Saturday 20 August 2011

Datang, aku datang.. .


 
Seperti helang aku datang,
bukan dari Khurasan, tapi lebih jauh
dan aku lihat puncak-puncak gunung.

Aku datang aku datang
separuh dari jiwaku adalah pencinta
separuh lagi akan ku cucikan dari dosa-dosa
hingga terang hati ini dengan cinta.

Aku datang, aku datang
kau yang mengundang
aku datang bukan sebagai penyembah api
bukan sebagai kafir yang tak bertemu Cinta
bahkan sebagai pemula.

Aku datang, aku datang
sebagai pemula
tetapi ghairah untuk belajar tentang cinta.

Aku datang, aku datang
sebagai pemungkir janji, ratus kali
tetapi masih mahu belajar
dan mengajar cinta dalam semua warna
terkandung dalam semua bahasa
meski tidak ada kat-kata dapat
mengungkap
KeajaibanNya.

Aku pernah cuba menyusun kamus cinta
setiap patah kalimatku punya makna
tetapi dakwatku cair padam dan
lidahku takut lecur terbakar
sepertimu aku tak dapat menerangkan
biar beribu kali aku memikirkannya.

Sang pencinta
mesti belajar mengalirkan airmata
taubatnya Adam sungguh-sungguh
memadamkan
segala keburukan
membawa cahaya kehidupan.

Sang pencinta
setiap detik hidupku diseksa Tuhan
hingga pernah aku letih
tetapi cepat tersedar
aku pun tahu tuhan memang meminta aku
rasa derita
supaya airmata menjadi mutiara
supaya ia tak kenal sejuk musim salju
supaya ia tak juga terhibur di musim bunga
ia tak bermusim
derita tak bermusim
bahagia sepanjang musim.

Sang pencinta
aku datang sebagai pemula
seperti yang lain aku cepat terpesona
maafkan aku, si pemungkir janji
aku akan belajar Cinta di sebalik cinta
lambat-lambat
kehillangan matahari, kehilangan lagi
merana berkali-kali
baru belajar tentang cinta iblis penuh rasa
tinggi diri dan sombong, berasa iri kepada
Adam, hanya mahu cinta untuk dirinya
seorang
moga jauhi aku dari cinta penuh kutukan.

betapa aku belajar setengah impianku
terkabul
separuh lagi tak Kau makbul
hingga aku kecewa entah berapa kali
sampai aku hampa terlalu banyak kali
supaya aku tak memikirkan lagi
apa pun harapan kerana rajukku
supaya aku izinkan kau memujukku
supaya aku hanya memuja cintamu.

Cinta, cinta
adalah penyembuh.
Cinta, cinta adalah anugerah.

Aku datang, aku datang
untuk bermula
barangkali nanti aku tak ke mana
lambat-lambat pun tak mengapa
akanku simpan ia jadi rahsia
bila aku menemuinya
seperti si haus meneguk air dan
air akan memuaskan si dahaga.

-FT.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...