Sunday 13 April 2014

Ikhlas



“Kita tak boleh tahu keikhlasan diri kita, tetapi kita boleh merasa apabila kita tidak ikhlas.”

Antara kata Dr Noorhisham ketika mengajar subjek Akhlak Islamiyah semalam.

Saya sungguh benci orang yang menilai keikhlasan orang lain. Apabila tidak buat – dihukum salah. Apabila buat – dihukum tidak ikhlas pula. Taklif dari siapa di pundaknya untuk kerja itu tidak saya tahu. Yang saya 
tahu, Tuhan menyuruh kita ikhlas, bukan menilai keikhlasan orang.

Lucu apabila seorang ketua pemuda sebuah negeri mempersoalkan keikhlasan seorang ahli parlimen pembangkang di negerinya. Sudah habis hujah mahu diberi, ikhlas yang tidak nampak itu juga yang digunakan. Seperti bomoh, selalu menggunakan hantu sebagai mangsa, kerana hantu tidak dapat dilihat 
orang.

Ketua kepada pemuda, tapi berpolitik cara orang tua. Tahukah dia anak muda hari ini sudah melancarkan kempen tolak politik orang tua? #tolakpolitiktua

Ikhlas ini terlalu rumit. Jika mahu menunggu ikhlas dahulu baru mahu beribadah dan taat, berapa ramai sahaja yang akan tunduk?

Jika telah habis ikhlas, maka tidak perlu beribadah kerana tidak akan dapat apa-apa pun, maka ramai yang akan berhenti solat dengan alasan tidak ikhlas.

Saya selalu berfikir bahawa Tuhan itu Maha Pengasih. Dia tahu keadaan hambaNya. Jika hambaNya tidak ikhlas, Dia tahu kenapa hambaNya tidak ikhlas.

Pernah saya dihukum tidak ikhlas. Kata hati saya, nasib baik saya bertuhankan Allah, bukan mereka.

Kerana Allah Maha Tahu dan jauh lebih memahami apa yang ada dalam hati, daripada mereka. Allah tidak akan menzalimi dan mensia-siakan hambaNya.

Rasa bersyukur bertuhankan Allah membiak subur. Mujur Allah tidak memberi peruntukan untuk mereka memberi pahala kepada sesiapa. Lega!



No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...