Saturday 28 December 2013

Hari Jadi Mu



Aku tidak tahu apa yang disembunyikan pada hari-hari depan untukmu, peranan apa yang ditakdirkan ke atas mu dalam membawa risalah Allah. Aku tidak tahu jalan mana yang akan kaulalu, justeru sampai kepada matlamat Yang Satu, asal sahaja jalan yang kaulalu itu adalah satu dari jalan dakwah yang beribu.

Apa yang pasti, aku memiliki peranan yang belum habis aku langsaikan. Kalau telah tuntas aku kerjakan, harusnya belulangku pun telah hancur reput di tanah. 

Aku memuji Allah setelah Dia mengirimkan engkau ke muka bumi. Kiranya engkau menjadi harapan yang ada di tangan, tidak terosak tanpa keizinan. 

Justeru sekecil usiamu yang baru berkenalan dengan alif ba dan ta, aku coretkan semurah nilaian nasihat, daripada aku yang kosong, guna untuk kau tidak mencontohi aku dalam meniti tanpa mendaki.

Agar, engkau tidak menjadi kosong dan murah, sepertimana aku.

Aku membaca tulisan Ali Shariati seorang intelektual Syiah, serta doanya.

“Tuhanku, gariskan jalan hidupku. Agar ketika ajal tiba, aku dapat menggariskan jalan matiku sendiri. Biarkan aku yang memilihnya, asalkan Kau meredhainya.
Tuhanku, berikan aku keselamatan di tengah bencana besar penyakit kebodohan yang terlupakan kerana telah menyerang semua orang. Bahkan setiap orang yang belum menderita pun, tampak sakit. Tuhanku, selamatkan ku dari penyakit menyembelih hakikat di pejagalan syariat.”

Begitulah aku mendoakan juga untuk dirimu.

Agar Tuhan selamatkan kita semua daripada penyakit kebodohan. Seakan ditabur dari langit penyakit itu turun. Mungkin juga bala dari Sang Penjaga Langit kepada penduduk bumi, supaya menjadi lebih lembut kepada Muhammad.

Sudah terlalu kasar kita menderhakai Baginda. Menyelisihi adab dan akhlak Baginda telah berjuta hasta. 

Kerana itulah, aku sering berdoa kepada Tuhan, agar selamatkan kita. Biar kita terkecuali dari mereka, mereka yang dihurung kebodohan, tanpa bodoh itu sesekali berpuasa dari menghinggapi.

Bukanlah aku menghina mereka. Tetapi aku sedih menyaksi mereka memperbodohkan diri mereka sendiri, iaitu dengan menampakkan segala mazmumah yang dengan bangga diselak.

Anakku, kita semua punya nafsu. Aku dan kamu, kita mahupun mereka, ada garis hitam di hati. Adalah satu kebodohan apabila kita dengan kerelaan menyelak lapisan iman dan mempamer segala lendir nafsu yang kita simpan.

Sesungguhnya nafsu itu untuk kita berjuang melawannya. Ada hadiah dari Tuhan untuk kemenangan itu. Tetapi malang, apabila mereka yang dihurung kebodohan, berbangga dengan kekalahan mereka. Oh!

Kalaupun setelah tugasku langsai di bumi ini, kau pasti akan terus bernyawa.

Aku mahu kautahu, akan cintaku. Sebanyak-banyak cinta yang boleh aku beri. Bawalah risalah Allah sepanjang usiamu. Agar cintaku sentiasa bertemankan risalahNya biarpun telah hancur tulang-tulang ku.

Sekian.


-sempena hari jadi 5 tahun Areef Irsyad Muhammad hari ini.



Wednesday 25 September 2013

Ustaz dan Mak Cik Liberal



Pagi itu, ibu bercerita tentang apa yang ditontonnya dalam Tanyalah Ustaz. Ada seorang ustaz ini berceramah, katanya wanita itu bersifat dengan kasih sayang kerana ada dalam tubuh mereka rahim. Jadi, jika wanita yang tidak mempunyai rahim, mereka itu kurang kasih sayang!

Teringat pula saya akan tulisan seorang makcik liberal yang tidak bertudung, katanya kepada wanita yang tidak berpeluang menjadi ibu, jangan sedih kerada semulia-mulia wanita Saidatina Aisyah pun tidak berpeluang menjadi ibu.

Itulah, dalam banyak ketika, pendekatan sang liberal lebih mudah dan adakalanya jauh LEBIH BENAR dari sang ustaz.

Apabila pendekatan liberalist lebih kita setujui daripada ustaz, apabila fakta orang liberal kita kata jauh lebih benar daripada fakta ustaz, kita pula dituduh liberal dan sesat. 

