua, perlukan endorsement atau pengiktirafan daripada 
Pemilik agama ataupun utusanNya.

Perkataan ‘takkan’ tidak dipakai dalam ilmu.

‘Kalau dah ulamak yang cerita, takkan dia bohong.’

‘Kalau dah wali yang mimpi, takkan dia tipu.’

Jikalah ada ruang untuk ‘takkan’ dalam agama ini, terhapuslah ilmu Jarh Wa Ta’dil dalam penilaian hadis. 

Mahu anda percaya kepada hadis yang beribu tahun dahulu jika kaedah ‘takkan’ dipakai? Kalau begitu, Kassim Ahmad ada benarnya.

Hadis perkara yang halal yang dibenci oleh Allah adalah hadis yang lemah. Kenapa lemah? Kerana ada seorang perawi di dalam sanadnya bernama Abu Lahi’ah. Kerana beliaulah hadis ini menjadi lemah. Rumah beliau terbakar. Semua kitab dan tulisan-tulisan hadis yang disimpannya musnah. Tetapi beliau meriwayatkan hadis ini. Justeru, ulama menganggap hadis ini lemah.

Sedangkan beliau ialah seorang yang sangat alim, dan mufti pada zamannya. TAKKAN lah beliau menipu. Sahih dan hasan kan sahaja lah hadis itu. Tetapi, ketahuilah, tidak begitu disiplin ilmu agama ini.

Sebelum berfikir tentang ibrah untuk pendengar, berfikirlah dahulu soal kesahihannya. Kalaupun nak juga diceritakan, bawalah juga bersamanya status cerita tersebut dengan jelas.

Banyak kali saya menonton slot Cinta Ilmu Tasawuf Harian yang menampilkan Dr Zulkifli Al Bakri, beliau banyak sekali menyampaikan cerita yang dipertikaiakan kesahihannya. Kerana begitulah kebanyakannya aliran kesufian.

Namun setiap kali kisah itu beliau ceritakan, beliau akan memberitahu terlebih dahulu akan status kisah tersebut. Jika tidak sahih, maka beliau akan katakan tidak sahih, cuma untuk mengambil pengajaran dibenarkan. Begitulah perlu dicontohi sikap AMANAH TERHADAP ILMU yang beliau pegang. Sayang sekali apabila nama beliau disandarkan, dan menganggap semua akan selesai.

Memang banyak pengajaran yang boleh diambil dari berbagai kisah. Namun yang diutamakan pastilah kebenarannya. Jika dipertikaikan pun, jelaskanlah bahawa ia dipertikaikan. Agar orang awam seperti saya boleh melaraskan aras kepercayaan kepada sesuatu kisah. Jika sahih, percaya secara sahih. Jika tidak, maka saya boleh percaya dengan aras yang sepatutnya. Sungguh-sungguh saya rasa TERTIPU apabila percaya dengan bulat sesuatu perkara yang disampaikan sang ustaz dengan gaya penuh keyakinan dan mantap, tetapi akhirnya mengetahui ia tidak sahih pun.

Psikologi manusia mana yang bisa percaya lagi akan sang “da’ie” yang begitu? Akhirnya hilang keyakinan dan kepercayaan buat mereka.

Dari sudut ini, rugikah dakwah, atau untungkah?

Ada yang berkata menegur-negur kesalahan ustaz di laman maya dan secara awam merugikan dakwah.

Jika ustaz itu menerima teguran dengan baik, memohon maaf, mengaku kesalahan, dan lebih berhati-hati, bukankah itu juga contoh akhlak yang baik sekaligus menjadi dakwah bil hal yang afsah?

Kalau teguran itu kasar, tidak beradab, maka tahulah ustaz bahawa dia belum berjaya mendidik mad’u nya dengan baik. Benar, teguran yang tidak beradab itu SALAH. Ia dilakukan oleh orang awam yang tertipu dan tidak ada ilmu. Sebetulnya, tegurlah dengan hikmah.

