Saturday 28 December 2013

Hari Jadi Mu



Aku tidak tahu apa yang disembunyikan pada hari-hari depan untukmu, peranan apa yang ditakdirkan ke atas mu dalam membawa risalah Allah. Aku tidak tahu jalan mana yang akan kaulalu, justeru sampai kepada matlamat Yang Satu, asal sahaja jalan yang kaulalu itu adalah satu dari jalan dakwah yang beribu.

Apa yang pasti, aku memiliki peranan yang belum habis aku langsaikan. Kalau telah tuntas aku kerjakan, harusnya belulangku pun telah hancur reput di tanah. 

Aku memuji Allah setelah Dia mengirimkan engkau ke muka bumi. Kiranya engkau menjadi harapan yang ada di tangan, tidak terosak tanpa keizinan. 

Justeru sekecil usiamu yang baru berkenalan dengan alif ba dan ta, aku coretkan semurah nilaian nasihat, daripada aku yang kosong, guna untuk kau tidak mencontohi aku dalam meniti tanpa mendaki.

Agar, engkau tidak menjadi kosong dan murah, sepertimana aku.

Aku membaca tulisan Ali Shariati seorang intelektual Syiah, serta doanya.

“Tuhanku, gariskan jalan hidupku. Agar ketika ajal tiba, aku dapat menggariskan jalan matiku sendiri. Biarkan aku yang memilihnya, asalkan Kau meredhainya.
Tuhanku, berikan aku keselamatan di tengah bencana besar penyakit kebodohan yang terlupakan kerana telah menyerang semua orang. Bahkan setiap orang yang belum menderita pun, tampak sakit. Tuhanku, selamatkan ku dari penyakit menyembelih hakikat di pejagalan syariat.”

Begitulah aku mendoakan juga untuk dirimu.

Agar Tuhan selamatkan kita semua daripada penyakit kebodohan. Seakan ditabur dari langit penyakit itu turun. Mungkin juga bala dari Sang Penjaga Langit kepada penduduk bumi, supaya menjadi lebih lembut kepada Muhammad.

Sudah terlalu kasar kita menderhakai Baginda. Menyelisihi adab dan akhlak Baginda telah berjuta hasta. 

Kerana itulah, aku sering berdoa kepada Tuhan, agar selamatkan kita. Biar kita terkecuali dari mereka, mereka yang dihurung kebodohan, tanpa bodoh itu sesekali berpuasa dari menghinggapi.

Bukanlah aku menghina mereka. Tetapi aku sedih menyaksi mereka memperbodohkan diri mereka sendiri, iaitu dengan menampakkan segala mazmumah yang dengan bangga diselak.

Anakku, kita semua punya nafsu. Aku dan kamu, kita mahupun mereka, ada garis hitam di hati. Adalah satu kebodohan apabila kita dengan kerelaan menyelak lapisan iman dan mempamer segala lendir nafsu yang kita simpan.

Sesungguhnya nafsu itu untuk kita berjuang melawannya. Ada hadiah dari Tuhan untuk kemenangan itu. Tetapi malang, apabila mereka yang dihurung kebodohan, berbangga dengan kekalahan mereka. Oh!

Kalaupun setelah tugasku langsai di bumi ini, kau pasti akan terus bernyawa.

Aku mahu kautahu, akan cintaku. Sebanyak-banyak cinta yang boleh aku beri. Bawalah risalah Allah sepanjang usiamu. Agar cintaku sentiasa bertemankan risalahNya biarpun telah hancur tulang-tulang ku.

Sekian.


-sempena hari jadi 5 tahun Areef Irsyad Muhammad hari ini.



Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....