Kalau anda hidup di Malaysia dan tidak mahu sesat, taqlid sahaja pada ustaz!

Kita ini mengaku sahaja Ahlus Sunnah, apa tahu tidak kita akan manhaj sebenar Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu bagaimana?

ASWJ percaya tidak ada pun yang maksum kecuali Nabi. Imam Mahdi yang diikut Nabi Isa yang maksum nanti pun tidak maksum.

Tetapi, sekali orang menegur silap ustaz kita, sebahagian kita marah dan hilang segala rasional. Sehingga ada yang mengugut, jangan berani berkata buruk kepada pemimipin kami nanti kau akan ditimpa bala. Dicontohkan dengan kisah yang banyak akan keramat ustaznya itu. Di mana prinsip ‘semua orang tidak maksum kecuali Nabi’ itu diguna pakai tidaklah saya tahu.

Kalau kita Ahlus Sunnah, kita akan terbuka menerima kritikan orang terhadap ustaz-ustaz kita yang sememangnya sangat banyak perkara yang boleh dikritik. Seperti hari ini dalam program serupa di televisyen, ustaz tersebut berkata jika kita ingat mati, tidak ada masa berfikir mahu menikah lagi. Kenyataan sebegitu saya fikir sangat jauh dari kebenaran. Anda sendiri pun tahu di mana silapnya bukan? 

Mengingati mati bukan menatijahkan kepasifan. Apa sahaja lorong dalam kehidupan ini jika niat dan pelaksanaannya benar, maka ia ibadah yang layak menerima balasan baik. Lihat sahaja berapa ramai ulama yang berpoligami, adakah semua mereka itu tidak mengingati mati? Meletakkan generalisasi begitu adalah satu kesilapan yang keterlaluan.

Saya juga hairan dengan program agama di TV. Saya mengenali barisan pendakwah yang hebat, ustaz yang ilmunya jitu, tokoh yang padu dalam berhujah, berkelulusan tinggi, kesarjanaan yang diiktiraf.

Tetapi hairan, yang muncul di kaca TV bukan cream of the cream. Mereka yang selalu muncul sering boleh dibidas isi penyampaiannya. Medan dakwah yag begitu luas disia-siakan dengan begitu sahaja. Ibarat kita mempunyai jutaan ringgit, kemudian hanya membeli sofa murah di rumah, tv second hand, kipas buruk, kemudian merungut akan ketidakselesaan hidup. Usahlah merungut dakwah kita tidak sampai, jika kita tidak tahu berdakwah.

~bukan semua ustaz ya!


 

Monday 9 September 2013

Merantau Ke Deli



Selesai mengenal Deli, sebuah daerah di Indonesia, mendalami adat Minangkabau di Padang, serta kasta dan beda bangsa yang meruntuh nilai. Hidup perlu terbuka, perlu BERANI MELANGGAR ADAT yang ditentang agama, malah rasional akal juga tidak boleh menerima adat-adat yang dangkal.

Payah hidup akan sentisa ada. Usaha terus usaha, adalah pelincir jalanan hidup.

Sekarang bertemu pulalah kesulitan dan gelombang yang lain kerana sudah demikian mestinya hidup ini, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirahat buat sementara, guna untuk mengumpulkan kekuatan menempuh perjuangan yang baru dan mengatasinya.
Sebab itulah maka tidak usah kita menangis pada waktu mendaki, sebab di balik puncak perhentian pendakian itu telah menunggu daerah yang menurun. Hanya satu yang akan kita jaga di sana iaitu kuatkan kaki supaya jangan tergelincir. Dan tak usah kita tertawa pada waktu menurun kerana kelak kita akan menempuh pendakian pula yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut daripada pendakian yang dahulu.
Dan barulah kelak pada akhir sekali, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu sawang luas terbentang bernama maut. Di sana akan bertemu alat datar, tak berpendakian tak turun lagi.

Sedikit inti yang saya hidangkan di sini, daripada buku Merantau Ke Deli karangan HAMKA.

Dan satu lagi yang ini.

