Friday 17 September 2021

Ayah

Pagi tadi Kakanda Pertama berkongsi gambar terakhir Ayah yang diambil bersebelahan Ma di Kampung Chabang Dua pada tahun 2000. Ketika itu, saya berusia 10 tahun.

Sebentar tadi pula, Kakak Kedua berkongsi video gambar gambar Ayah yang lain berlatar belakangkan alunan sayu.

Kami sekeluarga hari ini merindui Ayah. Semoga Ayah sedang meniti hari hari bahagia di alam sana bersama kasih sayang TuhanNya.

Tak banyak yang dapat saya kenangkan sepanjang bersama Ayah. Saya masih kecil ketika Ayah pergi. Yang tidak banyak itu lah saya mengulang kenang beriring doa untuk Ayah.

Saya masih nampak bayangan Ayah. Apabila saya bangun dari tidur untuk mandi ke sekolah, saya akan nampak Ayah masih di atas sejadah berzikir. Saya ingat juga Ayah menghantar saya dan Kakak ke sekolah dengan kereta. Rasanya masa tu, dua dua kami duduk di depan. Kata Kakak, 'tengok ni, sejuk' sambil letak tangan dia dekat tempat aircond sebelah kiri. Ayah ambil tangan saya dan letak di tempat aircond yang ada dua lubang udara di tengah, 'kat sini lagi sejuk' kata Ayah. Saya ingat Ayah akan tumpangkan siapa2 yang berjalan ke sekolah, masuk bersama dalam kereta Ayah. Biasanya anak Che Adib tu yang akan Ayah tumpangkan. Perkara yang sama berlaku untuk saya ketika saya di sekolah menengah. Saya pula ditumpangkan oleh ayah orang lain.

Saya ingat Ayah akan ke masjid setiap kali waktu solat. Sehingga saya menyangka orang lelaki wajib berjemaah di masjid, tidak boleh bersolat di rumah sebab saya tidak pernah nampak Ayah solat wajib di rumah. Apabila Abang saya yang sulung pulang ke kampung, saya nampak dia solat Zohor di rumah, saya terkejut sekali. Saya cepat cepat bagitahu Kakak. Kata Kakak, apa masalahnya? Baru saya tahu rupanya, boleh juga solat di rumah. Ohh begitu..

Saya ingat Ayah memimpin tangan saya menaiki tangga pasar di Kota Bharu untuk membeli pakaian di tingkat atas. Saya masih ingat rasa secure ketika berjalan di tepi Ayah. Saya ingat Ayah meletak lauk di pinggan saya ketika makan bersama. Saya ingat Ayah memeriksa mata saya yang selalu sakit dan kami berdua akan ke hospital setiap kali ada appointment mata saya. Ketika menunggu di hospital, Ayah akan membaca surat khabar. Saya masih ingat Ayah hulurkan saya surat khabar Didik untuk saya baca semasa menunggu.

Saya masih ingat Ayah belikan saya basikal ungu. Masuk Darjah 4, saya sudah membawa basikal sendiri ke sekolah, Ayah tak lagi menghantar. Saya ingat Ayah di muka pintu melihat saya sedang mencuba basikal baharu itu di di hadapan rumah.

Ketika Ayah di wad, kami selalu berulang ke HUSM petang petang menaiki kereta. Saya ingat Kak Aziah yang memandu kereta Ayah membawa saya ke hospital. Saya akan bersiap memakai baju kurung dan tudung. Saya ingat juga peristiwa vending machine yang menelan duit saya. Saya membawa syiling siap siap dari rumah untuk membeli air di perkarangan hospital. Mesin itu benar benar menarik perhatian saya. Saya ingin membeli air tin yang berwarna ungu berperisa grape. Saya fikir pasti air itu sedap.

Saya sudah lupa saya membeli bersama siapa. Yang pasti, mesin itu menelan duit saya dan tidak mengeluarkan apa apa tin air pun untuk saya. Saya kecewa sungguh sungguh, dan saya menangis di situ. Menangis kecewa, dan menangis sebab ada yang gelakkan saya. Saya sudah lupa siapa.

Sebagai anak kecil, saya tetap tidur lena ketika ayah sakit. Saya tetap bermain riang tanpa gusar dan gundah.

Suatu hari, ketika saya pulang dari sekolah dengan basikal, saya nampak kereta penuh di hadapan rumah. Saya masuk ikut pintu dapur. Saya biasa sahaja. Tak berfikir apa apa pun.

Saya lihat orang sedang membaca Yasin untuk Ayah. Dan kemudian mereka pulang.

Esoknya, 27 Mac 2000, saya mahu ke sekolah. Sudah siap memakai uniform, saya mencari kasut saya. Rupanya kasut saya di pintu dapur sebab semalam saya masuk di situ. Kasut saya basah sebab terkena hujan pada malamnya. Saya bagitahu Ma. Ma sedikit membebel. Kenapa tidak letak kasut di tempat yang betul. Kasut hanya ada satu, sudah tidak boleh pakai ke sekolah. Saya tidak ke sekolah hari itu, di rumah sahaja. Saya sedih sebab kena marah dengan Ma.

