Friday 23 September 2011

Ajarkan Agama Itu.

Ada yang kata jangan membuta taklid, buat sesuatu kena tahu asas dan sumbernya. Kalau tak faham, tanya pada yang berilmu. Kalau ragu-ragu, kaji dan cari ilmu.

Ada pula yang kata, ikut mana yang diajar. Jangan pandai-pandai nak kritik. Kamu orang awam, ini agama, serahkan pada ulama. 

“Tapi, Islam kan untuk semua, bukan untuk ulama saja.” kata si A.

 Si B menjawab. 
“Habis tu kalau ungkapan ‘perubatan moden adalah untuk semua masyarakat’. Tiba2 datang seorang berkata: Walaupun saya belajar bertani, namun disebabkan perubatan untuk semua, maka saya juga layak jadi doktor dan boleh mengubat penyakit saudara walaupun saya tidak belajar perubatan. Masyarakat yang mendengar kata-kata tersebut, pasti beranggapan bahawa sesiapa yang berubat dengannya akan menerima bahaya. Demikianlah, bukan semua orang boleh sebebas-bebasnya mentafsirkan agama. Serahkan pada yang pakar.”


Saya sebagai orang awam, yang tiada ilmu agama. Tapi, saya anti dengan jawapan ‘kamu tak payah tahu, benda ni payah, nanti kalau explain pun tak faham jugak, buat aje lah..’ Sesungguhnya, tugas orang agama ialah memberi kefahaman kepada orang awam, bukan memberi arahan dan hukuman tanpa penerangan yang jelas.

Benar, bukan semua orang bebas mentafsir al-Quran, mengeluarkan hukum dan mentafsir kesahihan hadis. Namun, sebagai orang awam, salahkah untuk saya cuba mendalami ilmu-ilmu agama? Salahkah saya kalau saya bertanya, ‘ustaz, dari mana ustaz ambil cerita tu?’. Salahkah kalau saya mahu tahu dalil kenapa solat saya pergerakannya begitu? Salahkah kalau saya mahu tahu bagaimana pengamalan-pengamalan mazhab-mazhab lain dalam solat? Salahkah saya kalau saya bertanya kenapa kita ikut mazhab Syafie? 

Ramai yang berkata, nanti jadi keliru. Jawapan ‘nanti jadi keliru’ saya kira lebih mengelirukan. Payah benar nampaknya agama ini. Sulit dan komplikated sungguh rupanya. Sampai hanya orang-orang tertentu mampu fahami. Sebelum diberi penerangan sudah dikatakan akan keliru. Yang berminat pada ilmu agama jadi takut untuk belajar agama, jadi tak berani dan makin jauh dari agama. 


Saya kira orang awam seperti saya mahu belajar, bukannya mahu mengeluarkan hukum, tapi mahu tahu kenapa hukum itu dikeluarkan sebegitu, agar nanti saya boleh menerangkan kepada non-muslim.  Saya mahu belajar bukan mahu mengeluarkan ijtihad sendiri mahupun mentafsir al-Quran sendiri. Tetapi, mahu kemaskan ilmu dan keyakinan dalam dada, bahawa apa yang saya amalkan selama ini serupa dengan ajaran Nabi. Itu sahaja!

Masyarakat hari ini bukan lagi masyarakat yang bersandar di dinding masjid menerima sebutir-sebutir arahan ustaz. Bukan lagi masyarakat yang mengira butir tasbih tetapi berubat dengan bomoh khurafat abila sakit. Tapi ummah hari ini ummah yang bersifat ingin tahu, generasi hari ini genarasi yang perlukan bukti dan sebab. Jika golongan agama khususnya di Malaysia, gagal memenuhi keperluan masayarakat hari ini, dan masih dengan cara lama mengusung agama ini, saya tidak tahu berapa tahun lagi umur Islam di negara ini.
Justeru, jika orang yang bertani mahu menjadi doktor merawat pesakit, itu salah. Tapi, jika orang yang bertani mahu cuba belajar ilmu perubatan, ia tidak salah kan? Sekali lagi, fikirkanlah tentang survival Islam.

*setelah membaca "Agama Urusan Ulama" oleh Dr Asmadi Naim, Utusan Malysia, Dis 2006. di sini

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...