Tetapi teguran yang kasar bukanlah menjadi sebab untuk menolak hujah yang benar.

CERITA MISTERI

Adakah sejak tayangan siri Tanah Kubur, masyarakat kita sangat gemar akan cerita-cerita mistik?

Sheikh Muhammad Rashid Ridha dalam tafsirnya Al Manar mempunyai pandangan yang menarik tentang mukjizat hissi dan beberapa perkara yang menyalahi akal. Sehingga beliau mentafsirkan jin sebagai bakteria. Pendapatnya tentang keajaiban Imam Mahdi, lihat bagaimana? Al Maududi pula menyatakan keajaiban Imam Mahdi adalah cerita dongeng. Ibnu Khaldun menolak terus konsep Imam Mahdi. Walaupun ramai ulama lain tidak sependapat dengan mereka.

Sheikh Manna’ al-Qaththan dalam karyanya juga melihat  bahawa mukjizat para nabi terdahulu  diberikan  menurut akal pemikiran masyarakat  yang pada masa itu  masih berada pada fasa perkembangan, jadi  tidak  melihat sesuatu yang lebih dapat menarik  hati selain mukjizat alamiah yang hissiyah karena pemikiran mereka  belum mencapai puncak ketinggian dalam bidang pengetahuan dan  sistem berfikir.
Salah satu langkah kajian matan dalam ilmu hadith dipanggil Naqd al Mutun atau mengkritik teks (selain dari menilai sanad). Salah satu cara dalam Naqd al Mutun (textual criticism) ialah menilainya dengan aqal yang waras.

Imam Ibn Jauzi menyebut :
“Apabila engkau melihat sesuatu hadis yang menyanggahi logik, menyalahi manqul (Al Quran) dan bertentangan dengan asal-usul Islam, maka ketahuilah ia adalah hadith palsu.”

Tanda hadis palsu ialah percanggahan dengan akal, al musyahadah (apa yang disaksi di alam kenyataan) atau al hiss ( apa yang dikesan oleh pancaindera) sedangkan ia tidak mampu untuk ditakwilkan dengan takwilan yang hampir dan mungkin.

(dipetik daripada buku Selangkah Ke Arah Memahami As Sunnah oleh Mohd Asri Zainul Abidin)

Lihat betapa Islam mementingkan aqal. Bahkan ulama berusaha mencantas semua perkara dalam agama yang bercanggah dengan aqal kecuali perkara yang benar-benar jelas terdapat dalam nas yang sahih. Yang terdapat dalam nas itu pun ada ulama yang mentakwilkannya walaupun majoritinya tidak begitu.

Ini menunjukkan bagaimana seboleh mungkin untuk kita mengelakkan agama ini dilihat tidak logik, lucu, terkebelakang dengan cerita yang macam-macam pada ketika umat yang lain begitu futuristik.

Dalam Islam memang perlu beriman dengan perkara ghaib. Tetapi ghaib itu sebenarnya sudah jelas diberitahu dalam Al Quran dan Sunnah. Tak perlu para ustaz mencari ghaib-ghaib yang lain untuk menakut-nakutkan orang awam.

Walaupun untuk pengajaran! Hanya untuk pengajaran.

Islam bukan agama fiksyen. Mahukan pengajaran yang bermacam-macam tulislah novel dan cerpen, masukkan semua di situ, biar semua tahu itu fiksyen.

Namun apabila dikaitkan dengan agama, semua tahu agama bukan fiksyen. Semua akan beriman dengannya!

Ada seorang kawan berkongsi di status Facebook nya sebaris jenaka : ‘Payah kalau hantar yang suka baca Mastika pi jadi ustad.’

Saya tersenyum membenarkan.

