Monday 2 January 2012

On Change.

Pagi itu, saya sengaja memilih berjalan kaki ke kedai untuk membeli sarapan. Tidak menaiki kereta. Gelap pagi itu, sejuk dan nyaman alam menyegarkan sebuah rindu di hati saya. Dahulu, setiap pagi saya berjalan di jalan yang sama, selama lebih 5 tahun. Memikul buku-buku sirah, feqah, tauhid, nusus juga biologi dan kimia. Berjalan sambil berfikir aktiviti yang akan berlaku di sekolah pada hari itu, tentang ustaz dan ustazah, tentang thobur dan tasmik. Dan, semua itu telah pun menjadi kenangan.

Selagi usia belum dihentikan, kita akan terus melalui jalan kehidupan. Sehingga kematian didatangkan, jalan kehidupan di alam lain pula akan kita lalui.

 
Selagi usia belum dihentikan, kita akan terus melalui perbezaan demi perbezaan. Paling tidak pun, perbezaan umur.

Saya dahulu, sangat seronok apabila handphone saya mengalami simptom-simptom penyakit, yang akan membawa maut kepada handphone itu. Perkara itu boleh menjadi alasan untuk saya menukar kepada yang baru, yang lebih canggih pastinya. Begitu juga, jika sandal saya seakan-akan mahu putus atau tercabut, saya sudah terfikir pattern baru yang akan saya beli.

Tetapi hari ini, handphone saya yang sedang menunjukkan gejala tidak sihat mengundang keluhan dan rungutan di hati. Sandal saya yang telah terputus saya jahit kembali. Bukan kerana miskin (walaupun memang lebih miskin dari zaman Maahad dan Matrik) , tetapi kerana cara fikir yang sudah berbeza. Dahulu saya jarang berfikir tentang wang dan pengurusannya. Saya malah pelik melihat kawan-kawan yang mengalami kesempitan wang, dan sering beranggapan mereka tidak pandai menguruskan keperluan dan kehendak sehingga selalu tidak cukup duit. Paling tidak, saya akan katakan mereka kedekut, nak beli yang mahal pun kedekut. Nak beli yang baru pun berkira. 


Namun tidak pada hari ini. Saya kian mengerti pengurusan duit itu penting. Kalau pun kita tidak miskin hari ini, segalanya perlu dijangka di masa hadapan. Sebagai simpanan untuk waktu yang memerlukan.

Juga tatkala mendengar sesuatu kisah. Terutama kisah umat terdahulu, kisah nabi dan rasul. Dahulu, saya suka mendengar daripada berbagai sumber. Hari ini, juga masih mendengar dari sumber yang banyak, tetapi memilih yang terbaik. Kerana suruhan Allah untuk menjadi Ulul Albab.

  “ Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang terbaik (untuk dijadikan hal hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah ( petunjuk ) oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna    ( Ulul Albab ). ” ( Surah Az Zumar: Ayat 18 )

Tidak lagi seperti dahulu yang menerima semua sumber tanpa membuat penelitian. Atau yang taksub kepada pihak tertentu, menutup pendengaran kepada penjelasan pihak lain.

 Begitulah saban tahun. Perbezaan akan sentiasa ada. Berubahlah ke arah yang lebih baik.    

2 comments:

  1. Salam dik,
    Menarik sekali entri ini. Tentang perubahan. Tajdid. Saya menyukainya.

    Semoga penelitian adik dalam segala hal semakin baik dari semasa ke semasa. Saya mendoakan yang baik-baik buat adik. Tetapi saya sentiasa bersedia untuk membantu adik dalam segala segi, termasuk kewangan. Jika adik bermasalah, jangan segan-segan hubungi saya ya!

    ReplyDelete
  2. Semakin usia ke hadapan, harusnya semakin baik penelitian. Terima kasih atas doa yg begiru saya perlukan.

    Alhamdulillah, kewangan setakat ini lebih dari mencukupi. Kalau ada masa saya perlukan bantuan kecemasan, saya akan panjangkan kepada kakak (seperti selalu! Hehee..)

    ReplyDelete

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...