Friday 10 May 2013

Cerita Saya



Malam tadi, perbincangan kami (saya dan dot dot dot) berkisar tentang politik. Dia melahirkan kekecewaannya apabila masih ada pendokong-pendokong PAS yang menjaja isu hudud dan mempersoalkan keengganan UMNO untuk melaksanakan hudud di Malaysia. 

Saya juga pernah berfikir begitu namun saya berganjak dari satu daerah pemikiran ke satu daerah lain dalam titian usia. Anjakan cara berfikir itu sesetengah manusia memberi ia makna ‘lalang’, ‘mudah terpengaruh’, dan ‘tidak ada pendirian’. Sepertimana TV3 memberi label kepada PAS apabila PAS mengubah Negara Islam kepada Negara Kebajikan, begitu juga lah mereka berfikiran. Mirip TV3.

Dalam keluarga yang ‘celik politik’, saya dibesarkan. Ketika di sekolah rendah, saya tidaklah banyak tahu tentang politik. Hanya kenal bendera PAS dan UMNO, bagi saya orang PAS pakai tudung, orang UMNO tidak. 

Sekolah menengah saya, saya namakan sekolah PAS. Memang betul-betul PAS kerana ia diurus oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Di situ, saya didedahkan dengan politik Malaysia. Para guru memang tidak menyentuh isu politik dalam pengajaran subjek, tetapi majlis-majlis di sekolah sangat ‘hijau’. Sambutan Maulidurrasul, Maal Hijrah, Hari Sukan dan lain-lain, dirai dengan ceramah dari YB PAS dan ustaz-ustaz PAS yang memang ada menceritakan keburukan UMNO di medan thobur itu.
Mendengar ceramah bersemangat begitu, saya mengangguk dan bersetuju sahaja.
Selesai majlis, kawan-kawan saya pula menyambung ceramah di dalam kelas. Mengutuk pemimpin, malah memperlekehkan Malaysia. Saya juga menambah dan menyokong pada awalnya.
Semasa berada di Tingkatan 3, saya mula membaca Majalah i. Antara kolumnis majalah tersebut ialah Kapten Hafiz Firdaus, Dr Maszlee Malik, Ann Wann Seng. Dr Mohd Asri sebagai kolumnis kolum Fikrah sungguh saya minati. Tulisan pertama beliau yang saya mengulang baca beberapa kali ialah “Pro dan Kontra Islam Hadhari”. Beliau menggarap inti Islam Hadhari dengan cemerlang sekali. Saya gembira kerana pertama kali berkenalan dengan seorang yang tahu menilai pro dan kontra. Di sekolah, saya hanya dihidangkan dengan kesesatan Islam Hadhari. Di TV pula, saya menonton Forum Ehwal Islam yang memuji gagasan Islam Hadhari tanpa cacat. 

Artikel-artikel beliau pada setiap bulan saya cernakan dengan tekun. Saya perkenalkan Dr Mohd Asri kepada rakan saya, Humairah. 

Saya mula membantah rakan-rakan saya yang mengutuk pemimpin UMNO dan memperlekehkan Malaysia. Saya lah seorang diri berada di barisan penyokong kerajaan manakala rakan-rakan yang lain semuanya pembangkang. Saya banyak menggunakan idea-idea Dr Asri dalam hujah saya. Padahal, dalam jantung hati saya, saya tidak pernah menjadi UMNO, masih kekal hijau. Masih saya percaya UMNO itu jahat. Saya cuma mahu berhujah dengan mereka, itu hobi saya. Malah,saya pernah menghantar emel nasihat dan penjelasan kepada seorang penulis UMNO yang mengutuk TGNA.

Di Tingkatan 5, saya tidak banyak membangkang perbincangan mereka. Di dalam kelas, saya menjadi pendiam, tidak seperti di Tingkatan 4. Saya amat cemerlang di Tingkatan 4 kerana saya meminati subjek-subjek SMU dan sering mendapat pujian guru-guru. Saya mengalami ‘tekanan luar biasa’ apabila saya tidak minat aliran Sains dan tidak mampu mendapat keputusan cemerlang setiap kali ujian-ujian bulanan di Tingkatan 5. Saya tidak lagi menyertai perbincangan mereka. Saya hilang keyakinan diri untuk bergaul dengan mereka. Pun, mereka masih melabel saya sebagai orang UMNO, saya tersenyum sahaja. 

Majalah i masih setia saya ikuti. Tahun 2007, Dr Asri dilantik menjadi Mufti Perlis. Gembira saya membaca khabarnya. Dalam Majalah i bulan tersebut, ramai yang memuji beliau dan bersetuju dengan perlantikan itu termasuk Ustaz Fathul Bari. Suatu hari, saya membaca akhbar Harakah di rumah. Banyak sekali berita mengenai Dr Asri yang sudah mula menjadi pengampu kerajaan. Kata Harakah, Mufti Perlis itu mengeluarkan kenyataan tidak boleh mengintip khalwat kerana ingin melindungi maksiat pemimpin-pemimpin UMNO. Berita itu saya baca dengan hati yang sedih. Waktu itu, saya masih tidak boleh menerima orang UMNO. Bagi saya, orang UMNO itu jahat dan sesat. 