Baru-baru ini seorang ibu menceritakan kepada saya bagaimana anaknya ditakut-takutkan oleh ustazah di PASTI bahawa jika kencing berdiri syaitan akan buat sesuatu yang buruk untuk kita. Sedangkan ancaman sebegitu tidak pernah wujud.

Kata ibu tersebut yang juga seorang doktor, “jika niatnya untuk menakut-nakutkan, maka saya pun boleh cerita macam-macam untuk patient saya supaya mereka konsisten makan ubat dan jaga pemakanan. Boleh lah saya reka macam-macam ancaman.”

Mahukah kita doktor menceritakan berbagai-bagai cerita yang berkaitan dengan penyakit kita, jangka hayat berapa lama, dengan niat supaya kita menjaga pemakanan, makan ubat, kerap jumpa doktor, dan berbagai pengajaran lagi. Mahu? Sudah pasti kita akan rasa tertipu dan diperbodohkan!

Seperti itu juga dalam agama.

Apa yang berbeza, doktor buat silap boleh disaman, ustaz buat silap, tegur pun tidak boleh.

Saya pernah menonton rancangan Head to Head yang dikendalikan oleh Mehdi Hassan, ketika itu Irshad Manji dijemput sebagai tetamu, beliau menjawab kenyataan seorang imam yang hadir di situ bahawa agama perlu diambil daripada ahlinya. Kata Imam tersebut :

“This is the specialist area, when I have the medical issue, or financial issue, I will go to the expert. We’re talking about sprituality, religion and faith, the hereafter. I wouldn’t want to allow the lay people to spurt..”

Jawab Irshad Manji :

“Well, in medicine there is a principle, first do no harm. We can actually able to sue a dotor for doing harm. Maybe we should be able to sue mullah too for doing harm.”

Mungkin apa yang dikatakan Irshad Manji itu ada benarnya.

Apa yang saya mahu highlight ialah begitulah yang akan terjadi apabila masyarakat hilang keyakinan kepada orang agama. Ramai lah Irshad Manji lain yang akan lahir. Apabila terlalu mengkuduskan ustaz, agamalah yang terancam. Maka, rugilah dakwah.

Begitu juga dengan istilah kasta paderi yang dipopularkan oleh seorang tua yang sudah pun ditangkap kerana menyebarkan ajarannya. Marah kita dengan istilah itu sehingga tuannya ditangkap dan disiasat walaupun sudah tua dan sakit. Tetapi lihat sahaja apa yang berlaku hari ini, seperti membenarkan pula istilah itu, bukan?

Ditegur mereka secara umum itu salah besar, sedangkan mereka menyebarkan berbagai-bagai cerita dan hukum tidak berasas KEPADA UMUM, adalah fitrah? Fitrah manusia melakukan kesilapan katanya.

Teringat kata-kata Paulo Coelho, ‘when you repeat a mistake, it is not a mistake anymore ; it is a DECISION.’

Tidak kasar saya kira jika saya katakan orang yang menyebarkan perkara yang salah dalam agama adalah penjenayah yang paling selesa di dunia. Dia di bela dan dilindungi.
Allahul Musta’an.









Sunday 13 April 2014

Ikhlas



“Kita tak boleh tahu keikhlasan diri kita, tetapi kita boleh merasa apabila kita tidak ikhlas.”

Antara kata Dr Noorhisham ketika mengajar subjek Akhlak Islamiyah semalam.

Saya sungguh benci orang yang menilai keikhlasan orang lain. Apabila tidak buat – dihukum salah. Apabila buat – dihukum tidak ikhlas pula. Taklif dari siapa di pundaknya untuk kerja itu tidak saya tahu. Yang saya 
tahu, Tuhan menyuruh kita ikhlas, bukan menilai keikhlasan orang.

Lucu apabila seorang ketua pemuda sebuah negeri mempersoalkan keikhlasan seorang ahli parlimen pembangkang di negerinya. Sudah habis hujah mahu diberi, ikhlas yang tidak nampak itu juga yang digunakan. Seperti bomoh, selalu menggunakan hantu sebagai mangsa, kerana hantu tidak dapat dilihat 
orang.

