Malam tadi,
perbincangan kami (saya dan dot dot dot) berkisar tentang politik. Dia
melahirkan kekecewaannya apabila masih ada pendokong-pendokong PAS yang menjaja
isu hudud dan mempersoalkan keengganan UMNO untuk melaksanakan hudud di
Malaysia.
Saya juga pernah
berfikir begitu namun saya berganjak dari satu daerah pemikiran ke satu daerah
lain dalam titian usia. Anjakan cara berfikir itu sesetengah manusia memberi ia
makna ‘lalang’, ‘mudah terpengaruh’, dan ‘tidak ada pendirian’. Sepertimana TV3
memberi label kepada PAS apabila PAS mengubah Negara Islam kepada Negara
Kebajikan, begitu juga lah mereka berfikiran. Mirip TV3.
Dalam keluarga
yang ‘celik politik’, saya dibesarkan. Ketika di sekolah rendah, saya tidaklah
banyak tahu tentang politik. Hanya kenal bendera PAS dan UMNO, bagi saya orang
PAS pakai tudung, orang UMNO tidak.
Sekolah menengah
saya, saya namakan sekolah PAS. Memang betul-betul PAS kerana ia diurus oleh
Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Di situ, saya didedahkan
dengan politik Malaysia. Para guru memang tidak menyentuh isu politik dalam
pengajaran subjek, tetapi majlis-majlis di sekolah sangat ‘hijau’. Sambutan
Maulidurrasul, Maal Hijrah, Hari Sukan dan lain-lain, dirai dengan ceramah dari
YB PAS dan ustaz-ustaz PAS yang memang ada menceritakan keburukan UMNO di medan
thobur itu.
Mendengar
ceramah bersemangat begitu, saya mengangguk dan bersetuju sahaja.
Selesai majlis,
kawan-kawan saya pula menyambung ceramah di dalam kelas. Mengutuk pemimpin,
malah memperlekehkan Malaysia. Saya juga menambah dan menyokong pada awalnya.
Semasa berada di
Tingkatan 3, saya mula membaca Majalah i. Antara kolumnis majalah tersebut
ialah Kapten Hafiz Firdaus, Dr Maszlee Malik, Ann Wann Seng. Dr Mohd Asri
sebagai kolumnis kolum Fikrah sungguh saya minati. Tulisan pertama beliau yang
saya mengulang baca beberapa kali ialah “Pro dan Kontra Islam Hadhari”. Beliau
menggarap inti Islam Hadhari dengan cemerlang sekali. Saya gembira kerana
pertama kali berkenalan dengan seorang yang tahu menilai pro dan kontra. Di
sekolah, saya hanya dihidangkan dengan kesesatan Islam Hadhari. Di TV pula,
saya menonton Forum Ehwal Islam yang memuji gagasan Islam Hadhari tanpa cacat.
Artikel-artikel
beliau pada setiap bulan saya cernakan dengan tekun. Saya perkenalkan Dr Mohd
Asri kepada rakan saya, Humairah.
Saya mula membantah
rakan-rakan saya yang mengutuk pemimpin UMNO dan memperlekehkan Malaysia. Saya
lah seorang diri berada di barisan penyokong kerajaan manakala rakan-rakan yang
lain semuanya pembangkang. Saya banyak menggunakan idea-idea Dr Asri dalam
hujah saya. Padahal, dalam jantung hati saya, saya tidak pernah menjadi UMNO,
masih kekal hijau. Masih saya percaya UMNO itu jahat. Saya cuma mahu berhujah
dengan mereka, itu hobi saya. Malah,saya pernah menghantar emel nasihat dan
penjelasan kepada seorang penulis UMNO yang mengutuk TGNA.
Di Tingkatan 5,
saya tidak banyak membangkang perbincangan mereka. Di dalam kelas, saya menjadi
pendiam, tidak seperti di Tingkatan 4. Saya amat cemerlang di Tingkatan 4
kerana saya meminati subjek-subjek SMU dan sering mendapat pujian guru-guru. Saya
mengalami ‘tekanan luar biasa’ apabila saya tidak minat aliran Sains dan tidak mampu
mendapat keputusan cemerlang setiap kali ujian-ujian bulanan di Tingkatan 5.
Saya tidak lagi menyertai perbincangan mereka. Saya hilang keyakinan diri untuk
bergaul dengan mereka. Pun, mereka masih melabel saya sebagai orang UMNO, saya
tersenyum sahaja.
Majalah i masih
setia saya ikuti. Tahun 2007, Dr Asri dilantik menjadi Mufti Perlis. Gembira
saya membaca khabarnya. Dalam Majalah i bulan tersebut, ramai yang memuji
beliau dan bersetuju dengan perlantikan itu termasuk Ustaz Fathul Bari. Suatu
hari, saya membaca akhbar Harakah di rumah. Banyak sekali berita mengenai Dr
Asri yang sudah mula menjadi pengampu kerajaan. Kata Harakah, Mufti Perlis itu
mengeluarkan kenyataan tidak boleh mengintip khalwat kerana ingin melindungi
maksiat pemimpin-pemimpin UMNO. Berita itu saya baca dengan hati yang sedih.
