Wednesday 31 August 2011

Raya & Merdeka


Salam Aidilfitri dan Salam Merdeka. 

Dengan bangganya saya mengisytiharkan, saya tak tahu pun apa tema merdeka tahun ni. =(

Apa pun, saya tetap cintakan Malaysia walaupun tak ada jalur gemilang untuk dikibarkan. Apakah maknanya berpeluh2 mngibar jalur gemilang, tapi banyak menyumbang masalah pada negara? Apakah baiknya bersakit2 kerongkong melaung2 merdeka, tapi menjadi liabiliti pada negara? 

Teruskan menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang ke 54. Merdeka la dari penjajah semutlaknya. Jangan merdeka dari Tuhan sudah!

Untuk raya pula, saya sangat seronok beraya tahun ini. Sebab saya berada di rumah sebulan penuh puasa, jadi saya sempat buat kuih raya..yay! terawih kat surau kampung jugak, yay! Dan, banyak lagi perkara best2. Tapi, 10 hari lagi, saya akan pulang ke kampus. Oh, syahdunya..

Saturday 27 August 2011

And in the end, the love you take equal to the love you make.

Pemohon Bantuan Pejabat Zakat Bukan Pengemis
by:drmaza
Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak.

Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa 'amat sederhana'. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi.

Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.
azlanSaya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat.

Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik.

Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya.

Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Mesra dan sayang


Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya.

church attacks sunday massMereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan 'mesra dan sayang'.

Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya?

Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat.

Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu.

Kekal keislaman

Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja.

Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.

Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.

NONEDia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya.

Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan 'tukaran' yang tidak dapat saya maklumkan di sini.

Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.
Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut 'semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.

Semasa saya menziarahinya - tanpa notis awal - dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih.

Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan.

Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan sarjana dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salahkan gereja

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan 'dakwah'.

Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

NONECubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan.

Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita.

Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu bilion. Itu setiap tahun.

Cari, bukan tunggu penerima zakat


Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tetapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwah Islamiah.

Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatah lagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

azlanJika program "Bersamamu" boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat.

Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan.

Firman Allah (maksudnya): "(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 273)
Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan.

Kata Saidina 'Umar RA: "Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka."

Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): "Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini." (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-'ilmiyyah).
Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas.

Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

Tuesday 23 August 2011

Young Generation Needs.

Dari golongan agama.

Kami sudah lelah, letih dan malas untuk melihat sesetengah golongan agama yang berbalah. Kalau ya pun berbeza pendapat, takkan bab akhlak pun berbeza. Bukankah akhlak dan adab itu universal sifatnya, semua agama mementingkan dan mewajibkan berakhlak. Ataupun ada perbezaan pendapat juga yang mengatakan berbalah2 dengan tak beradab itu harus wahai pak ustaz?

Kedua, kami generasi muda perlukan fakta! Fakta yang tepat dan jelas. Barulah mudah untuk kami amalkan. Kalau setakat nak baca satu ayat dalam bahasa Arab, lepas  tu tak state kan itu ayat Quran atau hadis, atau athar atau kata2 ulama, kami jadi keliru dan payah untuk amalkan. Kami tertanya2, ustaz ni ambil dari mana. Sahih ke tak, israiliyyat ke tak. Justeru, kami mengharap golongan agama agar rajin membuat homework sebelum memberitahu apa2. Boleh kan? Kan ustaz selalu cakap, saling menasihati itu akhlak mulia. =)

Kerana kami perlukan fakta, kami minta kurangkan emosi. Kami takkan boleh berubah kalau dengar ceramah yang penuh emosi, tapi kosong fakta dan dalil. Ya, mungkin saat itu terasa terdetik kesedaran sebab sedih tengok ustazah menangis,  tapi 2 jam kemudian, kami sudah lupa akan kesedaran itu. Untuk mengistiqamahkan satu hijrah, kami perlukan fakta dan dalil. ( contohnya rancangan Halaqah yang style baru ni, memang bagi kesedaran, tapi berapa minit je, lepas tu tak ingat dah. Lebih baik style lama yang mengupas sesuatu isu berdasarkan hukum dan dalil. )

