Monday 13 February 2012

Apa Selepas Bersatu?


Sejak 2008, saya diburu oleh mereka. Bermula di Matrikulasi, sehingga tahun pertama dan kedua universiti, banyak individu yang mewakili berbagai pihak datang mempelawa. Ada yang terus datang ke bilik, cuba menyentuh hati saya dengan hatinya. Ada yang melalui SMS mengajak, di surau dan masjid, dan berbagai tempat dan cara mereka berkempen kepada saya. Supaya apa? 

Supaya saya menyertai jemaah mereka!

Datang seorang dari jemaah A. Saya sengaja bertanya pendapatnya tentang jemaah B. Katanya jemaah B tak adil, hanya tumpukan golongan profesional untuk menyertainya. 

“Habis, yang kat kampung-kampung tu siapa yang nak dekati, dik?” soalnya pada saya. Saya tersenyum, menolak tawarannya dengan penuh santun. Bukan organisasi begini yang saya akan kerahkan khidmat. Memperlekeh mereka yang tidak sekapal.

Itu di matrikulasi. Di universiti, tahun pertama, hampir satu semester dan lebih saya menyertai usrah sebuah organisasi ini. Satu tempoh masa yang lama. Kerana apa? Kerana kaedah yang mereka gunakan sangat licik. Menjadikan saya terhimpit. Bukan saya seorang, tetapi dengan rakan sebilik yang tidak pernah tahu apa itu usrah. Tiada pintu untuk kami keluar. 

Rakan sebilik saya sering meluah rasa menyampah dan meluat dengan cara kakak itu mendekati kami. Saya sebagai orang yang agak2 bertudung labuh juga, walaupun tidak selabuh naqibah itu, sedikit sebanyak merasakan dakwah si naqibah hanya menjauhkan si mad’u. Hanya menggambarkan imej yang hodoh kepada usrah dan halaqah. Saya rasa bersalah dengan rakan sebilik, kerana naqibah itu mengenalinya melalui saya. 

Kerana caranya yang agak mendesak, sehingga kesantunan saya menolak tidak diendah, maka saya dengan sepenuh hati menjadi ‘jujur’ menegur pendekatan naqibah saya pada malam itu. Sehingga dia menangis dan tidak sangka akan tindakan saya itu. (teguran saya melalui telefon dan tidak mengaibkan. Heheh..)

Manakala jemaah yang lain pula, datang ‘menyeru’ dakwahnya kepada saya melalui Facebook ketika di universiti. Seperti biasa, saya bertanya tentang jemaah selain jemaahnya. Lebih mengejutkan, katanya jemaah tersebut bukan menyeru orang kepada Islam, tetapi menyeru orang hanya untuk menyertai jemaahnya semata-mata. Saya terkebil-kebil lagi. Sekali lagi saya tersenyum lalu melangkah keluar dari ‘gerakan’nya yang baru saya mahu dekati.

Bukan saya tidak mencari, tidak sekali mahu mengasingkan diri dari mereka yang mencintai ILAHI, tetapi, sering saja mereka bercanggah dengan keinginan sebenar jiwa saya. Benar, individu sesebuah organisasi bukan melambangkan keseluruhan matlamat dan perjuangan entiti itu. Namun, sedikit sebanyak menimbulkan ketidakselesaan dengan keberadaan mereka di sekeliling saya.

Tahun ketiga di universiti, tiada lagi yang datang mengajak seperti dahulu. Namun baru-baru ini, sahabat baik saya di Indonesia mengadu masalah yang serupa.

Saya membantunya dengan berkongsi artikel-artikel yang saya baca semasa menghadapi konflik ini.

(i)                  Hukum dan Adab Berjemaah dalam Islam oleh Kapt Hafiz Firdaus
(ii)                Jemaah Centric vs Ummah Centric. oleh  Dr Maszlee Malik.

*lihat apa yang ditulis, bukan siapa yg menulis!

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...