Friday 27 February 2015

Memahami (takdir)Tuhan.

Pukul 1 pagi tadi, saya kembali ke UKM. Sebulan lebih tidak saya ke sini, kini saya pulang berhajat menuntut beribu ilmu.

Menjadi pelajar sesungguhnya lebih indah daripada menjadi pengajar. Memang menerima itu lebih mudah daripada memberi.

Tadi sahabat saya meluahkan, kehidupannya yang akan dilalui dengan air mata. Katanya berat dan payah.

Perjalanan kita di atas takdir Dia kadangkala sulit untuk ditafsirkan. Apa sebenarnya yang Dia mahu kita faham dari keputusan Dia memang sesekali sukar untuk direnung.

Namun pastinya sebagai orang yang berjuang menjaga dan menelihara sebuah iman, bersangka baik dengan Allah itu ialah penyelesaian kepada kebuntuan.

Takdir yang sulit difahami itu akan berjalan juga, tanpa mengambil kira pun kemahuan kita.

Justeru, baiklah letakkan kemahuan kita itu kepada keredhaan Dia. Ketentuan yang sukar diertikan akan lebih mudah dilalui.

Menulis dan bercakap memang mudah. Benar. Yang mudah ini dulu kita biasakan, moga yang sukar akan menurut mudah. Jika yang mudah pun tidak mampu dibuat, apatah yang sukar.

Saya, sahabat saya, orang lain dan sesiapa sahaja di dunia ini sebenarnya sedang memikirkan ujian mereka saban waktu. Tiada yang bebas.

Saya di kafe Kolej Burhanuddin pagi ini. Sendiri. Pukul 7.15 saya ke sini. Saya yang pertama saya kira. Dan sekarang jam 8 pagi. Orang sudah bertambah. Lebih baik saya menyusul pergi.



Thursday 19 February 2015

Kata yang Tiada

Tiap kali saya sedih, saya akan mencari kata paling tepat untuk maksudkan bahasa hati.

Bukan untuk diberita kepada manusia. Tetapi untuk memberi jiwa aman, agar tahu bahawa saya memahaminya.

Ia tenang selepas dibariskan golaknya.

Apa yang paling hiba, apabila jiwa menjerit meminta diertikan rasa nyawanya, namun saya tidak memahami bahasanya.

Apalah sahaja upaya akal, jika seluruh indera mendera dengan sejuta rasa. Akal nan satu, pun lesu.

Payah sekali untuk disusun apa kehendak dan mahunya.

Kepada Tuhan, hanya sahaja saya pandang. Moga Dia juga memandang kasihan kepada hamba.






Monday 9 February 2015

Dalam Hati Ada Syurga

Sudah dua kali saya ke kedai buku di Kelantan dengan hasrat untuk dapatkan buku Ust Umar yang terbaru.

Tapi sayang, pencarian gagal.

Hari ini, selepas sekolah saya ke MPH di AEON Taman Universiti untuk memenuhi keinginan nafsu 'masuk kedai buku' atau lebih tepatnya mencari terapi di situ setelah sempit dan sesak dada di sekolah.

Tanpa di duga mata tertangkap buku yang sekian lama dicari.

'Termenjerit' gembira disitu. Hahaha

Alhamdulillah.

Saya kenal Ust Umar melalui majalah Solusi dalam kolum Mahmudah. Minat pada kolum tersebut membuatkan saya mengumpul koleksi Solusi di rumah dan menulis nota mengenai ulama' yang diceritakan dalam Mahmudah. Waktu itu saya sepenuh masa di rumah, menganggur.

Belum sempat siapkan semua tajuk, saya terjumpa buku beliau.

Buku pertama Ust Umar yang saya baca ialah Ikon Syabab.

Kedua Rasul Mulia Umat Mulia Akhlak Mulia. Buku yang telah lama terbit tetapi tidak tertarik untuk saya miliki kerana tajuk yang agak kurang menar

Saturday 7 February 2015

Selamat Kembali, Tuan Mufti.

Tahun 2007, saya dapat tahu dari abang tentang mufti termuda.

Reaksi terkejut saya disambut dengan terkejut juga. 

"Kenal ke?" Abang bertanya.

Saya bercerita saya mengenalinya melalui tulisannya dalam majalah i.

Tidak lama sebelum dilantik kali kedua, saya telah mendengar bisik-bisik orang tentang itu.

