Hari ini kami benar benar tidak mendalami bidang agama. Masing masing dalam bidang yang berbeza.
Saya juga hanya belajar agama secara rasmi sehingga Tingkatan 5. Tingkatan 6 hanya 3 bulan. Mudahnya, pelajaran agama dan Bahasa Arab saya hanya sekadar level SPM.
Ketika di universiti, saya diajar ilmu itu ada disiplinnya. Baik ia dituntut secara rasmi atau tidak rasmi, ia jauh dari picisan omelan gorengan sang guru.
Saya kecewa apabila graduan universiti masih dengan mudahnya mempercayai gorengan manusia yang tidak mengikut disiplin ilmu. Orang orang kampung, apalah daya mereka yang hanya inginkan agama yang bernama agama. Allah mengampuni kekhilafan mereka. Namun yang pernah menjejak kaki di univerisiti, mengalami pembelajaran hingga menggenggam ijazah, tidakkah mereka faham kemasnya disiplin ilmu sehingga mereka boleh membela penyampai ajaran yang salah dengan takwilan yang berbagai?
Ilmu itu mulia. Guru itu mulia. Ia tidak boleh diperhinakan dengan kemalasan, keburukan akhlak, dan kepalsuan bersarungkan jubah serban dan terkini tasbih di tangan dan leher. Ilmu itu jauh lebih mulia dari semua itu.
Serendah ilmu agama saya di tahap SPM, saya memuliakan akal bodoh saya dengan tidak mudah mempercayai sang penglipur lara.
No comments:
Post a Comment