Ketiga, kami perlukan contoh yang praktikal dan logik. Mungkin golongan penceramah2 agama boleh kurangkan cerita2 yang sangat payah unutk kami tiru. Contohnya, ada wali yang solat 1000 rakaat semalaman. Macamana kami nak ikut tu? Akhirnya, dua rakaat semalaman pun kami tak buat. Begitu juga cerita2 pelik2 yang mungkin pernah terjadi kepada orang dulu2. Bukan kami nafikan karomah, tetapi bukankah karomah itu hanya diberi Allah kepada orang2 tertentu yang sedang membela agama Allah? Takkan nak beli ikan di pasar pun tiba2 ada karomah. Kalau boleh kurangkanlah cerita2 macam ni, sebab kawan2 kami yang payah nak dengar ceramah agama, tiba2 dengar cerita2 macam ni akan ‘buat muka’ dan rasa ceramah agama ni macam cerita kartun. 

Kemudian, lawak jenaka. Memang seronok kalau penceramah tu pandai buat lawak. Tapi kalau dalam ceramahnya ada 30 points, bab lawaknya  40 points,  kami kurang selesa. Dari muqaddimah sampai khatimah, lawak memanjang, sehingga lupa untuk beri fakta dan dalil, kami jadi penat nak gelak. Baik tengok maharaja lawak kalau macam tu kan?  Lagi lawak.. lawak ini ibarat gula, kalau tak ada, tawar sangat pun tak best, kalau melampau banyak sangat pun, boleh termuntah. Apatah lagi kalau lawak2 lucah yang selalu kami dengar dari ustaz. (Ha?)

Lepas tu, penampilan. Kami sebenarnya tak kisah sangat penampilan ustaz ni. Nak pakai lilit serban pun tak apa, nak pakai jeans pun tak apa. Yang penting tak melampau. Kalau berserban berjanggut, jangan lah sampai nampak menakutkan. Betul, kami yang jarang2 bergaul dengan ustaz2 ni, tiba2 tengok ustaz macam ni, macam payah nak dekati je. Kalau pakai jeans pulak, jangan la sampai rambut pun tercacak2. Baju punya stylo, tak ada gaya ustaz langsung. Begitu juga dengan ustazah. Sesuaikanlah dengan title ustazah. Kesimpulannya, sederhana itulah yang paling hampiri sempurna. 

Sebenarnya, kami bukan nak mengada2 komplain itu ini. Demi kelangsungan sebuah perjuangan bernama dakwah, kami cuba menyusun kata2 ini. Semua ini, untuk agama kita, Islam. Jangan nanti anak2 muda lebih selesa mendengar hujah dan ceramah di gereja lantaran golongan2 agama kita yang jauh di hati mereka. Nauzubillah. Bacalah dengan hati, terimalah dengan jiwa yang bersih, dan amalkanlah dengan anggota. Semoga kita semua beroleh pahala. Jangan lupa, nasihati sesama kita.


*kami=saya 
*ustaz=sesetengah ust

Cerita Si Manja


Bila mata luas terbuka
Ria gembira tidak kira dimana
Bila mata kantuk mahu tertutup
Dihalang tidur segenap pelusuk!

Oh, sayang..
Bahasa apa yang dibicara
Tidak lah tidak, mampu difahami
Bibir mengulum ayat dan kata
Hingga Su kepeningan lagi.

Hanya kerana sebotol susu
Airmatanya boleh mengalir laju
Suaranya boleh sampai beribu batu
Mengundang sakit di telinga Su.

Sedikit sakit pada anggota
Terus diarah mengambil ubat
Walau tiada pun yang luka
Terpaksa juga sapu sampai lelap.

Ada masa suka ketawa
Ada ketika menangis dipilihnya
Kadang2 azan tidak kira masa
Tapi tidur jangan sekali dipaksa!

Aduhai,
Kepada siapa mahu bermanja
Kalau bukan pada peluk ummi
Tidaklah ada kasih manusia
Setulus ibu di muka bumi.

Teruslah dewasa menjejak dunia
Bukan berlian bukanlah permata
Hanya iman warisan keluarga
Untuk dijaga sampai ke syurga.

*untuk si petah yg sering sahaja bercakap banyak.  Kalaulah masa itu ada butang forward, akanku tekan menyaksi dia menjadi dewasa. Kerana tiada siapa mampu menjamin,aku masih bernyawa untuk hari esok.

