Tuesday 22 May 2012

Kenapa Saya Mencari Ilmu?


Entri ini ditulis setelah saya pulang dari kedai fotostat, menghantar dua buku yang saya pinjam di perpustakaan untuk disalin semula, agar boleh saya bawa pulang dan menelaahnya pada cuti semester nanti.
Tetapi kenapa? Untuk apa saya lakukan semua itu? Jika untuk cemerlang dalam ujian, buku-buku itu bukan termasuk dalam sukatan pelajaran saya. Risalah Taqlid oleh Ibn Qayyim, dan Sharh Aqidah Washathiyyah oleh Ibn Taimiyyah bukan antara mata pelajaran wajib saya untuk bergraduasi. Lalu kenapa?

Saya berkira-kira sendiri. Mencari sebab. Mencari jawapan pada persoalan. Saya teringat kepada satu hadis yang saya baca dalam buku Himpunan Hadis Sahih di rumah semasa menuntut di Maahad dahulu. Hadis itu saya tulis di belakang buku latihan Tafsir saya. 

“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.”

[Maksud hadis riwayat Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 77].

Mungkinkah saya lakukan semua ini untuk berdebat-debat? Untuk membuktikan mereka yang saya tidak setujui itu salah? Ancaman neraka itu terlalu azab untuk saya memberikan jawapan ya.

Saya sering mendengar ‘belajar kerana Allah’. Namun dari Maahad hingga kini, saya masih keliru tentang apa sebenarnya maksud ‘belajar kerana Allah’. Ia terlalu general. Saya tidak faham dari dahulu sampai sekarang. Tidak mungkin saya memberi jawapan yang saya sendiri tidak faham kepada hati saya yang bertanya. Hati orang lain boleh ditipu, hati sediri mustahil untuk didusta.

Justeru, apa jawapannya?
Wahai Tuhan, kenapa? Kenapa aku lakukan semua ini?

Setelah mengorek ngorek jauh di dasar hati, akhirnya saya bertemu jawapannya.
Pada saat manusia keliru antara hitam dan putih, saya tidak mahu menjadi antara mereka. Biar mereka berkata yang hitam itu putih, atau putih itu hakikatnya hitam, saya tetap akan berjalan mencari kebenaran. Ya, itu jawapannya, mencari kebenaran.

Sama ada kelabu itu salah mahupun benar, biar saya teroka sendiri hakikatnya. Saya sudah letih mendengar sana sini berbicara. Jika bicara suci mengundang faham dan ikhlas, saya gemari. Tetapi jika bicara keji yang menghukum insan sebelum Tuhan menghukum, atau ‘lebih Tuhan dari Tuhan’, maka saya benci. Tidak kira pihak mana.

Kadang saya simpati melihat manusia yang megikut tanpa tahu asal usul dan hujung pangkal. Lalu melabel dan menyebar-nyebar. Sekali lagi, tidak kira pihak mana.

Justeru, mari kita mencari kebenaran. Kalau dahulu saya gemar membaca tulisan ustaz dan ustazah, saya cuba bertukar kepada sumber lain, tulisan ulama sendiri yang diterjemah. Semoga suatu hari nanti, saya bisa membaca sumber primer, yang tidak diterjemah. Buat masa ini jauh lagi dari kemampuan. Bertatih lah dahulu, sebelum berlari laju!

Adab-adabMenuntu Ilmu Agama, link ini sangat informatif.



No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...