Sunday 5 February 2012

Nilai Sejarah dan Maulid


Kesan revolusi teknologi maklumat dan pendemokrasian ilmu, hari ini masyarakat kita tidak lagi menerima sesuatu tanpa soal bicara. Antara ruang yang kini menghadapi kesulitan untuk menyesuaikan diri di dalam fenomena ini ialah ruang agama. 

Golongan agama tidak lagi boleh duduk di dalam zon selesa. Pendemokrasian ilmu telah membuka ruang kepada kelompok yang dilabel sebagai ‘orang awam’ sudah mula bersikap kritis. Mereka sudah berani mempersoalkan “apakah dalil itu dan ini?”, “Siapakah yang mengatakan sedemikian?”, “Mengapakah hukumnya sebegini?”, “Tidakkan ada pendapat lain berhubung isu ini?”, dan lain-lain ungkapan yang pada suatu waktu dahulu tidak pernah diajarkan lewat kuliah-kuliah agama dan juga proses tradisional menghasilkan para ustaz.

Antara isu yang sering menjadi polemik ialah isu ‘Maulid al-Rasul’. Setipa kali kedatangan ‘Maulid’, kini sudah mula polemik tentang bid’ah atau tidaknya sambutan tersebut. Polemik yang suatu waktu dahulu diwarnai sentimen kini mula diwarnai dengan perbincangan ilmiah.

Sungguhpun begitu tidak dinafikan masih lagi terdapat kelompok yang masih tidak dapat menerima khilaf terus menggunakan bahasa kuasa dan juga emosional. Walau apapun, polemik tetap polemik. Baik yang mempertahankan mahupun yang menentang, rata-ratanya tidak mahu berganjak dan membuka ruang persefahaman. 

Lebih malang perjuangan unutk samada mempertahankan mahupun menentang itu dianggap kemuncak beragama mereka. Akhirnya jalan pintas mengkafirkan ataupun menyesatkan diambil. Bagi yang mempertahankan, dengan mudah menuduh lawan mereka sebagai tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh Islam. Bagi yang menentang pula melemparkan bahawa lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) di dalam mendewakan Nabi, menderhakai Nabi kerana Nabi tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa, dan juga ahli bid’ah.


Ternyata di sana terdapat jalan keluar bagi isu ini. Perayaan atau sambutan Maulid itu perlu dikeluarkan dari kerangkan ritual-spiritual yang disikapi selama ini. Ia harus dilihat dan disikapi sebagai satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran (‘ibar menurut istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun). Sepertimana anjuran di dalam ayat-ayat al-Quran yang menyuruh umat Islam mengambil iktibar dan pelajaran dari acara-acara sejarah, begitu jugalah tarikh Maulid ini perlu disikapi. 

Apabila sesuatu bangsa itu diikatkan dengan sejarah, mereka akan lebih berdaya saing, lebih mampu untuk mengorak langkah ke hadapan kerana mereka mempunyai masa lampau. Bangsa yang tidak mempunyai sejarah, ataupun tidak mempunyai kenangan silam yang gemilang pastinya agak sukar untuk membina masa depan yang cemerlang.

Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh umat Islam jika perayaan Maulid ini dikeluarkan dari kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya?

Banyak sekali, malah jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apakah kesannya kepada para peserta mahupun kepada orang lain.

Usaha memperingati Nabi Muhammad ini bukan sekadar berlegar di kalangan umat Islam sahaja, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan Islam sekalipun. Perayaan yang berunsurkan sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan esklusif untuk orang Islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan ‘kesempurnaan hidup manusia’ (human well-being). 

Malangnya ini tidak berlaku, apa yang dipentingkan seperti kebiasaannya, ialah ‘kulit’ (form) sahaja dan bukannya ‘isi’ (substance) kepada Maulid. Saban tahun umat Islam di Malaysia hanya memeikirkan untuk berarak menyambut Maulid, tanpa berusaha memahami ruh daripada perayaan Maulid.

Apakah ertinya berarak Maulid jika di dalam menyediakan peralatan perarakan itupun berlaku korupsi, penipuan dan juga pecah amanah?

Apakah ertinya berarak, jika para peserta yang berarak itu tidak mengenali Nabi Muhammad dan tidak mengamalkan sunnahnya di dalam kehidupan mereka?





Apakah erti berarak, jika para peserta berarak itu masih mengamalkan rasuah, mengamalkan perniagaan ‘Ali Baba’, menipu, berzina, pecah amanah, mengadu domba dan juga menyokong perbuatan kezaliman?

Apakah erti berarak, jika kezaliman golongan tirani disokong dan dijadikan alasan sebagai mempertahankan agama dan bangsa?

Apakah erti berarak jika Islam yang penuh faham-memahami dan tolak ansur merentas budaya, agama dan kefahaman diselewengkan sebagai agama rasis (perkauman), ekstrimis dan juga mengajarkan kebencian terhadap bangsa dan penganut agama lain?

Apakah erti berarak jika unsur kemanusiaan dan juga penjagaan alam sekitar tidak langsung menjadi tema kehidupan para Muslim?

Apakah erti berarak jika undang-undang drakonian masih lagi bebas dijadikan alat untuk menutup suara-suara kritikan dan undang-undang tidak lagi tertakluk kepada unsur keluhurannya (rule of law) tetapi dijadikan bahan mainan pihak tertentu (rule of man)?

Apakah erti berarak jika unsur akauntabiliti, ketelusan, kebebasan bersuara, keadilan sosial, swardaya rakyat (people empowerment) dan juga tadbirurus yang baik (good governance) seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad dan ajaran Islam tidak dihayati?


Sudah tiba masanya Islam di dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan dari kesempitan dogma dan juga acuan golongan jumud yang berkepentingan. Islam sebagai ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ (rahmat kepada sekelian alam) perlu dijadikan lebih inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan hanya untuk umat Islam semata-mata...

 Dr Maszlee Malik

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...