Thursday 14 July 2011

Short Notes on Nisfu Syaaban.

Di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis:

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah HADIS PALSU yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Sebenarnya HADIS SAHIH mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

يطلع الله تبارك وتعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, Riyadh: Maktabah al-Ma`arf).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

Hadith-hadith tentang Nisfu Sya’ban tidak mengajar kita apakah bentuk amalan khusus malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca yasin sempena Nisfu Sya’ban, solat-solat khas tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

*harmoninya apabila kita pandai mengurus pendapat yg pelbagai, tidak mudah menuduh, dan berADAB.. =)

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...