Friday 27 August 2021

SURAT UNTUK MENTERI

 

SURAT UNTUK MENTERI

Assalamuaikum YB Senator Dr Radzi.

Saya Cikgu N daripada SMK Seksyen 19. Shah Alam. Saya sangat berbesar hati YB dilantik menerajui kepimpinan Pendidikan di negara kita sekali lagi. Saya percaya kepada nilai intelektual yang ada diri YB kerana latar belakang pendidikan yang sangat kukuh dan jitu.

Saya sebagai seorang guru senitasa ternanti nanti ‘sinar di hujung terowong’ setiap kali orang yang saya percaya menduduki tempat tertinggi dalam menerajui kepimpinan Pendidikan. Syukur Allah memberi anugerah tanggungjawab ini kepada YB yang pastinya DIA Maha Tahu yang YB mampu jalani ini semua.

Setiap kali saya melihat kepincangan moral masayarakat kita; penderaan, jenayah seksual, samseng jalan raya, dan sebagainya, saya sentiasa berfikir bahawa satu masa dahulu mereka semua pernah menjadi murid di dalam sistem pendidikan kita. Jadi, di mana salahnya sistem kita sehingga melahirkan manusia sebegitu?

Walaupun saya hanya guru biasa, saya sedar bahawa ini adalah tanggungjawab saya untuk memberi didikan yang sempurna kepada anak anak kita semua.

Saya dengan rendah hati mengemukakan beberapa cadangan kepada YB untuk diteliti, agar YB dapat meninggalkan satu jasa besar kepada sistem kita yang akan dikenang oleh para guru, murid murid dan anak bangsa.

 

1.       KUALITI GURU

Mengikut kajian pada tahun 2010, sebanyak 70 peratus pelajar yang diterima dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan hanya memperoleh 0 ke 2A pada peringkat SPM, 19 peratus memperoleh 3 hingga 4A, 8 peratus memperoleh 5 hingga 6A, dan hanya 3 peratus memperoleh 7 hingga 12A. Data ini agak tidak cantik untuk dilihat kerana bagaimana guru guru ini boleh mengajar murid murid untuk cemerlang di sekolah jika mereka sendiri tidak cemerlang semasa sekolah.

Saya mohon jasa baik YB untuk menjadikan bidang perguruan ini adalah bidang yang mempunyai professional yang tinggi standing dengan bidang perubatan dan farmaseutikal. Saya sebagai guru sangat sedih dan kecewa apabila para guru tidak ada langsung budaya akademik dan intelektual dalam diri masing masing. Tidak ada budaya membaca mahupun ada budaya perbincangan ilmiah. Mentaliti guru yang rendah sangat mengecewakan saya.

 

2.       PENGKHUSUSAN BIDANG TUGAS GURU

Dalam satu sekolah, seringkali berlaku ketidakseimbangan opsyen. Contohnya, guru Sains terlalu ramai, guru PJK tidak cukup. Jadi, guru Sains terpaksa mengajar subjek PJK. Perkara ini tidak baik untuk murid yang menerima pengajaran. Mereka berhak mendapat guru yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam sesuatu subjek. Bukan guru ‘tangkap muat’ yang hanya belajar daripada youtube. Perkara ini tidak professional.

 

Begitu juga bidang Kurikulum dan Kokurikulum. Yang ini benar benar saya mohon YB teliti. Guru guru di Malaysia ini terlalu ‘multi-talented’. Contohnya seorang ustaz boleh mengajar Pendidikan Islam, dalam masa yang sama beliau juga boleh menjadi jurulatih ragbi. Namun, kelemahannya adalah, kedua dua bidang ini hanya dikuasai ‘so so’ sahaja kerana ketiadaan masa untuk mendalami bidang kepakaran. Contohnya beliau tidak mampu menjawab soalan soalan agama yang rumit kerana tiada masa menelaah kitab kerana sibuk dengan sukan ragbi. Demikian bidang ragbi pun beliau tidak juga professional.

Jadi, saya mencadangkan YB membuat pembaharuan yang sangat diingini guru guru kita iaitu pengasingan bidang tugas Kurikulum dan Kokurikulum. Maksudnya guru Kurikulum akan fokus kepada bidang mereka sehingga benar benar pakar dalam bidang tersebut. Sebagai contoh guru Sains benar benar ada masa untuk menelaah artikel dan jurnal mengenai Pendidikan Sains yang akan diterapkan kepada pelajar pelajar. Guru bola sepak pula benar benar tahu selok belok kemahiran dan pertandingan bola sepak.

Jadi, kualiti guru lebih meningkat dalam sesuatu bidang kerana mereka boleh fokus. Tidaklah guru Sains masih menjadikan hanya buku teks sebagai panduan utama, tiada masa membaca bahan bahan kajian terbaru yang lain. Sedangkan dunia setiap hari berubah. Pelajar pelajar berhak mendapat pengetahuan yang segar, berkualiti dan merangsang minda mereka.