Ketika itu, ramai yang meminta saya duduk di tepi Ayah. Ayah terbaring di ruang tamu, ramai yang datang bacakan Yasin. Saya malu sebab ramai orang di ruang tamu. Tapi saya pergi duduk juga, dan Ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan saya. 

Saya masih ingat ramai yang menggosok gosok belakang saya mengatakan tak mengapa, ada ramai kakak dan abang yang akan jaga saya. Saya ingat Mok Ah pesan, "malam ni, Dah tidur dengan Ma ya."

Saya pun lupa bagaimana perasaan saya ketika itu. Tetapi perasaan kehilangan itu belum kuat saya rasa ketika itu. Saya mula mengenang Ayah ketika di sekolah menengah. Mungkin waktu itu baru saya benar benar rasa memerlukan tetapi Ayah tiada.

Emosi sewaktu sekolah menengah betul betul mencabar saya. Saya jadi mahu salahkan abang dan kakak, saya rasa semua orang perlu ada di sisi saya dan Ma. Mungkin kalau Ayah ada, saya akan rasa cukup dengan Ayah dan Ma.

Saya sentiasa rasa sedih sewaktu sekolah menengah. Saya sedih ketika melihat Ma berjalan sendirian menaiki teksi untuk mengambil wang pencen bulanan di Kota Bharu. Saya sedih ketika saya berjalan dengan Ma dari Kedai Yam sama sama mengusung beras. Saya sedih ketika saya berpakaian sekolah masuk pejabat pos membayar bil bil rumah selepas pulang dari sekolah. Kalau difikir sekarang, benda itu biasa sahaja, tetapi waktu itu emosi remaja yang mahukan segunung perhatian dan kasih sayang.

Saya sedih melihat ayah kawan kawan saya datang mengambil keputusan peperiksaan mereka di sekolah. Saya jadi benci pada Mudir ketika itu yang mengatakan ibu bapa yang tak datang ambil keputusan anak mereka tak sayang pada anak mereka. Saya benci sekali kepada peraturan sekolah bermula saya tingkatan 4 yang mewajibkan penjaga hadir mengambil keputusan setiap kali ujian. Humairah pernah meminta ayahnya ambilkan keputusan saya. Kata ayahnya bergurau, 'ohh jadi Abi ada 2 anak la ni dalam kelas sama.' Saya tersenyum malu serba salah. Ayah Atiqah entah berapa kali menjadi wakil penjaga saya.

Ketika saya mendapat jemputan menerima anugerah SMU di Balai Islam ketika Hari YIK, saya tidak hadir. Menaiki bas ke Balai Islam sahaja perlu naik 2 bas, lagipun saya sendirian. Saya memilih untuk di rumah sahaja. Waktu waktu begitu lah, saya rasa benar benar kehilangan.




Monday 6 September 2021

Menstruasi

Kitaran bulanan bagi setiap perempuan ini berbeza beza setiap yang melaluinya. Sejak berkahwin, dan belum mendapat zuriat seteleh 3 tahun menikah, ramai yang bertanya kitaran menstruasi saya. Mungkin mahu mendiagnos barangkali hahahha. Saya okay sahaja. Tanyalah apa pun, jiwa saya, kalau tak saya beri untuk disentuh, tak tersentuh jua.

Kitaran saya, saya kira normal. Setiap bulan ia akan ada. Tak lama dan tak sekejap. 

Lalu ditanya lagi persis pakar ong, ada senggugut tak? 

Senggugut ini lah yang saya mahu kongsikan hari ini. Senggugut ni sejenis kesakitan. Kalau doktor, biasanya dia akan memberi skala untuk kita pilih kadar kesakitan itu. Dan saya ini jenis yang tidak suka walau sedikit kesakitan (ada ke yang suka?) Jadi saya sentiasa memilih yang besar besar bagi menggambarkan kesakitan. 

Saya sakit. Tak tahu mahu gambarkan bagaimana. Kadang rasanya seperti ada gear tajam yang berpusing pusingan di bawah pusat. Kemudian dari bawah pusat sehingga ke buku lali, lenguhnya seperti mahu saja diurut urut seribu tukang urut.

Saya akan menggunakan minyak angin tanpa makan ubat. Kerana bagi saya, saya mampu menanggung lagi. Saya mampu pergi bekerja, saya mampu buat semua yang wajib dalam kesakitan dan kelenguhan, tetapi jika saya bersendiri, saya akan berehat. 

Begitulah senggugut saya. Tetapi setiap kali ditanya, saya akan menjawab, sakit biasa biasa je. Tak adalah sampai makan ubat. Siap jawapan saya.

Saya tak suka menerangkan panjang lebar. Cukup seminimal mungkin. Kecuali kepada orang yang saya selesa. 

