Friday 30 March 2012

Si Buta Yang Aku Tinggalkan



Dua orang OKU  memerlukan khidmat pembaca. Aku diberitahu tentang itu.

Terdetik di hati untuk membantu, tetapi tugasan yang berjujutan dalam planner terlintas di fikiran. Itu juga perlu aku dahulukan.

Kebetulan waktu itu aku perlu bergegas ke kelas. Nombor telefon yang diberi untuk dihubungi bagi sesiapa yang berminat tidak sempat aku ambil.

Ada terdetik untuk bertanya lanjut sahabat tentang itu, kerana sesungguhnya fitrah untuk membantu ada dalam diri insan. Namun sebelum kesempatan bertanya datang, ada berita yang mengundang penyesalan dan kesalahan berpanjangan. 

Seperti dosa yang tidak mungkin ada pengampunan, seperti kematian yang tidak mungkin mampu dihidupkan, bahkan seperti kederhakaan kepada iman yang terlalu menyakitkan.

Jika lah aku menawarkan khidmat tanpa memikirkan kepentingan diri, pasti semua ini menjadi murni. Tetapi kerana ‘jika’ ialah perkataan yang hanya muncul selepas penyesalan, maka tiada penyelesaian untuk sebuah ‘jika’.

Si buta itu kini dipimpin oleh YDP Persatuan Kristian, yang datang membantu kerana agamanya, setelah aku menolak kerana kepentingan diri sendiri. 

Dia yang datang membawa ‘kemurniaan’ agamanya kepada si buta itu, sedikit demi sedikit mempamer ‘mahmudah’ mereka kepada orang yang memerlukan. Dan hati manusia, kalaupun tidak tertarik kepada agama pada mulanya, namun pada akhlak penganutnya telah pasti dipuji kebaikannya.

Dan sang muslim seperti aku, hanya berfikir kepentingan diri untuk dinomborsatukan, sedangkan setiap apa yang datang, menjadi keputusan kepada sebuah keimanan yang mungkin akan dirobohkan.

Berdoalah aku setelah sebuah sesalan aku rasakan, selepas sebesar kesalahan aku lakukan. Berdoalah aku bersungguh-sungguh akan keimanan si buta agar tidak goyah. Sesungguhnya, berdoa itu senang. Tetapi apa tindakan susulan?


No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...