Saturday 20 August 2011

Datang, aku datang.. .


 
Seperti helang aku datang,
bukan dari Khurasan, tapi lebih jauh
dan aku lihat puncak-puncak gunung.

Aku datang aku datang
separuh dari jiwaku adalah pencinta
separuh lagi akan ku cucikan dari dosa-dosa
hingga terang hati ini dengan cinta.

Aku datang, aku datang
kau yang mengundang
aku datang bukan sebagai penyembah api
bukan sebagai kafir yang tak bertemu Cinta
bahkan sebagai pemula.

Aku datang, aku datang
sebagai pemula
tetapi ghairah untuk belajar tentang cinta.

Aku datang, aku datang
sebagai pemungkir janji, ratus kali
tetapi masih mahu belajar
dan mengajar cinta dalam semua warna
terkandung dalam semua bahasa
meski tidak ada kat-kata dapat
mengungkap
KeajaibanNya.

Aku pernah cuba menyusun kamus cinta
setiap patah kalimatku punya makna
tetapi dakwatku cair padam dan
lidahku takut lecur terbakar
sepertimu aku tak dapat menerangkan
biar beribu kali aku memikirkannya.

Sang pencinta
mesti belajar mengalirkan airmata
taubatnya Adam sungguh-sungguh
memadamkan
segala keburukan
membawa cahaya kehidupan.

Sang pencinta
setiap detik hidupku diseksa Tuhan
hingga pernah aku letih
tetapi cepat tersedar
aku pun tahu tuhan memang meminta aku
rasa derita
supaya airmata menjadi mutiara
supaya ia tak kenal sejuk musim salju
supaya ia tak juga terhibur di musim bunga
ia tak bermusim
derita tak bermusim
bahagia sepanjang musim.

Sang pencinta
aku datang sebagai pemula
seperti yang lain aku cepat terpesona
maafkan aku, si pemungkir janji
aku akan belajar Cinta di sebalik cinta
lambat-lambat
kehillangan matahari, kehilangan lagi
merana berkali-kali
baru belajar tentang cinta iblis penuh rasa
tinggi diri dan sombong, berasa iri kepada
Adam, hanya mahu cinta untuk dirinya
seorang
moga jauhi aku dari cinta penuh kutukan.

betapa aku belajar setengah impianku
terkabul
separuh lagi tak Kau makbul
hingga aku kecewa entah berapa kali
sampai aku hampa terlalu banyak kali
supaya aku tak memikirkan lagi
apa pun harapan kerana rajukku
supaya aku izinkan kau memujukku
supaya aku hanya memuja cintamu.

Cinta, cinta
adalah penyembuh.
Cinta, cinta adalah anugerah.

Aku datang, aku datang
untuk bermula
barangkali nanti aku tak ke mana
lambat-lambat pun tak mengapa
akanku simpan ia jadi rahsia
bila aku menemuinya
seperti si haus meneguk air dan
air akan memuaskan si dahaga.

-FT.

Friday 19 August 2011

Short Notes on Kenduri Arwah.

'Apabila saya menjadi mufti sesetengah pihak menunggu agar saya membangkitkan isu-isu tradisi melayu seperti kenduri arwah dan seumpamanya. Namun mereka tersilap, alhamdulillah perhitungan dan fokus pemikiran Islam saya merentasi kesempitan isu yang mereka tunggu bagaikan nak kiamat itu. Ada anda lihat isu kenduri arwah menjadi tajuk utama akhbar dalam senarai puluhan isu yang telah saya bangkitkan.

Kemudian, saya ingin bertanya, apakah jika seseorang tidak mahu kenduri arwah maka dia menjadi wahabi? Kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i tulisan tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut:

“Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya.

Apakah semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya.”

Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid’ah yang tidak elok.” Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Saya tidak tahu apa itu wahabi melainkan setelah mereka menyebut perkataan tersebut lalu saya terpaksa mencari maksudnya. Saya bukan penggemar buku Muhammad bin Abdul Wahhab'-drmaza.

*atas permintaan kekanda ku, durriyyah, maka ku pastekan di sini.. Selamat beramal. =)

Wednesday 17 August 2011

29 HARI MENCARI TAQWA


17 hari berlalu. Tinggal lagi 12 hari. Sama ada hari Ramadhan berlalu dahulu, atau hari kita yang berakhir sebelum Ramadhan hujung, semuanya di tangan Dia. Itu urusan Allah, di bahu kita hanya  usahakan mendapat taqwa.