Waktu itu, saya masih tidak boleh menerima orang UMNO. Bagi saya, orang UMNO itu
jahat dan sesat.
Saya membaca
pula penjelasan Dr Asri di Majalah i pada bulan berikutnya. Saya kembali
tenang. Saya faham mengapa beliau membuat kenyataan begitu, dan saya bersetuju
dengan beliau. Dari situ, saya mula meragui ketelusan akhbar Harakah dan saya
tidak suka ‘inferen-inferen’ yang ditampilkan dalam akhbar tersebut.
Berpindah ke
matrikulasi, saya mengikuti laman web rasmi Dr Asri,
www.drmaza.com. Setiap minggu saya turun ke
cybercafe untuk print artikel terbaru beliau kerana di KMPP tidak dijual
Majalah i mahupun akhbar Mingguan Malaysia. Saya juga mengikuti laman web Ustaz
Hasrizal, Ustaz Maszlee, Kapten Hafiz dan Ustaz Zaharuddin. Sewaktu senior KMPP
mengajak saya menyertai jemaah, saya menolak kerana cenderung dengan tulisan Dr
Maszlee iaitu ‘Jemaah Centric vs Ummah Centric’ yang mengkritik jemaah-jemaah
yang tidak ummatik.
Tahun pertama di
USM, saya membaca buku ‘Membela Islam : Tanggungjawab dan Disiplin’ tulisan Dr
Asri yang saya ‘curi’ di rumah kakak di Kepala Batas. Saya mula berfikir
tentang perjuangan PAS yang melawan pemerintah. Saya diajak menyertai jemaah
lagi oleh senior USM. Saya menolak juga.
Kemudahan
internet di USM memudahkan urusan saya. Kuliah-kuliah agama di Youtube saya
ikuti. Gelombang tajdid dan pendokongnya mula saya kenali. Saya mengenali Dr
Fadlan melalui Youtube, kuliah Ustaz Fathul juga saya ikuti. Lalu, mereka
menubuhkan Sekretariat Ulama UMNO. Saya mula lunak dengan UMNO kerana guru-guru
saya membentangkan hujah mengapa mereka menyertai UMNO. Walaubagaimanapun, saya
juga mengikuti blog-blog ahli politik PAS seperti Dr Dzulkefly Ahmad yang
sangat (sangat-sangat) saya kagumi. Video beliau mengenai hudud mengubah
pemikiran saya. Tulisan Dr Asri mengenai hudud juga saya dalami. Seminar Hudud
anjuran Kerajaan Kelantan juga saya ikuti di Youtube. Pembentangan kertas kerja
Dr Abdul Basit dan Dr Asri sendiri ada dalam simpanan saya. Dan, masih saya
tidak faham, mengapa masih ada orang berfikiran sangat sempit mengenai hudud (seperti
di atas), apatah lagi orang PAS, LEBIH MALANG lagi pendokong PAS.
Buku Tun
Mahathir – Doktor Umum – juga saya teliti. Sedikit demi sedikit saya mula
berganjak ke daerah pemikiran yang lain. Dan pemikiran saya pada hari ini, jauh
berbeza dengan apa yang saya fikir sewaktu Tingkatan 4 dan 5 dahulu-UMNO tolak
Islam, UMNO sesat. Semua itu kini sudah berbeza.
Saya sedang
menghabiskan dua buah buku yang saya beli menggunakan Baucer Buku 1Malaysia.
Buku tersebut ialah ‘Coming of Age’ tulisan Nik Nazmi Nik Ahmad dan ‘Are’nt We
All Malaysians?’ tulisan Dr Mujahid Yusuf. Kedua-duanya tulisan ahli politk PR dan
keduanya banyak membincangkan isu keharmonian kaum. Saya mengagumi Sdr Nik
Nazmi yang sangat kritikal walaupun tidaklah semua saya bersetuju dengan beliau
terutama tentang ‘Liberal Muslim’ yang ditulisnya.
Buku Dr Mujahid
agak mengecewakan saya kerana ia tidak menepati tajuk yang ditampilkan.
Kandungannya banyak berkisar kisah dirinya –sepenuhnya tentang dirinya-. Ia
tidak salah, cuma agak melencong dari apa yang saya sangka melalui tajuknya.
Tambahan pula, terdapat ejaan yang salah kerana ia pada asalnya ditulis dalam
Bahasa Melayu oleh Dr Mujahid, tetapi diterjemah dalam Bahasa Inggeris
menjadikan alunan ayatnya sangat kurang menarik.
Selepas membaca
keduanya, mungkinkah fikiran saya ke daerah lain pula? Ya, saya memang lalang.
Kata seseorang,
kadang-kadang seseorang itu kelihatan berprinsip bukan kerana thabat dan wala’,
apatah lagi faham, tetapi kerana malas berfikir!
Sekian.
 |
hahaha..sy bukan mcm ni ya. |