Ketua kepada pemuda, tapi berpolitik cara orang tua. Tahukah dia anak muda hari ini sudah melancarkan kempen tolak politik orang tua? #tolakpolitiktua

Ikhlas ini terlalu rumit. Jika mahu menunggu ikhlas dahulu baru mahu beribadah dan taat, berapa ramai sahaja yang akan tunduk?

Jika telah habis ikhlas, maka tidak perlu beribadah kerana tidak akan dapat apa-apa pun, maka ramai yang akan berhenti solat dengan alasan tidak ikhlas.

Saya selalu berfikir bahawa Tuhan itu Maha Pengasih. Dia tahu keadaan hambaNya. Jika hambaNya tidak ikhlas, Dia tahu kenapa hambaNya tidak ikhlas.

Pernah saya dihukum tidak ikhlas. Kata hati saya, nasib baik saya bertuhankan Allah, bukan mereka.

Kerana Allah Maha Tahu dan jauh lebih memahami apa yang ada dalam hati, daripada mereka. Allah tidak akan menzalimi dan mensia-siakan hambaNya.

Rasa bersyukur bertuhankan Allah membiak subur. Mujur Allah tidak memberi peruntukan untuk mereka memberi pahala kepada sesiapa. Lega!



Wednesday 2 April 2014

Ke Johor



MEMBUAT  KEPUTUSAN

“Kak Teh suka Hello Kitty ke Barbie?”

“Emm..Hello Kitty.”

“Kak Teh suka merah ke oren?”

“Mesti la oren…”

Kali ini sudah masuk soalan ke 20 saya fikirkan.

“Su, tanya la lagi!” rengek, tetapi bernada tinggi.

Saya befikir lagi soalan yang wajar. Dua pilihan mesti diberi, dan dia akan memilih satu.

Perkara yang paling sukar dalam kehidupan ialah apabila kita diletakkan ditengah antara dua jalan. Dan kedua jalan itu tidak salah.

Saya paling tidak suka membuat pilihan. Saya selalu lambat memberi jawapan, atau keputusan saya seringkali berubah-ubah.

“Kak Teh, membuat pilihan dalam kehidupan tidak semudah Kak Teh membuat pilihan soalan Su.” 

Dia tidak melayan baris ayat saya tetapi terus mendesak supaya saya bertanya lagi.

Tetapi yang pasti setelah saya pilih, saya tidak suka mengenang atau berkalau-kalau jalan yang satu lagi. 

BERUBAH

“Kak Teh, bo lah duk kacau Su nya. Letih doh Su duk melayan Kak Teh.” Ibunya menegur.

Setelah ibunya tahu saya telah melukis tiga gambar hello kitty untuknya, kemudian dipaksa pula saya mewarna lukisan saya itu.

“Kak Nab, seminggu dua boleh lagi melayan, tapi kalau lama-lama...”

Saya terus memberitahu keadaan diri, supaya nanti tidak ada yang terkejut. Dahulu lain, sekarang lain.

Lagikan mesin yang sudah di ‘design’ supaya berkelakuan serupa setiap masa pun boleh berubah apabila tidak kena gaya apatah lagi saya yang belum berjaya men’design’ istiqamah dalam dada.

MAAF

“Su, ni tok ayah ke? Dia dah meninggal ke?”

Kak Teh menunujukkan gambar ayah dalam telefon saya. Dia menyambung lagi bicara.

“Nanti Kakak mati, Kak Teh nak doa banyak-banyak, pastu nak minta maaf dengan Kakak sebab Kak Teh sokmo baloh dengan dia. Kalu Kak Teh mati pun sama, Kakak minta maaf dengan Kak Teh.”

Tersentuh.

-sedikit coretan seminggu di Johor-


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....