Sayu melihat gambar-gambar  ini. Saat hitam mendominasi masyarakat, mereka kekal memilih jalan putih. Mereka berjuang meraih taqwa. Adapun kita  saya, masih terus begini. Apa pahala sudah banyak? Sehingga ketika orang lain berebut-rebut memburu pahala berganda di Ramadhan ini, kita saya  masih buat-buat tak tahu? Oh.. hebat.

Tuesday 16 August 2011

Citra Cinta Buat Kekanda

Mahu berkongsi sesuatu yg sangat menarik, Tulisan seorang adik kepada abangnya. Indah sungguh. Website si abang : www.drmaza.com.


Terasa lama tak ke temu, aku di hutan batu memburu cita-cita yg entah bila kan bertamu dan kau di lautan ilmu melayari perjuangan penuh liku...Pada sejenak pertemuan lalu, ku rangkul sebakul ilmu dan pesanmu yang sempat ku jala di teluk bicara antara kita..kau kakandaku... ku coret citra tentang dirimu sekalipun aku sebenarnnya tidak cukup tahu...

Lahirmu di cerok desa bukan di sibuk kota...Kau putera pertama buat keluarga...Ibu bilang kau luar biasa...tapi aku tidak tahu mengapa...Sungguh, ibu itu lebih kenal anaknya...bila aku mendewasa, maka aku sendiri bilang, kau kekandaku, kau luar biasa...

Seawal sang mentari menjengah diri, sealur cahaya merangkak di kaki langit...kau sudah berdiri...ke rumah tuhan kau bertamu, mencari secebis kekuatan untuk bekalan sepanjang jalan... Siang hari, hari-hari, hari minggu... kau memerah minda mencari idea...tiada cuti atau ruang henti...tika mana idea bertandang, saat itu kau berjuang...

Sungguh, kau seorang pejuang..kendatipun bukan parang dan senapang di medan perang, minda dan penamu senjata di medan juang...Kau pendekar beraksi di gelanggang...bukan gayung mahupun garuda menjadi pencak, tapi bicara dan katamu yang cukup lunak menerajang masuk ke gendang-gendang telinga seluruh warga, mengetuk-ngetuk pintu hati segenap manusia...Tutur yang kau atur bersandar kalam tuhan dan citra rasul...tiada rekaan, tiada dogengan...kerana hakikat kau tegar pada tekad...yang benar harus harus diwar-war...biar manusia sejagat sedar...dalam perjuangan tiada tawar menawar...

Manusia, pelbagai manusia...luarnya sama, dalamnya beza...luarnya beza, dalamnya sama..luarnya beza, dalamnya beza...luarnya sama, dalamnya sama...Ada yang pura-pura sama, ada yang pura-pura beza...Maka, apa yang kau bilang, ada yang senang, ada yang tentang... Mereka terima senang bagai suluh cahaya terang ke lubuk jiwa yang suram dan kelam...buah minda yang kau gugurkan, dibiar ranum menjadi benih di tapak semai yang lama terabai...hujahmu dibiar menjadi hujan menyirami tanah yang kontang dan gersang...Lalu dengan izin Kerajaan Semesta, sepohon insaf bertunas, mendewasa menjadi sekebun takwa...dan dirimu kekanda, menyaksi kebun berhasil luar biasa, tiada kau bersorak berpesta, sebaliknya berteleku syukur di hadapan Ashakur...Bagi mereka yang menentang, bicaramu bagai selumbar-selumbar bisa, merobek ke dalam struktur jiwa...ada yang berpekak telinga berbuta mata...ada yang berantakan dengan kata dan nista...dan kau terima dengan senyum bersahaja...busuk hina cerca mereka, kau buat baja...ini juga pemberian dari yang Esa...

