Thursday 17 January 2013

Ustaz Google, Sheikh Wiki, Tok Guru Youtube.


Ok saya terasa. Cukup terasa.

Fine. Lepas ni buka internet, kita update facebook ‘hari ni saya PMS la..’ atau pun, ‘babi punya olang la...bla bla bla..’, ‘td sy pukul nyamuk yg gigit kt pipi darah banyak..’, like gambar-gambar comel, upload gambar jari luka, rambut sakit, kuku tercabut,  yeah..ok!

Jangan dengar ceramah di youtube. Jangan buka web tokoh-tokoh ilmuan. Jangan buka web Tariq Ramadan, jangan baca Dr Jamal Badawi, jangan kenal Yusuf Estes. Jangan follow twitter-twitter ulama’ tempatan mahupun dunia, jangan like facebook diorang. Kalau diorang buat status (amanat, pesanan, nasihat mahupun kaedah ilmiah) cepat2 baca yang kat bawah, jangan baca apa-apa ilmu! Jangan, jangan, nanti sesat! Nanti kita jadi orang yang cari ilmu tanpa guru, tak berguru ni kan sesat. Nak cari ilmu, kena bertalaqi, mungkin kena ambil sanad kot. Haha, yang sanad ni saya tambah sendiri. *mengaku*

Ok, kembali kepada kewarasan. Tinggalkan emosi.

Saya tahu mereka tidak bermaksud begitu. Saya tahu kebimbangan mereka terhadap kelompok yang sudah merasa cukup alim dengan hanya berguru di hadapan laptop. Lalu, menuduh dan menghukum ulama’-ulama’ tertentu sesat. Benar, kelompok begitu ada kalanya wujud dalam kalangan anak muda. Perkara tersebut amat buruk pastinya. 

Merasa diri hebat dan banyak ilmu memang sifat yang buruk. Belajar di mana-mana pun, bertalaqi bersanad sekalipun, apabila ada sifat ini dalam diri, ia tetap busuk!

Cuma, yang berlutut di hadapan guru, akan tumpah bersama ilmu itu akhlak dan kemuliaan guru. Secara langsung dididik dan ditarbiyah guru. Mereka juga akan mendapat kefahaman yang jelas, boleh bertanya secara langsung, tidak keliru, dan berbagai faedah yang mereka dapati. Pada zaman Nabi juga, kaedah inilah yang diamalkan dalam mendalami ilmu.

Namun, lupakakah kita kepada sabda Nabi?

Dari Abi Bakrah ra, dari Nabi saw, sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadithku) menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir, kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadith itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya." (HR Bukhari dan Muslim)

Mungkin sahaja pendengar sekunder lebih memahami. Sebab itu dalam kalangan tabi’in ada yang lebih alim dari sahabat. Ada sahaja. [tafsir ini sy dengar dari internet, x tau la boleh pakai x]

Cara penyampaian ilmu pada hari ini adalah berbeza. Internet sebagai wasilah. Arahan nabi untuk menyampaikan kepada yang tidak hadir dapat diaplikasikan dengan efektif sekali di internet. Atau, bagi mereka internet itu bid’ah? 

Dan saya juga tahu apa yang mereka maksudkan ialah orang yang tidak pakar tiba-tiba mahu menjadi pakar hanya kerana berguru di hadapan laptop. Benar, itu salah sama sekali. Ilmu di hadapan laptop tidak pernah akan cukup. Untuk dicedok setempurung pun belum tentu, apatah lagi untuk seluas langit dan bumi. Ilmu benar-benar perlukan guru. Benar sekali. Tidak boleh mana-mana orang pun yang mengaku dirinya alim hanya kerana berguru dengan internet. Salah!
*berguru dengan siapa baru boleh mengaku alim?* 

Seterusnya saya juga tahu, apa yang mereka maksudkan ialah orang-orang muda yang belajar dalam bidang yang berbeza tiba-tiba mahu mengulas bidang yang berbeza. Mengulas kononnya dia lah yang punya lautan ilmu. Padahal, dia belajar bidang ‘Root Architecture’ (contoh) yang belajar mengenai struktur akar pokok jauh di dalam tanah sana, tiba-tiba mahu pula mengulas mengenai solat hormat waktu yang dilakukan manusia di dalam kapal terbang. Dalil dan hujah semua bergurukan internet.

Patutkah?
Memang tidak patut. Dia bukan ahlinya. Nanti jadi sesat dan menyesatkan. Tapi, adakah hanya perlu listen, listen, listen?

Baiklah. Kalau begitu jangan marah pihak di sebelah sana sahaja yang melakukan pembodohan (stupidification), rupanya di pihak kita juga ada ciri-ciri pembodohan.

