Perbezaan adalah rahmat kerana sudut pandang yang berbeza itu memberikan satu perspektif yang lebih holistik.
Setiap individu, kelompok… pasti ada
titik butanya masing-masing. Apa yang dilihatnya jelas, mungkin kabur
pada pandangan orang lain. Manakala ada yang dilihatnya kabur, jelas
pula pada pandangan orang lain.
Dengan menggabungkan pelbagai sudut
pandang, ufuk pandangan kita akan lebih luas. Dan ini mengurangkan sikap
prajudis dan ketaksuban.
Manfaatkan persamaan. Uruskan
perbezaan. Apapun, adab dan akhlak dalam berbeza pandangan itu sangat
penting dan utama dipertahankan.
Adab itu lebih utama dipertahankan berbanding ‘perkara ranting’ yang sedang dipertikaikan. Ramai
orang yang bijak, tetapi masih sedikit orang yang berakhlak. Hanya
dengan kebijaksanaan dan kasih sayang kita dapat mencari kebenaran… Jika
tidak yang kita cari cuma kemenangan. Biar kalah hujah, asalkan
‘menang’ akhlak. Justeru, selamanya manusia ’dont care how much you know untill the know how much you care’.
Mudahnya sikap melabel,
mempertikaikan akidah, malah hingga ketahap meragui keislaman orang lain
yang berbeza disiplin ilmu dengan kita, seharusnya dapat dielakkan.
Kekadang saya melihat, soal peribadi sudah mengelabui soal prinsip.
Agama di jadikan bukti hujah tetapi kedengkian bersalut dunia itu
jugalah yang menjadi motif utamanya. Bukan menuding orang lain, tetapi
satu muhasabah buat diri sendiri dan mengingatkan yang lain.
Pandanglah manusia lain dengan
pandangan sayang. Semua muslim bersaudara. Selagi bersaudara kita umpama
satu jasad. Melukai hati mereka samalah melukai diri kita sendiri.
Sakitnya mesti terasa kerana saraf iman kita sama. Iman itu akar,
buahnya kasih sayang. Jika mereka bersalah sekalipun, mereka masih
berhak mendapat kasih sayang kita. Apatah lagi jika sekadar ‘ter’salah.
Kesukaran mendidik diri sewajarnya
meningkatkan kesabaran kita mendidik orang lain. Jangan kasar. Jangan
marah. Perlembutkan bahasa, lunakkan sentuhan… kemukakan hujah secara
ilmiah dengan bujukan dan kemesraan. Begitu Rasulullah saw mengajar
kita. Yang benar, mesti diperjuangkan secara yang benar juga. Kesalahan
orang lain, jangan diledakkan di khalayak ramai (termasuk laman sosial
di internet) tanpa bersemuka dengan yang berkenaan terlebih dahulu. Dan
sebelum bersemuka, tanamkan dalam hati… aku berbuat demikian demi kasih
sayang dan cintaku kepada saudara muslim ku.
Siapa yang mencari kebaikan, akan
bertemu kebaikan. Orang yang baik berhak bertemu dengan orang yang baik
sepanjang perjalanan hidupnya. Sekalipun, dia bertemu dengan ‘orang yang
jahat’ namun kebaikan jualah yang akan dapat dirasai daripada kejahatan
itu. Bukan soal siapa yang kita temui, tetapi siapa kita ketika menemui
mereka.
Bertemu dengan orang, seperti bertemu
dengan makanan. Ada makanan yang lazat, berzat dan berkat. Ada makanan
yang tidak sedap, jangan mencelanya. Tinggalkan dengan baik. Maka
begitulah dengan kenalan mu. Jika ternyata, mereka tidak dapat membawa
kita menjadi lebih baik… tinggalkan. Tetapi jangan memutuskan. Jarakkan
diri, tetapi jangan mencelanya. Dia akan bertemu dengan orang yang lebih
baik daripada kita dan kita akan bertemu dengan orang yang lebih baik
daripadanya.
Insya-Allah, jika kita berani berbuat
demikian, belenggu yang mengikat hati dan diri kita akan terungkai.
Kita akan terbang lebih tinggi setelah belenggu itu terungkai. Dia pun
akan melonjak lebih jauh tanpa kehadiran kita di sisi. Begitulah,
kekadang perpisahan itu lebih baik daripada pertemuan… asalkan tidak ada
permusuhan.
Apapun, sayangilah diri sebelum menyayangi orang lain… kerana itu petanda kesempurnaan iman:
*seperti selalu, tulisan Ust Pahrol sentiasa menawarkan ketenangan..
No comments:
Post a Comment