Monday 5 October 2015

Sebuah Pilihan

Saya masih ingat saya berbincang dengan kakak melalui telefon di tangga asrama kolej matrikulasi. Waktu itu, saya perlu mengisi borang UPU.

Kakak mencadangkan saya memilih bidang perguruan. Saya membantah, kata saya 'Cikgu gaji sikit.' dengan nada gurauan.

Tapi waktu itu saya berfikir, dengan kelayakan yang ada, saya masih boleh memilih bidang lain yang berbeza. Menjadi cikgu sangatlah biasa (dulu kan nak jadi luar biasa). Lagi pun, pengalaman saya menjadi fasilitator Kimia di Matrikulasi sepanjang 2 semester, sentiasa saya ada masalah memahamkan rakan-rakan apa yang saya faham. Jadi, itu bukanlah pilihan yang baik.

Saya berfikir pula tentang peluang pekerjaan, tentang menjadi perempuan dan tentang cabaran. Nampaknya, memilih perguruan bagus juga.

Saya memilih Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan di USM. Pastinya USM saya pilih kerana tokoh yang saya cintai berada di situ. Tanpa ragu saya memilih USM.

Saya mendapat tawaran tersebut. 3 hari sebelum bertolak, MARA menghubungi saya mengatakan saya ditawarkan ke bidang Perubatan melalui program berkembar UKM-UNPad. Saya diarahkan menduduki peperiksaan kelayakan dahulu. Tawaran yang sama diberikan kepada rakan baik saya. Dia mengajak dan memujuk saya bersama.

Saya berfikir sendiri. Seperti selalu, keputusan yang saya ambil ialah sepenuhnya daripada diri saya. Saya tidak pernah dipaksa apa-apa.

Saya memilih jalan yang lebih mudah pastinya. Bidang pendidikan.

Jadi hari ini di bidang ini saya berada.

Sebenarnya, saya sedang mencari kekuatan untuk meneruskan langkah. Melempar kembali ingatan kepada peristiwa dulu yang membawa saya ke sini. Menyucikan tujuan sebuah pilihan yang saya sendiri memilihnya.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...