“Duduklah dulu Poniem. Jawabmu itu belum memuaskan hatiku. Apakah engkau melepas aku beristeri seorang lagi dengan rela, dengan serela-rela hatimu? Izinkah engkau atau tidak? Katakanlah terus-terang, Yem!”
;)


Tuesday 25 June 2013

Sekalipun Kita Tidak Sama

Politik tercakup di bawah daerah muamalah yang mana merupakan perkara ijtihadi. Tiada nas qat’ie yang mewajibkan mana-mana individu memilih parti-parti politik tertentu. Seruan Islam ke arah keadilan, hidup berjemaah dan ta’awun adalah seruan universal yang perlu dibaca dengan bahasa universal. Malang apabila sesetengah manusia yang mentafsir jemaah yang disebut nabi di dalam hadith ialah jemaah mereka semata. “Sesiapa yang keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri dari jamaah, mati dalam jahiliyyah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka yang tidak termasuk dalam jemaah mereka di anggap tidak mempunyai fikrah yang jelas dan memilih wasilah yang salah. Pemikiran pada zaman 90-an masih payah dicabut keluar. Mereka berpegang bahawa haram ta’addud jemaah. Saya teringat sahabat saya bercerita mereka dilarang mengikuti usrah jamaah B kerana sudah terikat dengan jamaah A. Saya kemudian tertanya, apa hadaf atau objektif usrah mereka?

Sehari sebelum hari membuang undi baru-baru ini, saya bertanya seorang ustaz, bagaimana menyokong sesuatu puak dikatakan haram sedangkan politik adalah perkara ijtihad? Bagaimana pula dikatakan dosa 5 tahun akan ditanggung sedangkan kita yang memilih tidak mungkin tahu apa yang bakal terjadi sepanjang 5 tahun itu? 

Katanya, benar politik ini perkara ijtihad. Tetapi tetap juga ada dosa pahalanya. Pertama, kita dikira berdosa jika kita tidak mengkaji sebelum memilih, kerana Islam mewajibkan kita memilih pemimpin yang memiliki sifat al qawiy dan al amin. Kita tidak mungkin tahu calon yang ada kekuatan dan amanah melainkan kita mengkaji mereka. Tambahan pula seruan tabayyun dalam al Hujurat perlu dipatuhi.

Kedua, cara kita mengkaji perlulah adil. Tidak boleh membaca kenyataan sebelah pihak dan meninggalkan pihak yang lain. Sifat ulul albab yang digambarkan dalam al Quran ialah mereka yang mendengar semua kenyataan dan memilih yang terbaik. Bukan awal-awal lagi sudah memfitnah orang lain membuat fitnah.

Ketiga, niat yang ada dalam jantung hati perlu diperiksa sebelum membuat keputusan. Jika memilih parti A untuk kelangsungan projek sendiri-walaupun parti A ialah parti yang kononnya akan melaksanakan Islam-tetap juga haram hukumnya. Luruskan niat untuk melihat kesejahteraan keseluruhan ummah.

Akhirnya, keputusan boleh dibuat. Setelah mengkaji secara adil dan niat diperiksa, maka tidak ada dosa jika tersalah memilih. 

Dan sebagai mukmin, kita perlu tahu limitasi dalam menghukum. Usah bermudah-mudah mendosakan orang lain, apatah lagi menerakakan mereka. Terlalu buruk sikap begitu apatah lagi dipakai oleh orang yang mendakwa membawa Islam. 

Kita boleh mendakwa ijtihad kita benar dan orang lain salah. Tetapi kita dilarang menghina orang lain, memperlekehkan apatah lagi menghukum sesuatu yang tidak ada kata putus secara qath’ie.

Lihat bagaimana sejarah menulis peristiwa yang berlaku antara Khalifah Ali dan Muawiyah. Masing-masing meyakini ijtihad sendiri. Mereka berbeza sehingga berlaku peperangan. Menurut Sa’id Hawwa, ijtihad yang lebih benar menyebelahi Saidina Ali. Tetapi sebagai Ahli Sunnah, kita tidak mencerca Muawiyah, tidak menghina sahabat-sahabat yang lain hanya kerana ijtihad yang berbeza. Ini kerana kita telah ada tunjang yang lebih kukuh dan pasti yang kita semua berpegang kepadanya iaitu syahadah. Kita tidak seperti sesetengah aliran Syiah yang menghina sahabat hanya kerana berbeza dengan Saidina Ali.

Dalam memerangi Syiah, kita pula yang terikut gaya mereka. (Kita memerangi kah?)


Sunday 19 May 2013

Untuk Adik : Hudud dan Aurat, Ilmu dan Semangat.



Kesimpulan I : ‘Jenayah dan maksiat banyak, sebab tak buat hudud..!’

Mana-mana pendakwah yang membawa metod hukum-oriented tidak akan diterima oleh golongan cerdik pandai hari ini. Dakwah mesti reason-oriented. Bukan hukum wajibnya hudud mahu didengari, atau siapa yang salah tidak laksanakan hudud mahu dicari, tapi kenapa perlunya hudud, implikasinya kepada masyarakat bagaimana, mekanismenya apa? 

