Thursday 29 October 2015

Kerjaya



Tapi dalam kerjaya, untuk berjaya kita perlu membuktikan kepada semua kebaikan yang telah kita buat. Setelah dewasa baru tahu ada satu mazmumah yang perlu diamalkan. Namanya riyak. Riyak ditagih dalam meniti kegemilangan kerjaya. Kerana majikan hanya menilai dari luaran. Dia tidak tahu gelap busuk di dalam. Dia tidak juga bau ikhlas dalam pekerjaan. Justeru penyelesaiannya ialah riyak.


Maksudnya, tiada lagi istilah sembunyikan amalanmu. Tetapi, zahirkanlah tiap kerja lakumu.
Ketika ini, barulah kita benar-benar mengerti adakah pengiktirafan manusia yang dikebulur, atau pengiktirafan siapa?

Jika tidak kerana keperluan, saya tidak suka menayang kerja. Bertugas seharian adalah tanggungjawab serupa. Tidak perlu dilapor dalam media whatsapp rasmi organisasi. Kerana semua orang buat kerja. Banyaknya masa mencatat amalan dan melaporkan. Saya sudah ada malaikat kiri dan kanan.


Tetapi hari ini barulah saya tahu bahawa kita perlu zahirkan.

'Bangun pukul 3 pagi print data murid ni.'

Ok? Dah disayangi majikan?

Tuesday 27 October 2015

Tidak Indah

Sulit untuk memadam emosi yang menyala. Soalan ilmiah yang ditanya, jawapan emosi yang diberi. Siapa tidak marah apabila diperlekeh?

Di Multaqa itu, saya bertanya tentang Salafi.

Mahu saja saya bangun membidas jawapan yang diberi, tapi air muka beliau sebagai sang ustaz perlu dipelihara. Saya mendengar resah.

Di Rumah Fikir, perkara pelbagai warna ini biasa. Paginya talaqi Sahih Muslim dengan Maulana pembela Al Albani dan pengkritik Ibn Ishaq. Manakala 2 petang, berguru pula Sahih Bukhari dengan penulis maqalah mengkritik Al Albani.

Tiada apa-apa yang memanas perasaan. Malah sejuk dan damai.

Kerana apa? Kerana mereka menyampai ilmu, bukan membahagi benci.

Johor seakan sesempit ruang-ruang ridak di bahu mereka, sedikit pun tidak memberi ruang yang lebih terbuka.

Sungguh Johor bukan bumi ilmu.

Namun selalu terjadi dalam kitaran zaman, dari 'pressured situation' beginilah akan lahir figur ulung menentang sekatan. Jangan lupa Hamka misalnya, terbit dari kesempitan sekatan budaya serta tekanan pemikiran sempit beragama. Terhasilnya Tafsir Al Azhar bahkan dalam penjara.

Semoga dalam kerumunan puak serban dan ridak ini akan lahir pemikir yang cerdik, bergadai menghapus segala tolol dan tengik.

Friday 23 October 2015

Diperhitung Tuhanmu




Peringatan dari Tuhan datang dalam pelbagai bentuk. Yang berat, yang ringan dan yang paling halus.

Terima kasih mengingatkan, anak.

Saat ibumu yang ini telah lama hilang jiwa sesuci jiwamu itu. Terima kasih mengingatkan.

Saturday 17 October 2015

Novel

Aisyah, rakan sekelas saya sejak Tingkatan 2 merupakan peminat tegar Faisal Tehrani. Setelah menghadiri bengkel penulisan Faisal Tehrani, esoknya beliau bercerita gembira di dalam kelas. Saya mendengar penuh 'dengki'.

Saya memberi pinjam kepadanya novel 'Perempuan Politikus Melayu' ketika Tingkatan 5. Aisyah hanya memulangkan setahun kemudian.

Tingkatan 6, kami masih berkongsi minat yang sama. Dia memberi saya pinjam Tuhan Manusia.

Novel mengenai Ali Taqi, Talhah, Zahra dan Prof Aris. Ilmunya sarat, fakta yang berat, dipersembahkan dalam sebuah novel yang sungguh sempurna.

Di dalam kelas, di dalam bas dan di rumah saya menekuni novel itu.

