Thursday 4 October 2012

Tuhan Memberi Pada Yang Mencari



Hujung minggu yang lalu, saya ke program PERKIM di Kepala Batas. Rindu kenangan bersama Sufi di sana. Berbau-bau kerinduan itu di seluruh pekan Kepala Batas.

Saya ke sana bersama pelajar-pelajar junior yang juga menyertai bengkel itu. Bertemu dengan dua orang pelajar lelaki yang sangat menakjubkan saya. Berkali-kali saya ‘terpuji’ mereka di hadapan mereka, sebab terlalu takjub. Tidak pernah saya jumpa pelajar USM yang mindanya ‘berisi’ seperti mereka.

Seorang fasih bercerita tentang kepentingan ilmu dalam Islam mengatasi kepentingan ibadah. Saya cuba menyangkal pada mulanya untuk ‘mengetest’. Ternyata semua dalil dari kitab ulung dibawa. Saya terdiam. Menyedari dia hebat, saya bertanya banyak soalan. Dan, semua soalan dijawab dengan huraian dan contoh yang baik sekali gus menambahkan pengetahuan saya. Contohnya tentang Rashad Khalifa. Saya tak banyak tahu. Tapi dia banyak memberitahu. Mengenai Syiah, Sufisme, Tabligh, Salafi, anti hadis, SIS, juga Wahabi semua dihuraikan. Pergh! Mantap..

Seorang lagi pula bercerita tentang tokoh2 di Malaysia, asal-usul mereka. Saya yakin tak ramai tahu senarai menteri kabinet di Malaysia, apatah lagi untuk menghuraikan demikian. Akhlaknya juga, masya Allah, sungguh berbudi bahasa. Memang dia orang pertama saya jumpa yang mengucapkan selamat pagi, terima kasih, jumpa lagi kepada jurutol. Sangat sopan. Dia juga bercerita tentang pendakwah Kristian di Sarawak. Sangat kritikal pandangannya.

Dan, kedua-dua mereka bukanlah berperwatakan Islamik, tidak berkopiah mahupun berjubah. Mereka stylo! Rambut pun macam Korea, jeans dan kemeja rugged bersarung, kasut memang rock lah.
Kebanyakan yang pernah saya berborak dengan yang berkopiah, isinya hanya berkisar buku novel cinta Islamik, haram bercouple, kumpulan nasyid, politik PAS sikit-sikit. 

Jadi, saya nak buat kesimpulan macam mana ni? Boleh bantu saya? Emm..

Saya sungguh seronok berbincang begini. Jarang benar saya jumpa orang yang boleh saya berbincang di sini. Melainkan jika di rumah, minda saya bebas berfungsi. Tapi di sini, saya rasa minda jadi sempit, sebab apabila saya cuba bertanya kawan-kawan tentang apa yang mahu saya bincang, mereka tidak tertarik, dan selalu nya tidak tahu pun. 

Kedua pelajar lelaki tadi setelah saya bertanya lanjut, rupanya mereka suka membaca. Berbagai-bagai buku mereka baca. Kebetulan di Pejabat PERKIM itu, Ust Khalid membenarkan untuk kami mengambil apa-apa sahaja buku yang ada. Mereka juara ‘penerkam buku’. Yang lain, sekadar memerhati. Maklumlah, tiada buku penulis kegemaran mereka di situ. Tajuk-tajuk buku perlu diletak perkataan CINTA barangkali, baru lah laku!

Juga, mereka bukan berasal dari keluarga Islam. Seorang dari mereka ibunya masih Kristian. Seorang lagi, ayahnya ialah mualaf berbangsa Cina. Mereka mendapat Islam bukan dengan cara yang mudah seperti kita. Mereka perlu cari, cari sendiri apa yang Islam mahu, bukan ikut. Mereka berasal dari Sarawak. Dikelilingi masayarakat bukan Islam dalam kalangan kawan juga keluarga.

Demikian saya membuat kesimpulan, bahawa Tuhan akan memberi kepada yang banyak mencari. Orang yang memang ingin mencari ilmu Islam, pasti akan jumpa. Tapi jika orang yang hanya mahu mengikut dari muda sampai tua, ilmunya tidak akan bertambah.

Kita yang mendapat Islam dengan cara yang mudah, keluarga Islam, sekolah Islam, kedai makan Islam, ubat gigi Islam, malah ayam dalam reban pun dengar mengaji Quran, selalunya malas untuk mencari ilmu tentang Islam. Jadilah kita sang muqallidin. Justeru, cari lah ilmu, sebanyak-banyaknya.

Jangan hanya sibuk dengan slogan Mencari Cinta Ilahi, Cinta Hakiki, Cinta Abadi. Tapi cari ilmu tak nak. 

didik anak membaca.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...