Sunday 16 November 2014

Perasaan

Minggu-minggu menuju akhir semester ini, ialah minggu kritikal yang mana perlu mengejar tarikh akhir pelbagai tugasan.

Justeru, mari rehat sebentar.

Kita menulis pula soal yang jarang-jarang kita bicarakan. Malah rasa saya, tidak pernah pun saya menulis di sini,

tentang jodoh dan nikah.

Untuk dibincang yang manis-manis, kita bukan remaja sekolah. Malah penuntut universiti pun sebenarnya sudah patut habis bincang yang ‘manis-malu-senyum’. Cuma entah kenapa masih banyak pula manis-manis cinta ini diseminar-forumkan di universiti. Saya juga tak faham.

Kita ini sudah habis zaman universiti. Pasti semua yang ‘sweet-sweet Islamik’ itu sudah kita selesaikan dengan lumat.

Sekarang masanya untuk kita fikirkan kehidupan yang panjang. Bukan main-main dan angan-angan.

*tiba-tiba rasa nak menangis**tak nak jadi dewasa*

Saya belum berkahwin. Mungkin apa yang saya fikirkan keseluruhannya berbeza dari yang sebenar.

Lama kita berusaha dan membina kehidupan kita, menerang gelap jalan di hadapan untuk kita lalu. 

Mengambil yang mana kita suka, membuang yang mana kita tidak selesa.

Sehingga di jalan hari ini kita berada. Sampai di sini, katanya kita perlu berkongsi. Berkongsi jalan dengan orang lain.

Orang yang boleh meneruskan pengembaraan di jalan yang sama, membuang perkara yang sama dan mengutip manfaat yang sama. Membantu memudahkan masa depan. Meneduhkan dan membimbing kepada Tuhan. 

Pastilah itu yang kita harapkan.

Tetapi, boleh jadi kita perlu berkongsi dengan orang yang berbeza. Nyanyi irama yang tidak sama. Suka dan benci yang tidak seperti kita.

Kemudian, daripada kita menentukan semua dan memilih semutlaknya selama berpuluh tahun kita hidup, kali ini kita perlu membontoti? Menurut?

Pasti tidak mudah, bukan?

Sebab itu, siapa yang mahu kita turut itu perlu teliti.

Namun, siapa yang Allah takdirkan untuk kita bukan semestinya yang kita sangkakan dan harapkan.

Hidup ini pasti tidak sesempurna yang kita angankan. Tetapi mungkin dalam ketidaksempurnaan itulah Allah meletakkan rahmahNya.

Banyak sekali yang kita sangka mudah, tetapi sebenarnya payah.

Namun ada juga yang kita sangka sukar, tetapi Allah menjadikannya lancar.

Kita dibentangkan dengan seribu pilihan. Untuk bergerak atau diam, untuk bisu atau bersuara, untuk ke kiri atau ke kanan, atau untuk buat banyak lagi pilihan yang lain.

Namun, kecenderungan perasaan bukanlah alat mutlak untuk kita jadikan ukuran untuk membuat keputusan. Kadang naluri kita seringkali salah pun.

Kita ini serba serbi lemah. Jadi, tidak perlu lari dari ujian. Di mana-mana pun kita akan diuji. Keputusan apa pun yang kita berikan, akan ada di hadapan sana ujian. Jangan kerana takutkan ujian, kita mengelak dari bergerak.

Hanya saja perlu minta bantuan Tuhan dalam menghadapi ujian. Dia, akan sentiasa Memahami.

Jadi?

Jadi, serahlah kepada Tuhan.
(Hahaha, kesimpulan paling selamat daam dunia.)

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...