Monday 13 August 2012

Pengisian Cuti


Jika anda punyai akal yang sihat, bacalah Perempuan Nan Bercinta. Jika anda meninggalkan PNB kerana takut di’Syiah’kan, anda sedang meletakkan diri anda bersama orang yang lemah akal nya. Melainkan jika anda memang hanya menggemari buku-buku Islam cinta kopiah-tudung, maka anda tidak sesuai untuk PNB. Pergilah menelaah terus buku begitu sampai ke tua.

Kalaupun tidak pernah diiktiraf menjadi ulul albab, bahkan jauh nian dari gelaran tersebut, sekurang-kurangnya berusahalah mencapai darjat itu.

Bacalah dari sumber yang berbagai, jangan takut mencari ilmu. Tetapi takutlah menjadi orang yang tidak berilmu. Sekali tersalah kerana berusaha mencari yang benar adalah lebih baik dari menyangka diri sentiasa benar kerana hanya mengikut dan menurut manusia ramai tanpa teliti mengkaji.

Sesungguhnya PNB memberi gunungan ilmu buat saya, yang tidak mungkin saya mendaki cari bahan-bahan rujukan yang digunakan untuk melahirkan PNB. Syukur semua itu dihimpun, kemudian digarap menjadi kisah yang indah dalam hanya sebuah buku merah. Hadiah buku yang paling beruntung saya terima dari kekanda.

Syiah atau Sunni, mereka masih Muslim yang mahu mengikut Nabi.

Mesej dari seorang kawan kepada seorang teman yang lain.

“Km dpt tau dari seseorang, Zahidah, dia berpegang pd ajaran Wahabi, dan awak dibimbangi terikut dengan dia.”

Gelegak perut tergelak. Kalau begitu, saya Wahabi rupanya.

Selepas saya bercerita tentang Perempuan Nan Bercinta, maka saya pun menjadi Syiah barangkali. Menarik!

Padahal Wahabi dan Syiah itu jauh lagi dari langit dan bumi bezanya.

Entah dari siapa mula mengajar melabelkan manusia dengan gelaran-gelaran begitu. Kalau yang dilabel hanya saya, tidak mengapa.

Tetapi apabila yang dilabel itu tokoh-tokoh masyarakat, maka manusia mula menjauh. 

“Eh, jangan dengar dia tu. Dia Wahabi.”

“Jangan baca buku tu, penulis dia Syiah.”

Zaman maju begini, masih ada rupanya yang jumud. Bahkan ramai. Masih wujud golongan yang melihat siapa yang bercakap, bukan menganalisis apa yang dicakap.

Kalau ya pun yang berceramah itu Wahabi, berdosakah kalau dengar? Apa tidak ada akal untuk menilai apa yang disampaikan itu baik atau buruk? Sehingga seringkali perlu mengikut telunjuk orang? Kalau jahil, berguru, membaca, mengkaji. Bukan menurut.

Kalau ya pun yang menulis itu Syiah, haramkah jika di baca? Apa tidak ada otak untuk memikir mana ayat yang menghina sahabat, mana perenggan yang menghalal nikah mut’ah? Sehingga terketar-ketar takut terbaca walau sebaris ayat dari buku Syiah. Nanti jadi Syiah. Kalau jahil, berguru, membaca, mengkaji. Bukan menurut.

 
"Secara akademik, perbezaan yang berlaku antara mazhab, tidak perlu sampai membuang mazhab yang lain dan menggantikannya dengan yang baru. ia seperti perbezaan empat mazhab Sunni yang saling bermaaf-maafan dalam perkara yang diselisihi dan tidak saling dakwah mendakwah antara satu sama lain. "- petikan di sini.
 
Mari membaca, mengkaji, berfikir dan bertindak.Usah terus berterusan mengkrittik itu ini, di situ dan di sini.


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....