Friday 17 May 2013

Tengok, pasir tu warna merah..



Sempena hari guru, aku juga mahu menulis sesuatu.

Aku ada seorang guru yang mendidikku menjadi dewasa.

Dia mengenali aku kepada Tuhan yang Satu, mengajari aku membaca kalam Tuhanku. Satu persatu dia tekun menunjuki aku yang dungu.

Matahari mula mengucap selamat tinggal. Ada sisa sinar masih berbaki, bercampur hitam malam yang mula masuk menjadikan langit itu merah. Seiring alam bersedia menyambut malam, sekitar digema laungan kebesaran Tuhan.

Semua itu menjadikan hati penuh ruang-ruang rindu. Rindu yang membuncah dalam jiwa, tiada mana-mana insan yang mampu berkongsi rasa yang sama. Perasaan itu memendakkan hati yang biasa. 

Waktu begini, dia mengusung diri ke rumah Tuhannya. Dia bersujud, menunduk dan menghadap kepada wajah Tuhan. Mungkin sahaja dalam sujud tunduknya itu, ada nama aku yang disebut. Agar aku sejahtera bernafas dalam bolak balik dunia yang bahaya. Dimintanya dari Tuhan agar aku juga menjadi penyembah Tuhan yang sama, muqim as solah. Mungkin sahaja dalam turun naik sembahyangnya, ada hulur doanya buat zuriat keturunan, agar terpelihara dari tajam duri makar alam sementara.

Tapi hari ini, hulur doa darinya telah putus dari dunia. Dia sudah di alam lain yang berbeza. Yang kekal adalah cinta.

Aku lebih lama terpisah darinya berbanding tahun-tahun kami hidup bersama. Kalau orang lain mampu menulis cerita kenangan, aku juga cuba mencari ingatan silam, tetapi banyaknya bertemu kegagalan. Ingatan ku sayangnya tumpul.

Petang Jumaat yang dijanjikan Nabi waktu mustajab doa ini, aku meminta Allah menyatukan kami kembali di istana cintaNya yang tidak ada lagi ujian kematian yang memisahkan.

Dialah guru juga ayah yang telah pergi.



'Tengok, pasir tu warna merah..'
Kakak akan mengajak saya menjenguk tingkap pada waktu maghrib. Melihat butiran pasir menjadi merah disimbahi cahaya dari langit maghrib, adalah ajaib bagi kami. Emak akan menutup tingkap selepas itu, dan ayah akan bersiap ke masjid. Itulah sahaja secebis kenangan yang ada.

 ;)
setiap kali melihat langit berwarna merah..ada kenangan memutar.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...