Sunday 15 January 2012

Jika mahu tahu..


Cinta kerap menjadi penyebab titis air mata berjujutan. Kali ini cinta kepada seorang yang bukan keluargaku, bukan apa-apa denganku. Tetapi dia pemimpinku. Tok Guru. Aku sering mahu menitis menangis melihat dia. Entah. Aku jadi sayu. Membaca seseorang menulis tentangnya yang orang itu turut sayu apabila mendengar tuan guru berkata ‘ambo letih doh..’.

Tuhan, beri lagi, beri lagi kekuatan untuk dia. Jangan biar dia letih, Tuhan.

Begitu aku berdoa. Dia bukan bapa ku, bukan jua guru sekolahku. Tapi dia mengajarku, mendidikku, menunjukkan aku bagaimana Islam itu indah. Aku menghormati dia, menyayangi dia dan sering mendoakan untuk dia.

Biarpun aku antara berjuta yang mengagumi dia, aku tetap rasa diri ku istimewa. Biasanya, aku akan tawar mencintai orang yang telah ramai pencintanya. Ya, dia ramai yang mencintai, tetapi ramai juga yang membenci. Malah rakan baikku sendiri, yang memang dari parti yang berlawanan dengan dia, sering mengutuk Tok Guru di hadapanku. Mulanya aku berhujah balas, membantah mengemukakan fakta, tetapi kerana emosi ku mudah tersentuh dan aku cepat marah apabila dia dihina begitu, aku diam sahaja untuk kali keduanya. Dan rakanku memahami bahawa aku sensitif dengan kutukan dia pada Tok Guru. Kemudian, dia juga diam dan tidak lagi menimbulkan isu itu. Maaf teman, aku memang tidak boleh berkompromi jika orang tua yang mulia itu kau hina.

Jika mahu tahu, aku sering rindu untuk mendengar ceramahnya. Jika mahu tahu, aku mudah tersentuh mendengar ceramahnya. Biar baru muqadimah dia tuturkan, hati aku mula dipukul sayu. Biar tanpa ayat canggih dia gunakan, hanya contoh orang kampung yang dibawa bandingkan, tetapi kesannya dalam sampai nurani. Berbanding satu ceramah elit untuk rohani yang terkenal, yang menggunakan alatan teknologi canggih, latar muzik yang menyayat hati, gambar dan sekalian peralatan, sekalian bahasa dan ayat disusun cantik untuk menyampai pada hati manusia, kadangkala ia tidak sampai di hatiku.

Mungkin ada benar kata-kata bahawa yang dari hati itu akan sampai ke hati. Ada kebenaran pada pepatah itu barangkali. Kerana yang mahu menyentuh hati manusia, tetapi dengan menuntut bayaran dan syarat yang bermacam, kadangkala bayaran itu menjadi hijab. Hijab dari sampai ke hati.

Tetapi dia tidak pernah meminta bayaran. Malahan gajinya lagi disumbangkan. Ah, aku sebenarnya tidak suka memuji manusia. Tetapi kali ini aku benar-benar perlu akur kepada kekaguman dalam jiwaku terhadapnya. Sesekali aku harus menurut kata jiwa untuk jua memuji manusia.

Aku bukanlah pendokong kuat partinya. Ada tindakan partinya yang tidak molek di mataku. Tidak benar di mindaku. Lalu aku mengkritik walau tanpa siapa meminta. Tetapi pada peribadi seorang dia, aku sering kalah untuk mengkritik

Jika mahu tahu, aku suka mengumpul gambarnya. Banyak sekali gambarnya yang aku simpan. Jika pun di USM aku disekat untuk mendengar ceramahnya di youtube,aku sering ke Facebooknya, membaca tulisannya dan melihat-lihat gambarnya.

*baru sehari menjaga kedai, sudah 3 entri aku post kan dalam sehari. Wah maju lah blog aku begini..hikhik..

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...