Kata Dr Asri, Islam agama hujah. Bicara agama perlu bercakap untuk AKAL (mind) dan JANTUNG HATI (soul). Fitrahnya, apabila akal mahupun hati manusia dijentik bicara agama, refleksi akan berlaku. Jika tiada refleksi, bermakna bicara itu sia-sia.

Mengulas kembali apa yang difahami melalui sesuatu ceramah, bacaan atau perbincangan adalah refleksi akal manusia. Ulasan yang menyenaraikan ciri-ciri, huraian dan rujukan adalah perkara biasa. Menuduh peribadi seseorang atau menghukum orang spesifik berdasarkan ciri-ciri yang dipelajari sebagai sesat adalah dua tindakan yang berbeza. Satu betul dan satu salah.

Dahulu boleh lah mewajibkan semua bertalaqi untuk dapatkan ilmu. Sebab yang nak ilmu hanya dua tiga kerat. Hari ini, berapa ramai orang yang view UAI dalam youtube? Seramai itulah mahukan ilmu, walaupun mungkin ada yang mahukan lawak pada mulanya, tapi akhirnya insya Allah dapat ilmu. Jadi, ada sheikh mana yang sanggup bertalaqi dengan seramai itu?

Kalau ada cuba bagitahu saya. Siapa yang tak mahu berguru? Penuntut ilmu sesat mana yang tidak mahu ada guru? Orang sombong dan angkuh sahaja yang begitu. Cuma kami ini tidak ada peluang untuk menunut dengan ulama seperti mana mereka. Tapi apabila kami mencari ilmu dengan teknologi, mereka marah pula. ‘Cara menuntut ilmu yang betul adalah dengan berguru. Lihat bagaimana kami berguru.’ 

Ya, tetapi peluang itu bukan semua orang boleh nikmati. Saya malah selalu bayangkan indahnya kalau ada seorang alim duduk di depan saya. Maka banyak persoalan saya akan saya rungkaikan. Sejam dua jam pun jadilah kalau bukan berhari-hari pun. Tapi di mana saya mahu cari peluang begitu? Di mana, dimana, dimana???!!!!

Orang yang marah-marah sangat berguru dengan youtube ni, dah berapa orang bertalaqi dengan dia? Dan dia bertalaqi dengan berapa orang ulama?

Tapi kadang-kadang menuntut ilmu dari internet ni seronok juga. Daripada saya duduk berlutut dengar ustaz ceramah cerita Israiliyyat yang tak sahih, lebih baik saya duduk depan laptop baca artikel ulamak dan terus ada rujukan sahih yang boleh klik-klik je kitab online. Kalau angkat tangan tanya ustaz tu mana rujukan dia, nanti kita dituduh wahabi pulak..oppss lari tajuk.

Jadi kesimpulannya apa? Buat lah sendiri. Letih.

Panjang pula cerita kali ini. Inilah post-exam syndrom. Menulis entah-apa-apa.

ni halal ke x ni?




Tuesday 15 January 2013

Shuyukh dan Shabab




Penghormatan adalah sesuatu yang diperolehi bukan sesuatu yang perlu diminta-minta! 

It is earned. Kalau hanya kerana usia yang lebih tua kita perlu menghormati, adakah saya perlu menghormati seorang pakcik 70 tahun yang juga perogol?

Kata mereka, orang muda begitulah, cetek ilmu, cetek pengalaman, kurang hikmah, gopoh.

Apabila kita berdiri di sudut yang berbeza, maka apa yang kita nampak juga berlainan. 

Orang lama berdiri di tempat lain, dan orang muda di tempat yang lain. 

Mereka juga pernah muda, benar. Tetapi tempat berdiri sesama orang muda juga berbeza. Mungkin kita pernah berdiri di tempat yang sama, mungkin sahaja tidak!

Jangan mengharap orang akan menghormati kita hanya kerana faktor usia. Tapi ‘tagih’ lah hormat orang dengan ilmu yang kita miliki, akhlak yang kita hiasi, ketrampilan, maruah serta sumbangan. 

Sekali lagi, jangan mengharap orang akan menghormati kita HANYA kerana faktor usia. Tidak semudah itu.

Orang muda tetap harus menerima nasihat orang yang lebih berusia. Saya suka sekali mendengar nasihat mereka, JIKA mereka adalah orang yang benar-benar bermaruah dan patut dihormati.

hikmatus shuyukh wa hamasatus shabab.
hahah...listen listen!!

