Friday 6 May 2016

Terguris

Balik dari Mesyuarat AJK PIBG sekolah.
Dalam kereta pulang ke rumah, tertitik air mata yang dari tadi ditahan.

Terguris.

Kertas kerja memohon sumbangan tambahan untuk pembinaan pentas di dewan dibentangkan dalam mesyuarat oleh Pengerusi.

Ahli mesyuarat mengemukakan pandangan.

Seorang bapa bersuara. Kata dia, dia tidak bersetuju untuk meluluskan permohonan itu.

Ada pelbagai sebab dikemukakan. Ada satu yang sungguh mengguris.

Dia bimbang ada yang 'kenyang' dengan projek itu.

Anak mata merenung kosong tika andaian itu disuara. Sungguh, mulia sang guru sudah bertukar durjana.

Entah mungkin ada betul guru yang sejahat itu. Seperti kata dia, kita semua manusia.

Tapi seramai guru yang aku kenal, hati merea tidak busuk.

"Cikgu, kalau saya bayar RM2 dulu untuk buku ni boleh?"
Esoknya cikgu memaklumkan buku untuk Syed sudah dibayar penuh oleh guru lain yang simpati.

"Akak top up je 50 ringgit duit pibg budak ni. Dah hujung tahun tak bayar penuh lagi."
Mungkin Tuan nampak keuntungan yang besar yang akan cikgu telan walau hakikatnya tidak terdetik untuk kami sentuh.

Tuan tidak nampak kecilnya sumbangan kami setiap hari. Setiap hari.

Aktiviti fun learning yang Menteri Tuan laungkan itu, kami yang sediakan kertas warna yang hanya akhirnya digumpal henyak anak Tuan. Belon, wisel, kertas mahjung, pen warna warni, semua bahan eksperimen, dari poket kami sendiri. Ganjaran yang kami sediakan untuk anak tuan setiap hari dalam pengajaran kami tidak cuti di koperasi. Kami bayar.

Namun tidak pernah ada satu pagi pun yang kami bangun, dan rasa menyesal dengan sumbangan itu.

Tiada satu malam pun yang kami tidur bermimpi harap semua sumbangan kami disebar sedunia.

Tiada, tuan. Semua bukan untuk guru, tapi untuk anak tuan.

Rasa terguris sudah bertukar tergeram.

Allah sucikan hati kami semua dari segala prasangka.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...