Kekanda...aku tahu kau juga manusia...sehebat mana minda, dan sepatah mana bicara...hatimu pasti masih punya deria... Mampu rasa luka dan derita... Mana tajam bicara tak menguris jiwa... Mana lunak suara tak meruntun sukma... Terkadang kau ketawa...Mungkinkah hatimu berairmata? Tika bibir tersenyum mesra, matamu tidak turut serta... Apakah di saat matamu terpejam lena, mindamu ligat mencari idea? Kekanda, sungguh rapi kau kunci hempedu perjuangan di peti kalbumu..tak terlihat di raut wajah, tak terpamer di laku tingkah...Pastinya di bening pagi, saat waktu bagai terhenti, jiwa mu yang parah, kau pasrah dan berserah pada si Dia yang Maha Gagah...

Kekanda...kerana kau juga manusia...pastinya kau kenal lelah dan penat...namun rehatmu sering tak ku lihat... terkadang kau terbang di langit biru ke pelusuk bumi yang lagi satu, menabur ilmu dan memberitahu...sesaat kau kembali, belum sempat kaki bertapak, kau harus pergi menabur bakti...di sana, di sini..di mana-mana...tidak henti-henti... sejenak ke rumah...kau ukir senyum buat anak dan isteri...Ah, kekanda...pastinya kudrat mu bukan tulang empat kerat, tapi gigihnya semangat jihad... Kalau kerana gaji dan angka pastinya kau bersenang suka bersama keluarga...Kalau kerana nama dan puja, pasti kau kempen dan rebut kuasa...Namun kau bagai berdiri sendiri, berkecuali dari yang merebut kerusi, mahupun yang tak ambil peduli...Pasti ini kerana si Dia dan kekasihnya... aku tahu kau cinta...jika tidak, pasti kau menjeruk rasa...dan kerana cinta, kau tak kenal putus asa...

Kekanda...tidak manusia nan tidak gawal...justeru, kerana kau juga manusia, pasti kau tak lepas terkhilaf cara terlanjur kata...namun akurmu pada tegur menyerlahkan budimu yang luhur... Mungkin aku terlalu memujimu...dan aku tahu bukan itu yang kau mahu...Namun kekanda...biar kau bakar semangatku...mungkin kita di padang berbeza...namun aku juga ingin menjadi kesatria...

Aku senang bersamamu..Bertamu di teratak mu bagai melangkah ke ujana ilmu...bukan mahligai mewah, tetapi rumah khutubkhanah...Kau sering menglipur lara dan melawak senda...Namun disebalik itu kau memberitahu apa yang aku tidak tahu...pada tutur kata, kau semat nasihat dan kata hikmat...agar aku bisa ingat...lantas ku pahat rapat, dengan paku yang paling kuat, iaitu iman dan taat...

Ah, biar kalam bersulam madah, berkisah tentangmu, pasti tak pernah sudah...Cukuplah, sekajang citra seruang kata ku ukir untuk dirimu yang mungkin tak pernah tahu, kau sering di hatiku...menjadi obor suluh menyemarak semangat jihad di sanubari adindamu...Kakanda,doaku agar kau tegar dan teguh merempuh badai di tengah arungan manusia yang pelbagai citra demi melestari cintamu pada si Dia...Moga korban raga dan jiwa mu, kelak menjadi saksi saat kau dan Dia bertemusua...

kepada kekanda2 saya, saya mengagumi kalian, seperti adik ini mengagumi abangnya.

Friday 12 August 2011

ADA SEORANG BUDAK


Ada seorang budak
rupanya biasa sahaja
tidak buruk tidaklah jelita
Tapi punya cinta dan cita
seluas semesta.

Ada seorang budak
Ilmunya sebutir pasir cuma
Tapi mahu bercerita semua
Mahu mengulas isu dunia
Kadang kadang isu agama

Ada seorang budak
Lagaknya fasih berhujah
Padahal hanya menyumpah
Dari hati yang keluh dan resah
Sedang ilmu tidak langsung dijamah

Ada seorang budak
belajarnya bukan agama
tapi konon tahu belaka
di sana sini mahu besengketa
jangan jangan sudah gila !

Memang!
aku ini rasanya seperti gila.


*hahaha..tak,tak..aku tak gila.nauzubillah. ini tiada kaitan dgn yg hidup dan mati, sekadar mainan perkataan, susunan huruf dan gerakan jari yang menekan papan kekunci laptop. Sudahku tanya pada jari, pada huruf, mengapa mesti ia ditekan, mengapa mesti ia disusun begitu..jawapannya-entah.

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....