Kesimpulan I boleh membawa kepada soalan, negara Arab melaksanakan hudud, adakah kadar jenayah di negaranya kurang? Negara manakah yang indeks jenayahnya paling rendah di dunia? Adakah negara yang melaksanakan hudud? [Perhatian, ini adalah soalan, bukan keraguan kepada hukum Tuhan.]

Ringkasnya, jangan terlalu mudah untuk adik-adik membuat kesimpulan dan hukuman. Ia hakikatnya jauh lebih sukar dari apa yang kita sangka.

Begitu juga soal aurat. Janganlah adik-adik terlalu ghairah ‘memaksa’ manusia menutup aurat dengan fesyen yang kita gemari. Lantas merasa ‘puas’ apabila program yang kita anjurkan boleh membuatkan orang yang tidak tutup aurat ‘terkena’.

Semua itu keinginan yang hanya lahir dari semangat dakwah semata-mata, bukan dari ilmu. Beringatlah adikku, takut nanti kita terkena ‘talbisu iblis’ atau hiasan yang iblis menampakkan kepada kita indah dan baik, iblis hiaskan sebagai jalan dakwah tetapi sebenarnya tidak sama sekali.

Islam bukan dibina di atas semangat mutlak, tetapi dibina di atas hujah.

Demikian berkaitan ikhtilat. Ikutilah ilmu dan hujah, jangan sekadar semangat untuk mengharamkan semata-mata.

Justeru, cari lah ilmu adikku. Sebanyak-banyaknya. Seterusnya, dengan ilmu yang kaumiliki, sebarkanlah dakwah yang sahih. Sesungguhnya masa muda mu akan pergi, tetapi ilmu yang kau cari dan dakwah yang kausebar tidak akan hilang. Ia menjadi penemanmu di dalam tanah kelak.

Bukan dakwahmu yang salah. Jangan berhenti malah. Cuma hati-hati apabila kita membawa nama dan mesej Islam. Itu tanggungjawab, bukan pilihan.



*setelah memerhati trend adik-adik jemaah masakini. terlebih-lebih semangat. mungkin makanan zaman ini terlalu tidak sihat, hingga memberi kesan kepada tubuh badan, emosi dan mental. hahaha.



*mcm dah tua sangat je..;)

Mereka Tidak Melihat Agama Melainkan Dengan Cara Yang Salah



Sudah berapa cerita yang sama didengar, kali ini ingin berkongsi satu cerita dari Dr Maszlee mengenai rakannya yang menubuhkan pusat pendidikan untuk kanak-kanak OKU, dan memerlukan dana untuk pusat itu. Kepada pusat zakat dimohon bantuan. Tetapi pusat zakat tidak meluluskan bantuan dengan alasan pusat pendidikan tersebut juga menerima kanak-kanak bukan Islam.

Yang hadir memberi bantuan major ialah daripada pihak aktivis Kristian, ada juga organisasi Buddha yang membantu.

Apakah ini?

Teringat saya ketika dalam mesyuarat PERKIM di USM satu ketika dahulu. Kami ditugaskan untuk mencari keluarga-keluarga muallaf yang mengalami kesempitan hidup, ataupun orang yang sudah Islam juga dibolehkan. Lalu saya bertanya Dr Nizam adakah boleh jika bantuan juga diberikan kepada orang bukan Islam?

Seorang ustaz di sebelahnya menjawab, zakat tidak boleh diberikan kepada bukan Islam mengikut teorinya. Tetapi Dr Nizam menambah, kalau mengikut falsafahnya zakat boleh diberikan kepada bukan Islam, supaya mereka lunak dengan Islam, tetapi pengamalan di Malaysia masih belum diluaskan. Saya diam sahaja. Dr Nizam seperti tahu apa yang saya maksudkan kerana dia sudah dimaklumkan bahawa saya ini wahabi. ;)

Kata-kata mujaddid Umar bin Abdul Aziz mungkin boleh dijadikan semangat untuk kembali tajdidkan pengamalan agama di Malaysia.

“Aku mengubati sesuatu yang tidak ada sesiapa pun mampu menolongku kecuali Allah. Telah tua orang dewasa dalam keadaan yang salah, kanak-kanak telah membesar dalam kefahaman yang silap, orang bukan Arab telah fasih dengan cara ini, orang Arab sekalipun telah bergerak di atas landasan kesalahan, SEHINGGA MEREKA TIDAK MELIHAT AGAMA MELAINKAN DENGAN CARA YANG SALAH. Aku terpaksa membetulkannya.”

Bertolong-tolong lah dalam membaiki kembali magnitud tasawur agama ini. 






Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....