Tuesday 15 September 2015

Kenanglah Ibn Taimiyyah

Ada yang menjadikan jiwa bersedih. Hari-hari yang dititi ada yang perlu dirintih. Lemah, sungguh lemah jika syurga bahagia kita ada pada tangan orang lain.

Atau, yang lebih tepat, apabila kita menyerahkan syurga kita kepada orang lain.

Ibn Taimiyyah, ulama yang jauh dari kemewahan, sangat miskin. Hidupnya diancam kiri dan kanan kerana fatwa yang dikeluarkan. Diseksa dan dipenjara. Ibn Taimiyyah malah meninggal di dalam penjara.

Beliau manusia seperti kita. Manusia yang juga punya deria.

Tapi syurganya bukan terletak pada tangan orang lain.

Agung kata-katanya telah memberi rasa baru kepada jiwa-jiwa yang menghayatinya.

Katanya, "Apa sahaja yang boleh dilakukan musuh-musuhku? Syurgaku berada di hatiku. Ke mana aku pergi, syurga ada bersamaku."

Ibnul Qayyim mengakui tidak pernah melihat orang yang lebih nikmat hidupnya berbanding Ibn Taimiyyah. Beliau manusia paling lapang dadanya, paling kuat hatinya dan paling bahagia.

Masya Allah. Letaklah syurga dalam raga jiwa kita. Bukan pada persekitaran, bukan juga pada pasangan atau mana-mana teman.

Malah Ibn Taimiyyah juga terkenal dengan kata-kata, "Di dunia terdapat satu syurga. Siapa yang tidak memasukinya, tidak akan memasuki syurga akhirat."

Berbahagialah. Hidup ini terlalu indah untuk hanya lelah dan rebah. Ada, ada syurga untuk kita. Nikmatilah.

Kalau sekadar kata dari dua bibir manusia sudah memusnahkan seluruh bahagia, pandang mata mereka meruntuhkan syurga kita, kenanglah Ibn Taimiyyah yang bahagia. Tidak cemburukah kita? Di dunia dia merasa syurga, di akhirat juga bahagia.

Sunday 6 September 2015

Pesan Buat Anak

Pesan Buat Anak

Kiranya nanti engkau dipanjangkan usia menjadi remaja, susurilah jalan remajamu sebagai seorang dewasa.

Kerna pada usia yang telah banyak ini, barulah nanti engkau akan rasa sesalnya menjadikan waktu muda tiada apa-apa. Ruginya waktu emas itu engkau buang untuk sekadar perkara yang ringan.

Harusnya remaja itu kau penuhkan saatnya dengan merapati ilmuwan. Bercinta dan berbahagia dengan orang sarat ilmu. Bagaimana bolehnya sehari-hari engkau bersama mereka?

Dengan buku.

Kau akan merasa enaknya membaca. Dalam jajaran buku di rak perpustakaan, engkau akan tahu dalamnya ada sebuah kehidupan. Dunia memang istimewa, namun buku lebih istimewa kerana ia membawa pelbagai jurus dan hala dunia dekat denganmu dari pandangan orang beribu.

Orang, akan kausakiti atau akan kau disakiti. Namun buku, ada saktinya sendiri.

Sampai satu ketika, ketika kau disakiti manusia, akan kau terus teringatkan buah-buah buku yang kaumiliki untuk memberi permai pada hati.

Akan segera engkau berlari mendapatkan ayat-ayat yang pernah kau khatam untuk kembali kau ulang.

Begitu anakku. Bercinta dengan buku hanya ada satu pengakhiran ceritanya, iaitu bahagia.

Itu satu saja pesanku. Membaca dan kau akan bahagia.

(untuk 14 orang anak yang ada, kerana ketika menyebut anak, siapa lagi yang ada di mata kalau bukan 14 itu?)

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....