Saturday 8 November 2014

JAHIL DEFINISI



Setiap kali belajar apa-apa tajuk, pasti definisi terlebih dahulu perlu difahami.


Contohnya solat secara bahasa bermaksud doa, secara istilah pula perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Maka jika seseorang berkata tentang solat, itulah yang kita fahami. 

Tetapi hari ini ada kecenderungan untuk berbincang, berdebat, dan menghukum tanpa mengetahui definisi.

Banyak sekali berlaku. Akhirnya, berbalah yang tidak ada sudah. Puncanya, kerana masing-masing berpegang pada definisi yang berbeza. Sedangkan jika awal-awal sudah bincang tentang definisi, perbnicangan akan lebih berisi, berkembang dan menghasilkan konklusi yang sihat.

Jika tidak, perbincangan hanya akan berlegar dalam bulatan kejahilan yang tidak akan ada jalan keluarnya. 
Berulang pada titik yang sama.

Contohnya sekular.

Pihak A menentang negara sekular yang berdefinisikan memisahkan agama dengan politik. Render God’s to God and Ceaser’s to Ceaser.

Sedangkan pihak B memperjuangkan negara sekular yang berdefinisikan negara yang adil kepada semua agama serta negara yang tidak mengamalkan perkauman. (Lihat definisi negara sekular oleh Louay Safi)

Definisi sekular pihak A bukanlah definisi sekular bagi B. Malahan bagi pihak B, definisi sekular begitu sangat ortodoks dan langsung tidak dipegang oleh mereka.

Begitu juga dengan istilah liberal.

Ada yang menentang kerana memahami liberal ialah cara hidup bebas yang membelakangkan Quran dan Sunnah.

Ada yang mendokong kerana mendefinisikan liberal sebagai interpretasi yang berlandaskan maqasidi dan menolak golongan nassi atau literal,  menolak pemikiran jumud dan konservatif. Mereka memperjuangkan liberalisasi dalam ekonomi (free market), kebebasan untuk menyampaikan pendapat dan sebagainya.

Begitu juga bid’ah.

Sampai ke sudah tidak habis berbalah kerana definisi yang berbeza. Bid’ah bagi Sultanul Ulama Izzuddin Abd Salam terbahagi kepada banyak jenis kerana beliau mendefinisikan bid’ah kepada semua perkara yang tidak ada pada zaman Nabi. Justeru kereta, sistem sekolah, adalah bid’ah, tetapi bid’ah yang baik bagi beliau.

Manakala sebahagian yang menggunakan definisi As Syatibi yang mengatakan bid’ah hanya merujuk kepada ibadah khususiyah ‘bermati-matian’ melaungkan tiada bid’ah yang baik.

Padahal, jika diteliti sama sahaja keduanya. Imam Izzuddin juga tidak pernah memasukkan ibadah-ibadah khususiyyah dalam bid’ah yang baik.

Oleh itu, sebelum mula berjuang untuk apa-apa pun, pastikan kita berada di trek perbincangan yang betul. 

Baru lah tiada lagi ‘KEKELAKARAN’ yang timbul dalam perbincangan seperti :

‘Kalau semua yang nabi tak buat itu bid’ah yang sesat, naik unta lah!’

‘Sokong liberal maknanya kau LGBT lah.’

Ayat begini lahir dari kegopohan memasukkan diri dalam perbincangan. Eh kelakar lah!

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...