Sekarang, saya sedang mengalami senggugut itu. Tetapi saya mampu buat kelas online google meet unutk anak2 saya, saya mampu siapkan hidangan nasi ayam untuk suami saya balik makan malam nanti. Alhamdulillah.

Sunday 5 September 2021

Cikgu

Ketika kakak saya mencadangkan saya mengambil bidang pendidikan di univeristi, saya dengan takbur merasakan, 'jadi Cikgu je?' Sungguh saya langsung tak teruja.

Tetapi memikirkan masa depan yang lebih mudah hahaha maka saya merelakan. Ketika di univerisiti, ada juga rasa sayu membaca blog rakan rakan yang belajar bidang lain yang lebih hebat. Kadang rasa menyesal kenapa lah aku tak ikut mereka. Kadang rasa bersyukur jalan kehidupan lebing tenang dan lapang berbanding mereka. Cinta datang dan pergi.

Apabila telah mula bekerja, rupanya saya suka menjadi cikgu. Saya suka berjumpa pelajar, saya suka mengajar mereka, saya gembira melangkah ke kelas, saya menyayangi anak anak murid, dan saya juga rasa disayangi ramai. Seronok.

Tetapi ada satu perkara yang dari prkatikal saya tak selesa. Sikap guru guru. Iya, kita semua manusia. Kata kakak saya, di tempat kerja mana pun, memang begitu. Bercakap hal orang, mengumpat, small talk hal hal remeh yang sangat merimaskan, tidak bersikap profesional dan tidak ada budaya ilmu.

Saya tidak hairan membaca berita guru enggan divaksin. Saya tidak hairan orang meremeh dan memperlekehkan guru. Mahu saja saya benarkan. Memang!

Sudahlah rasa diri dan pekerjaan mereka paling mulia, tidak boleh ditegur, sekarang jelas mereka menunjukkan sikap tidak ilmiah dan profesional mereka dengan menolak vaksin! 

Dr Radzi Jidin perlu menilai semula kualiti para guru. Saya sudah tidak sanggup lagi berkongsi profesion yang sama dengan orang orang begini.


BUKU

Semalam saya membaca buku Dr Maszlee mengenai impian beliau untuk menjadikan Malaysia sebuah negara membaca.

Kempen itu tidak lagi berbunyi hari ini kerana perubahan politik. Padahal sewaktu terkurung beginilah kita semua selayaknya mengisi ruang dengan membaca. Mungkin pemimpin hari ini tidak mahu pun menjadikan rakyat negara ini membaca. Nanti jadi pandai, tak ada pula yang mentaqlid mereka sepenuh ikhlas di dada. Kikikiikii...

Kata Dr Maszlee, membaca memberi kita seribu imaginasi. Imaginasi memberi kita seribu impian. Dan dengan impianlah kita membina kejayaan. Sebab itu pada zaman beliau, beliau mengarahkan Majlis Zakat Negeri untuk memberikan buku kepada golongan asnaf, golongan yang berada di penjara, di rumah anak yatim, di rumah orang orang tua, kerana setiap kita mempunyai hak untuk berimaginasi. Bukan kerana miskin, lalu kita tak mampu berimpian seperti mana orang lain.

Sebenarnya menjadi introvert memberi kelebihan untuk mencintai buku. Mendampingi buku tidak seperti mendampingi manusia. Selepas makanan, buku lah yang paling sedap. Selepas makanan ya.. hahaha

Saya pernah terbaca, kita hanya memerlukan SATU buku untuk jatuh cinta kepada MEMBACA.

Betul. Bacalah apa sahaja yang kita suka. Tapi janganlah membaca instagram instafamous sahaja.! 

Ketika saya sekolah menengah, saya suka artis nasyid. Saya memebeli majalah i setiap bulan untuk membaca ruangan muzik islami. Hahaha. 

Hanya SATU ruangan itu yang menjadikan saya jatuh cinta pada seluruh majalah itu, dan akhirnya pada kelakuan membaca itu sendiri.

Melalui majalah itu lah saya mengenali Dr Maza, Dr Maszlee, Dr Zaharuddin, Hafiz Firdaus, Faisal Tehrani dan sekian banyak penulis lain yang membawa saya membeli pula buku buku mereka yang lain.

Saya gemar ke perpustakaan. Saya tidak tahu kenikmatan yang bagaimana untuk saya gambarkan ketika di perpustakaan. Cinta saya kepada sunyi digabungkan dengn cinta kepada buku. Ah ghairah rasanya. 

Ketika saya kecil, Ayah setiap hari membawa balik akhbar harian. Setiap hari Selasa, ada akhbar Didik. Dalam tu ada macam macam ruangan aktiviti untuk kanak kanak. Saya akan uat bersama Kak Mah. Saya akan buat yang lebih senang, dan Kak Mah yang susah sikit sebab dia dah besar.

Kakak saya juga ada belikan buku cerita pada saya dan Kak Mah. Ada banyak cerita dalam tu.

Terima kasih semua yang menyumbang kepada kecintaan saya kepada buku.

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....