Saya membaca pula penjelasan Dr Asri di Majalah i pada bulan berikutnya. Saya kembali tenang. Saya faham mengapa beliau membuat kenyataan begitu, dan saya bersetuju dengan beliau. Dari situ, saya mula meragui ketelusan akhbar Harakah dan saya tidak suka ‘inferen-inferen’ yang ditampilkan dalam akhbar tersebut.

Berpindah ke matrikulasi, saya mengikuti laman web rasmi Dr Asri, www.drmaza.com. Setiap minggu saya turun ke cybercafe untuk print artikel terbaru beliau kerana di KMPP tidak dijual Majalah i mahupun akhbar Mingguan Malaysia. Saya juga mengikuti laman web Ustaz Hasrizal, Ustaz Maszlee, Kapten Hafiz dan Ustaz Zaharuddin. Sewaktu senior KMPP mengajak saya menyertai jemaah, saya menolak kerana cenderung dengan tulisan Dr Maszlee iaitu ‘Jemaah Centric vs Ummah Centric’ yang mengkritik jemaah-jemaah yang tidak ummatik.

Tahun pertama di USM, saya membaca buku ‘Membela Islam : Tanggungjawab dan Disiplin’ tulisan Dr Asri yang saya ‘curi’ di rumah kakak di Kepala Batas. Saya mula berfikir tentang perjuangan PAS yang melawan pemerintah. Saya diajak menyertai jemaah lagi oleh senior USM. Saya menolak juga. 

Kemudahan internet di USM memudahkan urusan saya. Kuliah-kuliah agama di Youtube saya ikuti. Gelombang tajdid dan pendokongnya mula saya kenali. Saya mengenali Dr Fadlan melalui Youtube, kuliah Ustaz Fathul juga saya ikuti. Lalu, mereka menubuhkan Sekretariat Ulama UMNO. Saya mula lunak dengan UMNO kerana guru-guru saya membentangkan hujah mengapa mereka menyertai UMNO. Walaubagaimanapun, saya juga mengikuti blog-blog ahli politik PAS seperti Dr Dzulkefly Ahmad yang sangat (sangat-sangat) saya kagumi. Video beliau mengenai hudud mengubah pemikiran saya. Tulisan Dr Asri mengenai hudud juga saya dalami. Seminar Hudud anjuran Kerajaan Kelantan juga saya ikuti di Youtube. Pembentangan kertas kerja Dr Abdul Basit dan Dr Asri sendiri ada dalam simpanan saya. Dan, masih saya tidak faham, mengapa masih ada orang berfikiran sangat sempit mengenai hudud (seperti di atas), apatah lagi orang PAS, LEBIH MALANG lagi pendokong PAS.

Buku Tun Mahathir – Doktor Umum – juga saya teliti. Sedikit demi sedikit saya mula berganjak ke daerah pemikiran yang lain. Dan pemikiran saya pada hari ini, jauh berbeza dengan apa yang saya fikir sewaktu Tingkatan 4 dan 5 dahulu-UMNO tolak Islam, UMNO sesat. Semua itu kini sudah berbeza. 

Saya sedang menghabiskan dua buah buku yang saya beli menggunakan Baucer Buku 1Malaysia. Buku tersebut ialah ‘Coming of Age’ tulisan Nik Nazmi Nik Ahmad dan ‘Are’nt We All Malaysians?’ tulisan Dr Mujahid Yusuf.  Kedua-duanya tulisan ahli politk PR dan keduanya banyak membincangkan isu keharmonian kaum. Saya mengagumi Sdr Nik Nazmi yang sangat kritikal walaupun tidaklah semua saya bersetuju dengan beliau terutama tentang ‘Liberal Muslim’ yang ditulisnya.  

Buku Dr Mujahid agak mengecewakan saya kerana ia tidak menepati tajuk yang ditampilkan. Kandungannya banyak berkisar kisah dirinya –sepenuhnya tentang dirinya-. Ia tidak salah, cuma agak melencong dari apa yang saya sangka melalui tajuknya. Tambahan pula, terdapat ejaan yang salah kerana ia pada asalnya ditulis dalam Bahasa Melayu oleh Dr Mujahid, tetapi diterjemah dalam Bahasa Inggeris menjadikan alunan ayatnya sangat kurang menarik.

Selepas membaca keduanya, mungkinkah fikiran saya ke daerah lain pula? Ya, saya memang lalang. 

Kata seseorang, kadang-kadang seseorang itu kelihatan berprinsip bukan kerana thabat dan wala’, apatah lagi faham, tetapi kerana malas berfikir!

Sekian.

hahaha..sy bukan mcm ni ya.


1 comment:

  1. terbaiklah.. serius suka..

    *saya juga 'lalang' mungkin. :)

    ReplyDelete

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...