Sunday 23 November 2014

Aku Berduka



Aku berduka menyaksi gelandangan agamawan yang merengek meminta harta dari manusia. Atas nama dakwah dan sumbangan, mereka kenyang dengan kekayaan. Berharta itu sesungguhnya tidak berdosa, istighlal (eksploitasi) agama itu yang membawa ke neraka. Kalau tidak kerana hubbu ad dunya, kerana apa? 

Aku berduka melihat gelagat mereka. Wangian ilmu sudah bertukar busuk jijik cela yang aku hidu dari tutur bibir mereka serta patah tulisan mereka.

Ironinya, merekalah yang berkisah kepadaku tentang adab dan akhlak.

Wayang dunia yang aku saksi di hadapan mata, membuatkan aku berduka!

Sunday 16 November 2014

Perasaan

Minggu-minggu menuju akhir semester ini, ialah minggu kritikal yang mana perlu mengejar tarikh akhir pelbagai tugasan.

Justeru, mari rehat sebentar.

Kita menulis pula soal yang jarang-jarang kita bicarakan. Malah rasa saya, tidak pernah pun saya menulis di sini,

tentang jodoh dan nikah.

Untuk dibincang yang manis-manis, kita bukan remaja sekolah. Malah penuntut universiti pun sebenarnya sudah patut habis bincang yang ‘manis-malu-senyum’. Cuma entah kenapa masih banyak pula manis-manis cinta ini diseminar-forumkan di universiti. Saya juga tak faham.

Kita ini sudah habis zaman universiti. Pasti semua yang ‘sweet-sweet Islamik’ itu sudah kita selesaikan dengan lumat.

Sekarang masanya untuk kita fikirkan kehidupan yang panjang. Bukan main-main dan angan-angan.

*tiba-tiba rasa nak menangis**tak nak jadi dewasa*

Saya belum berkahwin. Mungkin apa yang saya fikirkan keseluruhannya berbeza dari yang sebenar.

Lama kita berusaha dan membina kehidupan kita, menerang gelap jalan di hadapan untuk kita lalu. 

Mengambil yang mana kita suka, membuang yang mana kita tidak selesa.

Sehingga di jalan hari ini kita berada. Sampai di sini, katanya kita perlu berkongsi. Berkongsi jalan dengan orang lain.

Orang yang boleh meneruskan pengembaraan di jalan yang sama, membuang perkara yang sama dan mengutip manfaat yang sama. Membantu memudahkan masa depan. Meneduhkan dan membimbing kepada Tuhan. 

Pastilah itu yang kita harapkan.

Tetapi, boleh jadi kita perlu berkongsi dengan orang yang berbeza. Nyanyi irama yang tidak sama. Suka dan benci yang tidak seperti kita.

Kemudian, daripada kita menentukan semua dan memilih semutlaknya selama berpuluh tahun kita hidup, kali ini kita perlu membontoti? Menurut?

Pasti tidak mudah, bukan?

Sebab itu, siapa yang mahu kita turut itu perlu teliti.

Namun, siapa yang Allah takdirkan untuk kita bukan semestinya yang kita sangkakan dan harapkan.

Hidup ini pasti tidak sesempurna yang kita angankan. Tetapi mungkin dalam ketidaksempurnaan itulah Allah meletakkan rahmahNya.

Banyak sekali yang kita sangka mudah, tetapi sebenarnya payah.

Namun ada juga yang kita sangka sukar, tetapi Allah menjadikannya lancar.

Kita dibentangkan dengan seribu pilihan. Untuk bergerak atau diam, untuk bisu atau bersuara, untuk ke kiri atau ke kanan, atau untuk buat banyak lagi pilihan yang lain.

Namun, kecenderungan perasaan bukanlah alat mutlak untuk kita jadikan ukuran untuk membuat keputusan. Kadang naluri kita seringkali salah pun.

Kita ini serba serbi lemah. Jadi, tidak perlu lari dari ujian. Di mana-mana pun kita akan diuji. Keputusan apa pun yang kita berikan, akan ada di hadapan sana ujian. Jangan kerana takutkan ujian, kita mengelak dari bergerak.

Hanya saja perlu minta bantuan Tuhan dalam menghadapi ujian. Dia, akan sentiasa Memahami.

Jadi?

Jadi, serahlah kepada Tuhan.
(Hahaha, kesimpulan paling selamat daam dunia.)

Monday 10 November 2014

Mendamaikan.



Saya tidak tahu orang faham atau tidak, akan kenikmatan membaca bahasa yang indah.

Saya kira kerana itu Allah menggunakan bahasa yang paling seni dalam al Quran. Kerana ada manusia yang akan menjadi ‘lemah’ dengan bahasa. Justeru dinamakan ‘mukjizat’.

Saya suka membaca puisi. Dahulu semasa di USM, saya sentiasa ke kedai buku hanya untuk membaca buku puisi DBP. Ada sebuah dua yang saya beli. Yang lain, saya hanya membaca di situ. Di situ ada kerusi dan penghawa dingin. Indahnya!

Saya juga gemar sekali membaca tulisan Faisal Tehrani. Saya kira belum berjumpa siapa-siapa yang mampu menandingi baris bahasanya. Biarkan sahaja orang kata saya taksub atau gila, yang sebenar dan sebetulnya, hanya saya yang merasa.