Saya berdoa agar berita itu benar dan beliau memang akan dilantik nanti.

Alhamdulillah, hari ini beliau sudah pun menjadi mufti kembali.

Dan sudah pun memulakan menegur YAB DS Najib tentang hukum menyertai Thaipusam.

Saya yakin selepas ini pasti banyak lagi pembaharuan yang akan beliau suarakan. Dunia fikir kita akan dijentik lagi dengan pandangannya. 

Biarlah saya terus mengaguminya, biarkan sahaja saya ini. 




Wednesday 4 February 2015

Menyanyi lebih baik.

"Ya Allah...Kakak..eeeiii.."
Saya melepas geram pada Iman setelah menonton iklan itu.

Iman dengan wajah penuh persoalan bersuara tanya.

"Cerita yang dia cerita tu, salah. Dah banyak kali sangat dah Kakak.."

Marah dan sedih bercampur. Ustaz itu sudah banyak kali menyampaikan perkara salah. Tapi masih diberi ruang seluas-luasnya.

Saya tak faham.

Sejenak saya berfikir, baiklah. Saya akur. Menyanyilah ustaz. Itu lebih baik dari menyampai cerita dusta dikait dengan Nabi dan aqidah.

Kalau ustaz tak tahu dalil, tak tahu sumber, menyanyi lebih baik.

Saya sebenarnya tak suka menulis semua ini. Jika saya mati, tulisan saya ini akan masih di sini. Orang masih boleh melihat saya marah sekalipun saya sudah mati.

Itu tidak menggembirakan pastinya.

Cuma saya mahu berkongsi. Ada kalangan pendakwah yang menelan risiko dihina dan dikeji dengan mencemarkan diri dalam politik semata-mata untuk kelangsungan dakwah manhaj yang sahih. Semata-mata untuk mencantas segala yang dusta dan palsu yang ditokok tambah dalam agama.

Dan di sudut lain, ada pula mereka yang bermudah-mudah menyebar apa sahaja atas nama agama, kemudian diberi ruang seluas itu untuk dia? Diberi slot saban malam yang boleh diakses tiap ceruk negeri?

Manakala yang mahu menyampaikan yang sahih ini disekat di banyak negeri sehingga
perlu mendapat sokongan pemerintah kerana dikhianati orang agama sendiri.

Dukacita saya hanya Allah yang tahu peritnya.

Umpama yang hanya boleh berbasikal diberi Ferrari dan litar luas, manakala pelumba handal diugut untuk dipotong kakinya agar tidak boleh berjalan.

Dukacita saya hanya Allah yang tahu peritnya.

اينقص الدين وانا حي؟





Tuesday 3 February 2015

Jawapan

"Ustaz, bila waktu terbaik solat dhuha?"

Fokus saya teralih ke kaca tv mendengar soalan itu. Menarik.

Biasanya soalan agama di tv tidak lebih dari soalan untuk DBP. 'Apa beza sedih dan murung Ustaz?'

"Waktu solat dhuha dalam pukul 8.30 sampai 10. Lepas matahari berselerak tu, xda dhuha dah."

Sampai di situ saja jawapannya.

Kenapa kalau nyanyi dan buat lawak boleh panjang, kalau jawapan ilmiah ni simple pulak dah.

Saya beredar dari ruang tv.

Sungguh saya rindu pada petah Dr Zahazan menjawab soalan padu dengan dalil, saya belum puas pada jelas Dr Asri memberi penerangan pelbagai pendapat.

Sehingga hampir semua kuliah mereka di internet saya ikuti.

Pagi tadi, saya menonton Ust Salehuddin Abu Samah di youtube. Tapi sayang, tidak banyak rakaman video beliau. Semua sudah habis saya tonton. Sama juga dengan Ust Umar M Noor, semua saya dah tengok.

Mana lagi nak cari ni?

Saya doakan cepat-cepatlah Dr Zahazan berjaya bangunkan satu saluran TV. Media sangat perlu untuk didik masyarakat. Bukan ikut kehendak masyarakat.

Ceramah agama perlu didik manusia. Bukan perlu ikut budaya mereka. Kalau mereka berbudaya lawak dan nyanyi, agama pun perlu ikut rentak itu? Begitukah?
Sekarang ni siapa ikut siapa?

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....