Monday 14 January 2013

Oley



Semalam menonton filem pendek Oley 2 Episod 1-3 yang diterbitkan DPP Malaysia di youtube. Perkataan yang paling sesuai untuk filem itu ialah, comel!

Sangat kreatif dalam menerangkan apakah sebenarnya hudud secara santai. Lebih menarik apabila latar masa filem itu ialah zaman pemerintahan PR nanti – tiada tol, harga minyak turun, hudud diamalkan, masjid penuh. Sangat comel.

Bukan kah bagus begitu, tiada caci maki, tuduh menuduh dan fitnah. Barulah sesuai dengan imej Islam. 

Semoga apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Orang seperti saya hanya mahukan kebaikan bahkan semua orang pun mahukan kebaikan. Cuma ada yang terlalu taksub tidak mahu mengaku kebaikan juga barangkali boleh datang dari pihak lain.

Justeru, PRU nanti undilah calon yang akan mendatangkan kebaikan kepada anda. Jika hanya melihat lambang parti, sampai bila nak ada improvement dalam setiap parti kan?

Oley 2

Sebelum ini DPP telah pun menerbitkan filem Oley dan Gua Ikut Enta. Kedua-duanya menarik. Syabas DPP!

Oley

 

Monday 7 January 2013

Waris Nabi.



 “Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang mencari ilmu, atau orang yang mendengar, atau orang yang mencintai. Janganlah kamu termasuk dalam golongan yang kelima, nanti kamu akan binasa." (Riwayat al Bazzar dan at Tabrani)

Semakin jauh berjalan di dataran usia, semakin terasa dahaga akan ilmu. Panas mentari kehidupan, butuhkan tegukan ilmu untuk terus bernyawa. Ilmu itu sukar digali jika hanya dengan dua tangan sendiri, perlukan guru untuk membentangkan bermacam ilmu, menerang dan memberi faham, sampai kita puas meneguknya.

Justeru tidak hairan orang-orang kaya memberi hadiah yang hebat buat ulama’ dan guru mereka, kerana besarnya jasa guru memberi sesuatu yang sangat diperlukan buat diri.

Semua bidang ilmu diperlukan. Di sini, saya fokus kan tentang ilmu agama.

Saya tidak tahu orang lain, tetapi saya banyak mendapat maklumat mengenai ilmu agama melalui buku dan ceramah. Hari ini, youtube menjadi sumber ilmu yang sangat luas, selain buku-buku dan majalah-majalah agama yang banyak terdapat di pasaran. 

Saya tidak pandai membaca kitab-kitab ulama’ muktabar, saya tidak tahu membelek buku-buku berat, justeru saya sangat bergantung kepada bahan-bahan itu sebagai rujukan. 

Dengan kata lain, saya bergantung kepada ulama’ jika ada kemusykilan. Telah berapa banyak ilmu yang saya dapat melalui mereka, berapa banyak kabur pandangan saya telah mereka jelaskan.

“Untuk menghasilkan satu isu majalah al-Ustaz, berpuluh kitab fiqah dan fatwa kena dibaca...”-Ustaz Umar.

Mereka banyak berjasa kepada saya. Dan saya sangat mencintai mereka. Jika kepada ulama’ hari ini sebegini kita rasa cinta, sebegini kita rasa mereka berjasa, apatah lagi kepada Rasulullah. Patutlah sahabat-sahabat Nabi dahulu sanggup mereka yang mati, daripada Rasulullah sakit walaupun terkena duri.

Ulama’ pewaris Nabi juga perlu dicintai. Dan lebih wajar kita yang tidak ada apa-apa ini mati, daripada mereka yang dijadikan rujukan dan sumber ilmu pergi, lalu hilanglah tempat rujukan masyarakat. Mereka yang di Syria dan Palestin cukup pantang jika ulama’ mereka dibunuh, kerana mereka sumber ilmu.

Untungnya menjadi orang yang berilmu. Didoakan ramai manusia. Dicintai di segenap sudut dunia. Ilmu yang disampaikan pula, kekal mengalir sampai ke tanah kubur. 

Saya mencintai ulama’-ulama’ sekalian. Saya mendoakan mereka dengan kebaikan sepanjang masa.

Kerana itu, saya sungguh ‘sakit’ apabila ada antara mereka yang menumbangkan kepercayaan. Saya kecewa dengan sebenar-benar kecewa jika ada antara mereka yang memusnahkan rasa hormat saya dengan tindakan mereka. 

Saya juga sungguh ‘sakit’ apabila guru yang saya hormati dicerca dan dihina. Saya sedih membaca mereka difitnah dengan pelbagai cerita, diburuk-burukkan dengan pelbagai gelaran. Saya jadi marah, saya jadi marah!!




 

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....