Tuesday 4 October 2011

Hidayah Melalui Ayah

Terima kasih ayah, kerana mengenalkanku pada tauhid. Mengajarkan aku bintang itu bukan Tuhan, bukan juga bulan yang mengambang. Tetapi meyakiniku bahawa tiada Tuhan lain selain Allah, dan Muhammad itu utusan dari Allah. Lalu dengan kalimah itu aku bernyawa. Dengan LailahaillaAllah aku hidup setiap nafas. Dengan tauhid itu aku menolak kesyirikan. Sedang ada teman yang masih meminta dan percaya pada tuhan yang ramai, kaku dan mati.

Terima kasih ayah, kerana mengajarkanku Al Quran. Tekun tekadmu mengenalkan aku alif ba ta. Dari buta gelita aku jadi bermata sempurna. Dari bodoh, aku mampu menjadi contoh. Memahamkan aku bahawa Al Quran bukan hanya hiasan dan ritual yang formal, tetapi amalan setiap hari dalam kehidupan. Terima kasih kerana menunjuki ku tauladan bagaimana hidup bersama Al Quran. Sedang ramai di luar sana yang melupai Al Quran walaupun mengaku Allah itu Tuhan. Sedang ramai disekelilingku pun merangkak mengeja sepatah kata dalam al Quran. Jasamu membawaku hidup dalam kalamullah, selayaknya syurga balasan terindah.

Terima kasih ayah, kerana tegas menjadikan aku berilmu. Dari peperiksaan darjah 1 aku tempuhi, sehingga ujian di university aku duduki, semangat dari mu lah aku tumpangi. Kerana aku manusia biasa yang tidak bisa berdiri tanpa kekuatan di hati. Dan, lorong yang ayah tunjuki benar2 jalan yg benar untuk ditempuhi. Sedang ramai di luar sana yang masih belum tahu menuntut ilmu itu fardhu. Lalu, masih terbahak ketawa dan riang melompat terkinja tanpa secebis ilmu untuk menyuluhi.

Terima kasih ayah kerana mengajarkanku akhlak Nabi yang mulia. Ayah mengajarari, bukanlah amalan untuk bertempik menjerit walaupun gembira ria. Sedangkan masih ramai temanku yang apabila gembira, berteriak dalam ketawa. Terbahak-bahak menzahir gembira tidak kira di mana. Ayah mendidikku agar tidak mencaci maki dan mengeji bila membenci biarpun orang lain berterusan menyakiti. Sedangkan, orang yang mengaku ustaz pun masih belum mampu menguasai akhlak ini. Ayah mengajari lelaki dan perempuan itu selamanya ada batasan. Malu sebagai benteng pada perlakuan. Sedangkan ramai temanku sesedap tangan bertepuk-tampar, bermanja sayang dan bergaul bebas tanpa halangan. Ayah mengajarkanku, wanita itu ada aurat yang perlu dipelihara. Ada maruah untuk rapi dijaga. Berpakaian sempurna seperti ajaran al Quran sebuah kewajipan. Namun, ada ramai temanku yang bangga dengan aurat yang didedahkan, sambil merendahkan tudung dan baju yang labuh untuk digayakan. 

Terima kasih ayah untuk sebuah didikan disiplin yang tertinggi. Mengajarkan aku sesungguhnya masa dan waktu itu sangat laju berterbangan pergi. Seandainya sering mensia-siakan, sehingga habis masa yg dijanjikan, maka matilah dengan penuh kerugian tanpa amalan. Terima kasih kerana mendidikku dengan contoh kehidupan seorang muslim yang kamil. Dari dinihari hingga malam menyelimuti, ayah hidup dalam disiplin untuk aku contohi. Aku tidak pernah lupa gaya hidup ayah yang sewajibnya aku ikuti. Aku tidak pernah lupa, cuma terkadang alpa dalam melaksana. Sedang ramai temanku yang masih menjadikan masa seakan boleh dikembalikan. Berpeleseran tanpa sebab dan tujuan, konon menghilangkan tekanan, tetapi sebenarnya sedang merendahkan kualiti kehidupan.

Demikianlah ayah. Sekadar menulis apa yang terlintas pada fikiran, mustahil semua budi nya mampu aku kumpul bariskan. Mustahil. Ucap terima kasih pun bukanlah selayaknya balasan. Istiqamah dengan mengamalkan didikan ayah, bersama tadahan doa pada Ar Rahman untuk kehidupan sentosa ayah di sana – itulah sebenar-benar hakikat terima kasih.

Walaupun tiada sudah gosokan tangan ayah pada pundak untuk menyapu damai, tiada sudah pesan untuk ditelan sebagai penyembuh kesakitan, tapi ayah sentiasa hidup pada perasaan. Kerana itu, aku tidak pernah merasa tidak berayah.

Sungguhpun sebentar aku diberi waktu hidup bersama ayah, ia bukanlah alasan untuk aku merasa kurang didikan. Belum pun aku matang dalam kehidupan, masa untuk ayah sudah dihentikan Tuhan. Itulah sebaik-baik perkara, kerana ia dirancang Yang Maha Kuasa. Kita hamba perlu yakin, takdir itu ditulis Tuhan Yang Maha Adil. 

Pastinya, ini perkara biasa bagi yang membaca. Tapi bagi yang merasa dan menikmati didikan itu, sambil melihat ketempangan ramai manusia, akan merasa syukur yang amat dengan anugerah dari Ilahi. Semoga diri yang menerima didikan ini sentiasa ada iman utuh di hati, jalan menuju syurga tidak sesat dijelajahi. Dan, mampu juga menyebarkan mulia pada insan2 lain.


*sering berfikir bila melihat org yg tidak berakhlak, ‘mak bapak diorang tak ajar ke ha?’
*bukan bermakna kita sudah sempurna,sekadar -wa amma bini’mati robbika fahaddith-
*ayah= ayah+mama.

4 comments:

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...