Tuesday 25 June 2013

Sekalipun Kita Tidak Sama

Politik tercakup di bawah daerah muamalah yang mana merupakan perkara ijtihadi. Tiada nas qat’ie yang mewajibkan mana-mana individu memilih parti-parti politik tertentu. Seruan Islam ke arah keadilan, hidup berjemaah dan ta’awun adalah seruan universal yang perlu dibaca dengan bahasa universal. Malang apabila sesetengah manusia yang mentafsir jemaah yang disebut nabi di dalam hadith ialah jemaah mereka semata. “Sesiapa yang keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri dari jamaah, mati dalam jahiliyyah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka yang tidak termasuk dalam jemaah mereka di anggap tidak mempunyai fikrah yang jelas dan memilih wasilah yang salah. Pemikiran pada zaman 90-an masih payah dicabut keluar. Mereka berpegang bahawa haram ta’addud jemaah. Saya teringat sahabat saya bercerita mereka dilarang mengikuti usrah jamaah B kerana sudah terikat dengan jamaah A. Saya kemudian tertanya, apa hadaf atau objektif usrah mereka?

Sehari sebelum hari membuang undi baru-baru ini, saya bertanya seorang ustaz, bagaimana menyokong sesuatu puak dikatakan haram sedangkan politik adalah perkara ijtihad? Bagaimana pula dikatakan dosa 5 tahun akan ditanggung sedangkan kita yang memilih tidak mungkin tahu apa yang bakal terjadi sepanjang 5 tahun itu? 

Katanya, benar politik ini perkara ijtihad. Tetapi tetap juga ada dosa pahalanya. Pertama, kita dikira berdosa jika kita tidak mengkaji sebelum memilih, kerana Islam mewajibkan kita memilih pemimpin yang memiliki sifat al qawiy dan al amin. Kita tidak mungkin tahu calon yang ada kekuatan dan amanah melainkan kita mengkaji mereka. Tambahan pula seruan tabayyun dalam al Hujurat perlu dipatuhi.

Kedua, cara kita mengkaji perlulah adil. Tidak boleh membaca kenyataan sebelah pihak dan meninggalkan pihak yang lain. Sifat ulul albab yang digambarkan dalam al Quran ialah mereka yang mendengar semua kenyataan dan memilih yang terbaik. Bukan awal-awal lagi sudah memfitnah orang lain membuat fitnah.

Ketiga, niat yang ada dalam jantung hati perlu diperiksa sebelum membuat keputusan. Jika memilih parti A untuk kelangsungan projek sendiri-walaupun parti A ialah parti yang kononnya akan melaksanakan Islam-tetap juga haram hukumnya. Luruskan niat untuk melihat kesejahteraan keseluruhan ummah.

Akhirnya, keputusan boleh dibuat. Setelah mengkaji secara adil dan niat diperiksa, maka tidak ada dosa jika tersalah memilih. 

Dan sebagai mukmin, kita perlu tahu limitasi dalam menghukum. Usah bermudah-mudah mendosakan orang lain, apatah lagi menerakakan mereka. Terlalu buruk sikap begitu apatah lagi dipakai oleh orang yang mendakwa membawa Islam. 

Kita boleh mendakwa ijtihad kita benar dan orang lain salah. Tetapi kita dilarang menghina orang lain, memperlekehkan apatah lagi menghukum sesuatu yang tidak ada kata putus secara qath’ie.

Lihat bagaimana sejarah menulis peristiwa yang berlaku antara Khalifah Ali dan Muawiyah. Masing-masing meyakini ijtihad sendiri. Mereka berbeza sehingga berlaku peperangan. Menurut Sa’id Hawwa, ijtihad yang lebih benar menyebelahi Saidina Ali. Tetapi sebagai Ahli Sunnah, kita tidak mencerca Muawiyah, tidak menghina sahabat-sahabat yang lain hanya kerana ijtihad yang berbeza. Ini kerana kita telah ada tunjang yang lebih kukuh dan pasti yang kita semua berpegang kepadanya iaitu syahadah. Kita tidak seperti sesetengah aliran Syiah yang menghina sahabat hanya kerana berbeza dengan Saidina Ali.

Dalam memerangi Syiah, kita pula yang terikut gaya mereka. (Kita memerangi kah?)


Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40.  Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang. Cuaca meyimbah panas yang menyengat....