Thursday 21 May 2015

Muadz dan Iman

Pukul 1 tengahari, bilik guru mula sesak. Guru sesi petang mula datang. Yang pagi masih belum pulang. Sesak dan bising yang menelan seluruh damai.

Hari itu saya puasa. Letih. Ada pula kakak guru ni datang mengadu itu ini. Saya pula mahu berkejar ke kelas seterusnya sesi petang. Dapat pula khabar Dr Fauzi Deraman ditimpa musibah.

Longlai seluruh anggota.

Saya berjalan menuju ke kelas. Saya nampak Muadz di tingkat bawah. Saya senyum sendiri. Yang letih dan sedih, marah dan sesak, tetapi boleh menghasilkan senyum melihat anak kecil 7 tahun itu.

Muadz anak guru di sini. Dia anak yang pemalu. Saya suka usik dia. Ada satu hari, saya buat-buat tak nampak dia lalu tepi meja saya. Dia batuk kuat-kuat. Tahu pun dia alangkah tidak seronoknya jika saya tidak mengusiknya.

Dia jarang bercakap. Hanya senyum, angguk dan geleng. Itu yang buat saya lagi mahu mengusik.

Iman pula terlebih peramah. Dia juga saya selalu usik. Sehingga dia mahu ikut saya ke mana saya pergi. Dan murid-murid pun menyangka Iman itu anak saya.


Itulah anak-anak yang tiada dosa. Orang yang disayangi Tuhan, masakan kita tidak sayang.

Sekarang musim peperiksaan. Apabila melihat wajah pelajar, kesian pula. Mereka pasti lebih mulia di sisi Tuhan berbanding saya. Dosa mereka lebih sedikit. Bagaimana saya boleh memarahi mereka?

Semuanya kerana nafsu administrasi. Yang melihat manusia seperti robot dan mesin. Yang menyangka manusia dicipta dari teori yang mereka baca. Yang berasa ada kuasa kun fayakun.





Saturday 9 May 2015

Manhaj Ilmu

Kesedaran lahir dari pengetahuan.

Ibn Jauzi dalam Talbis Iblis mengecam majlis yang membuatkan manusia menangis beramai-ramai.

Bukan, itu bukan gayanya.

Kesedaran yang kita perlukan ialah sedar dengan ilmu. Tahu. Dengan itu baru menangis sendiri di hadapan Tuhan.

Pengetahuan yang sentiasa ditambah, dibincang, diperingat akan menambahkan sedikit demi sedikit amalan dan dengan sendirinya menjauhi maksiat.

Jika berubah ke arah kebaikan tapi tidak melalui pengetahuan bimbang akan lahir perkara bidaah yang disangka baik.

Bertambah lagi kerja asatizah memanggil orang kepada sunnah.

Sebab itu sesiapa pun perlu melazimi ilmu. Tidak ada alasan peringkat rendah peringkat kampung peringkat tinggi.

Semua kena disampaikan agama ini dengan manhaj ilmu. Tiada jalan pintas sebarkan agama dengan lawak dan macam-macam bunyi gendang dan tarian beralasankan memaut hati-hati manusia.

Ramai pun jika umpama buih gunanya apa?

Rasa sangat membazir masa jika masuk ke 'majlis ilmu' dengan membawa pen dan nota, tapi tiada apa yang boleh dicatat melainkan 'Hahahah..'

Entahlah. Nak kata macam-macam pun kita tak buat apa. Allahummaghfirlana.




Saturday 2 May 2015

Alam

Orang takut pada dentum petir.

Biarkan alam meluah rasa.

Ia tidak lebih merosakkan daripada manusia meluah amarahnya.

Alam yang meluah tanda tunduk pada Tuan.

Insan yang meraikan amarahnya tanda derhaka pada tiga kali pesan nabinya.


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....