Setiap kita bukankah ada kecenderungan yang berbeza? Nabi tidak marah akan sahabatnya, Anjasyah yang suka bernasyid, Nabi tidak kata daripada bernasyid lebih baik membaca al Quran. Nabi tidak marah akan sahabatnya yang gemar akan kucing, Nabi tidak kata daripada menggemari kucing, gemarlah anak yatim. Malah, Nabi menggalakkan dengan gelaran Abu Hurairah. 

Bukankah dakwah Nabi itu mendamaikan? Indah bukan gaya Nabi?

Cuma, saya ini hanyalah manusia jahil yang baru merangkak membaca al Quran. Keindahan dan keseniannya masih banyak saya belum terokai. Benar.

Saturday 8 November 2014

JAHIL DEFINISI



Setiap kali belajar apa-apa tajuk, pasti definisi terlebih dahulu perlu difahami.


Contohnya solat secara bahasa bermaksud doa, secara istilah pula perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Maka jika seseorang berkata tentang solat, itulah yang kita fahami. 

Tetapi hari ini ada kecenderungan untuk berbincang, berdebat, dan menghukum tanpa mengetahui definisi.

Banyak sekali berlaku. Akhirnya, berbalah yang tidak ada sudah. Puncanya, kerana masing-masing berpegang pada definisi yang berbeza. Sedangkan jika awal-awal sudah bincang tentang definisi, perbnicangan akan lebih berisi, berkembang dan menghasilkan konklusi yang sihat.

Jika tidak, perbincangan hanya akan berlegar dalam bulatan kejahilan yang tidak akan ada jalan keluarnya. 
Berulang pada titik yang sama.

Contohnya sekular.

Pihak A menentang negara sekular yang berdefinisikan memisahkan agama dengan politik. Render God’s to God and Ceaser’s to Ceaser.

Sedangkan pihak B memperjuangkan negara sekular yang berdefinisikan negara yang adil kepada semua agama serta negara yang tidak mengamalkan perkauman. (Lihat definisi negara sekular oleh Louay Safi)

Definisi sekular pihak A bukanlah definisi sekular bagi B. Malahan bagi pihak B, definisi sekular begitu sangat ortodoks dan langsung tidak dipegang oleh mereka.

Begitu juga dengan istilah liberal.

Ada yang menentang kerana memahami liberal ialah cara hidup bebas yang membelakangkan Quran dan Sunnah.

Ada yang mendokong kerana mendefinisikan liberal sebagai interpretasi yang berlandaskan maqasidi dan menolak golongan nassi atau literal,  menolak pemikiran jumud dan konservatif. Mereka memperjuangkan liberalisasi dalam ekonomi (free market), kebebasan untuk menyampaikan pendapat dan sebagainya.

Begitu juga bid’ah.

Sampai ke sudah tidak habis berbalah kerana definisi yang berbeza. Bid’ah bagi Sultanul Ulama Izzuddin Abd Salam terbahagi kepada banyak jenis kerana beliau mendefinisikan bid’ah kepada semua perkara yang tidak ada pada zaman Nabi. Justeru kereta, sistem sekolah, adalah bid’ah, tetapi bid’ah yang baik bagi beliau.

Manakala sebahagian yang menggunakan definisi As Syatibi yang mengatakan bid’ah hanya merujuk kepada ibadah khususiyah ‘bermati-matian’ melaungkan tiada bid’ah yang baik.

Padahal, jika diteliti sama sahaja keduanya. Imam Izzuddin juga tidak pernah memasukkan ibadah-ibadah khususiyyah dalam bid’ah yang baik.

Oleh itu, sebelum mula berjuang untuk apa-apa pun, pastikan kita berada di trek perbincangan yang betul. 

Baru lah tiada lagi ‘KEKELAKARAN’ yang timbul dalam perbincangan seperti :

‘Kalau semua yang nabi tak buat itu bid’ah yang sesat, naik unta lah!’

‘Sokong liberal maknanya kau LGBT lah.’

Ayat begini lahir dari kegopohan memasukkan diri dalam perbincangan. Eh kelakar lah!

Wednesday 5 November 2014

Sendiri



“Eh, hari ni tak ada kelas kan? Nak gi mana iron baju?”

“Nak gi library.”

“Oh boleh lah gi sekali, saya pun nak gi library jap lagi.”

20 minit kemudian.

“Mas, Mas gi dulu la library. Saya nak gi lepas Zohor kot.”

“Oh. Ok.”

Penyakit apa pun tak tahu. Saya suka sendiri. Sorang-sorang.

Macam mana nak kahwin ni? Hohoho.



Monday 3 November 2014

SPM 2007



Rupanya sudah 7 tahun lepas.

Saya memang tertekan waktu SPM. Atau lebih tepat waktu tingkatan 5. Sebab saya tak pandai dan tak faham apa pun, terutama subjek Sains.

Waktu saya SPM, waktu itu juga abang saya mahu bertolak ke Pakistan untuk berkhidmat di sana. Ma perlu menghantar abang.

Jadi, saya di rumah tidak ada siapa yang mahu jaga. 

Masing-masing ada hal sendiri. Masa tu saya sangat sedih. Sudah lah stress dengan SPM.

Akhirnya, mujurlah ada kakanda dari Perak yang berkorban pulang. Kak Aziah pulang dan duduk di rumah bersama saya beberapa hari.

Saya dihantar ke sekolah dan dibekalkan makanan. Malah saya masih ingat menunya. Pertama kali dalam hidup dilayan begitu. Hahahah..

Biasanya saya ke sekolah dengan bas, dan tidak pernah bawa bekal. 

Alhamdulillah. Itu lah orang kata, akan ada saja perkara yang baik di sebalik ujian.


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....