Sewaktu di USM, saya membeli sendiri novel itu. Mengulang dan mengulang baca.

Saya menjerit kecil ketika mula membaca Perempuan Nan Bercinta. Ali Taqi ada! Watak Ali Taqi hidup, menjadi Prof Ali Taqi.

Saya sudah lama tidak berhubung dengan Aisyah. Dia kini sudah menjadi ibu kepada Ziyad, juga seorang doktor di salah sebuah hospital di Selangor.

Masih terus sanjungkah ia kepada Faisal Tehrani?

Monday 5 October 2015

Sebuah Pilihan

Saya masih ingat saya berbincang dengan kakak melalui telefon di tangga asrama kolej matrikulasi. Waktu itu, saya perlu mengisi borang UPU.

Kakak mencadangkan saya memilih bidang perguruan. Saya membantah, kata saya 'Cikgu gaji sikit.' dengan nada gurauan.

Tapi waktu itu saya berfikir, dengan kelayakan yang ada, saya masih boleh memilih bidang lain yang berbeza. Menjadi cikgu sangatlah biasa (dulu kan nak jadi luar biasa). Lagi pun, pengalaman saya menjadi fasilitator Kimia di Matrikulasi sepanjang 2 semester, sentiasa saya ada masalah memahamkan rakan-rakan apa yang saya faham. Jadi, itu bukanlah pilihan yang baik.

Saya berfikir pula tentang peluang pekerjaan, tentang menjadi perempuan dan tentang cabaran. Nampaknya, memilih perguruan bagus juga.

Saya memilih Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan di USM. Pastinya USM saya pilih kerana tokoh yang saya cintai berada di situ. Tanpa ragu saya memilih USM.

Saya mendapat tawaran tersebut. 3 hari sebelum bertolak, MARA menghubungi saya mengatakan saya ditawarkan ke bidang Perubatan melalui program berkembar UKM-UNPad. Saya diarahkan menduduki peperiksaan kelayakan dahulu. Tawaran yang sama diberikan kepada rakan baik saya. Dia mengajak dan memujuk saya bersama.

Saya berfikir sendiri. Seperti selalu, keputusan yang saya ambil ialah sepenuhnya daripada diri saya. Saya tidak pernah dipaksa apa-apa.

Saya memilih jalan yang lebih mudah pastinya. Bidang pendidikan.

Jadi hari ini di bidang ini saya berada.

Sebenarnya, saya sedang mencari kekuatan untuk meneruskan langkah. Melempar kembali ingatan kepada peristiwa dulu yang membawa saya ke sini. Menyucikan tujuan sebuah pilihan yang saya sendiri memilihnya.

Saturday 3 October 2015

Sayang Serupa

Namanya Sufi. Umurnya 6 tahun.

4 tahun yang lalu, saya mengajarkannya tentang mujaddid.

"Sufi nak jadi apa besar nanti?"

"Jadid." jawabnya pelat.

Itu dialog yang sering saya ulang.

Biarpun dia belum tahu apa itu mujaddid, namun biar besarnya nanti dia ingat satu waktu dahulu dia pernah bercita-cita untuk menjadi mujaddid.

Berapa pun usianya nanti, sayang kepada Sufi, sayang yang sama seperti 4 tahun dulu ketika saya memeluknya tidur, menyuapkannya makanan, memandikan dan bermain-main dengannya.

Semoga 20 tahun nanti, pada usia Sufi seperti usia saya sekarang, bukanlah pada tahap saya ia berada. Ia sudah menuju ke lorong seorang mujaddid yang hujungnya ialah syurga.

Berjalanlah anak, Tuhan melindungimu. Membesarlah dengan seluruh tenaga, jangan sekadar menjadi yang biasa-biasa.

Doa dari saudara ibumu ini semoga Allah perkenankan.

Setiap kali saya merindukan Sufi yang 2 tahun, setiap kali itu saya memikirkan ibu. Pasti ibu juga merindukan cerdik dan comel lapan anak-anaknya ketika kecil.

Buatlah ibu tersenyum. Sayang ibu pasti masih serupa sayang ketika perut kita sekecil tiga jari di pangkunya. Walaupun harapannya pada anak-anaknya mungkin telah berbeza setelah harapan yang lama kita sia-siakan, sayang tetap serupa.

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....