 

3.       ‘MIDDLE MANAGER CRISIS’

Para guru sebenarnya benar benar terganggu apabila sedang sibuk menyediakan bahan pembelajaran untuk pelajar, sedang sibuk membuat semakan tugasan pelajar, tiba tiba mendapat arahan itu ini hanya semata mata ‘PPD minta buat’ yang tidak ada langsung kebaikan kepada murid. Perkara ini cukup membebankan.

 

PENUTUP

Saya sangat berharap YB membaca dan menimbang cadangan saya. Saya tahu saya hanya seorang guru biasa, tetapi kerana saya percaya yang YB sentiasa mendengar luahan dan cadangan para guru, saya tetap optimis mengemukakan cadangan saya.

Wednesday 25 August 2021

Pendidikan

Sejak 2015 saya bertugas di sekolah, ada sungguh banyak perkara yang pada mata saya silap. Namun kerana saya bukan berjiwa pejuang berani dan nyata, saya berperang dengan diri saya sendiri. Sendiri nan menanggung segala beban melawan.


Saya akur dan taat sahaja. Kerana saya sentiasa memilih tenang berbanding perang.

Tetapi setiap kali saya membaca isu isu pendidikan, mendengar segala idea baru dari orang berilmu tentang pendidikan, jiwa melawan saya segar dan mahu bangkit. Tetapi saya tak berdaya.

Sejak kebelakangan ini, saya kerap sungguh berfikir sampai bila saya mahu taat dan akur pada yang silap. Saya kini sesungguhnya kuat berdoa agar Allah hantarkanlah insan insan yang jujur, yang bijak, yang berupaya mengubah sistem pendidikan kita.

Ketika YB Dr Maszlee naik menjadi Menteri Pendidikan, ketikan itu sungguh saya rasa cerah. Seperti saya sudah lorong kejayaan untuk mengubah semua yang silap itu. Tetapi sebentar, ternyata YB Dr Maszlee juga tidak mampu lalu beliau berundur.

Saya menangis kecewa.

Allahu akbar. Saya benar buntu kini.

Saya kasihankan anak anak saya, kasihankan ibu bapa anak anak murid saya, tambahan di musim pandemik begini, sistem kita masih dikuasai pemikiran pemikiran lapuk dan usang, saya sungguh kecewa.

Melihat pula sikap sikap rakyat kita di media sosial, saya benar benar yakin, ITULAH HASIL daripada sistem pendidikan yang SALAH.

Ramai yang menolak vaksin, ramai yang masih menyokong pemimpin yang melakukan jenayah, ramai yang bercakap lucah, yang tidak bermoral usah cerita, di jalan raya pemandu tak beretika. Ah..tahukan kita bahawa itulah semua hasil produk sekolah sekolah kita. Ya itulah!

Oh Tuhan, tunjukkanlah jalan.

Wednesday 18 August 2021

VAKSINASI

Semalam saya selesai menerima vaksin bagi dos kedua Pfizer. 

Saya ke Klinik Tanjung Medik bersama suami. Pengalaman dos pertama 3 minggu lalu sungguh pahit sehingga saya jadi trauma untuk ke tempat yang sama lagi.

Dari pagi saya resah, malas, dan lemah untuk ke sana. Tetapi saya paksakan diri juga.

Mujur suami cuti dan boleh menemani saya ke sana. Dan kali ini alhamdulillah tidak seperti 3 minggu lalu yang masa temujanji ditukar, ramai orang foreigner yang tak jaga penjarakan sosial, asap rokok dan tempat yang sempit yang membuatkan saya MARAH SEKALI

Semalam alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Mungkin kah kerana saya membuat aduan kepada KKM berkenaan kejadian 3 minggu lalu. Entah.

Tetapi tetap ada juga yang sakit. Cucuknya sakit sekali tidak seperti yang pertama.

Saya rasa seperti ditikam dengan pisau di bahu.

Selepas dicucuk, saya berjalan longlai ke pintu keluar, rasa ingin rebah, sakit sungguh.

Saya masuk ke kereta, mujur suami parking dekat. Suami bertanya pun saya malas nak jawab, saya hanya kata nak balik. Saya minta suami bawa laju sikit kereta sebab nak sampai cepat sebelum hujan turun sebab dah renyai renyai hujannya. 

Sampai di rumah, saya tukar baju dan mandi, baru lah rasa lega. Saya cerita pada suami sakitnya rasa seperti dicucuk dengan  pisau, bukan jarum. Pedih.

Kata suami, 'biasalah cucuk memang sakit.' Hmmmm.

Petang itu saya ceria sebab dah lega dah selesai vaksin, dan dah tak sakit.

Malamnya, saya tidur. Pukul 3 pagi saya terjaga, saya kesejukan sangat. Saya bangun tutup aircond. Padahal sebelum ini aircond dibuka sampai pagi. 

Masa tangan saya nak capai remote aircond di dinding, saya mengaduh sakit. Sakit sangat tempat cucuk tu. Suami saya terjaga. Saya rasa badan saya berat sekali. Badan saya panas.

Saya tidur tidur ayam sehingga pagi.

Lepas sarapan, saya ambil 2 biji panadol actifast.
Dah lama tak demam. Rasa tak best pula.

Doakan saya sihat ya.


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....