Monday 7 January 2013

Waris Nabi.



 “Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang mencari ilmu, atau orang yang mendengar, atau orang yang mencintai. Janganlah kamu termasuk dalam golongan yang kelima, nanti kamu akan binasa." (Riwayat al Bazzar dan at Tabrani)

Semakin jauh berjalan di dataran usia, semakin terasa dahaga akan ilmu. Panas mentari kehidupan, butuhkan tegukan ilmu untuk terus bernyawa. Ilmu itu sukar digali jika hanya dengan dua tangan sendiri, perlukan guru untuk membentangkan bermacam ilmu, menerang dan memberi faham, sampai kita puas meneguknya.

Justeru tidak hairan orang-orang kaya memberi hadiah yang hebat buat ulama’ dan guru mereka, kerana besarnya jasa guru memberi sesuatu yang sangat diperlukan buat diri.

Semua bidang ilmu diperlukan. Di sini, saya fokus kan tentang ilmu agama.

Saya tidak tahu orang lain, tetapi saya banyak mendapat maklumat mengenai ilmu agama melalui buku dan ceramah. Hari ini, youtube menjadi sumber ilmu yang sangat luas, selain buku-buku dan majalah-majalah agama yang banyak terdapat di pasaran. 

Saya tidak pandai membaca kitab-kitab ulama’ muktabar, saya tidak tahu membelek buku-buku berat, justeru saya sangat bergantung kepada bahan-bahan itu sebagai rujukan. 

Dengan kata lain, saya bergantung kepada ulama’ jika ada kemusykilan. Telah berapa banyak ilmu yang saya dapat melalui mereka, berapa banyak kabur pandangan saya telah mereka jelaskan.

“Untuk menghasilkan satu isu majalah al-Ustaz, berpuluh kitab fiqah dan fatwa kena dibaca...”-Ustaz Umar.

Mereka banyak berjasa kepada saya. Dan saya sangat mencintai mereka. Jika kepada ulama’ hari ini sebegini kita rasa cinta, sebegini kita rasa mereka berjasa, apatah lagi kepada Rasulullah. Patutlah sahabat-sahabat Nabi dahulu sanggup mereka yang mati, daripada Rasulullah sakit walaupun terkena duri.

Ulama’ pewaris Nabi juga perlu dicintai. Dan lebih wajar kita yang tidak ada apa-apa ini mati, daripada mereka yang dijadikan rujukan dan sumber ilmu pergi, lalu hilanglah tempat rujukan masyarakat. Mereka yang di Syria dan Palestin cukup pantang jika ulama’ mereka dibunuh, kerana mereka sumber ilmu.

Untungnya menjadi orang yang berilmu. Didoakan ramai manusia. Dicintai di segenap sudut dunia. Ilmu yang disampaikan pula, kekal mengalir sampai ke tanah kubur. 

Saya mencintai ulama’-ulama’ sekalian. Saya mendoakan mereka dengan kebaikan sepanjang masa.

Kerana itu, saya sungguh ‘sakit’ apabila ada antara mereka yang menumbangkan kepercayaan. Saya kecewa dengan sebenar-benar kecewa jika ada antara mereka yang memusnahkan rasa hormat saya dengan tindakan mereka. 

Saya juga sungguh ‘sakit’ apabila guru yang saya hormati dicerca dan dihina. Saya sedih membaca mereka difitnah dengan pelbagai cerita, diburuk-burukkan dengan pelbagai gelaran. Saya jadi marah, saya jadi marah!!




 

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...