Wednesday 31 October 2012

Saya Bukan Pelajar Bidang Agama




Kecil hati juga apabila ada ustaz yang mengkelaskan manusia kepada golongan yang belajar agama dan tidak belajar agama.

Kami yang dikelaskan sebagai golongan yang tidak belajar agama sering tidak mendapat jawapan yang memuaskan apabila bertanya soalan.

Soalan kami dijawab dengan juga soalan, ‘Awak belajar jurusan apa?’

Apabila diberitahu bidang Sains, maka diceritakan kisah seorang ulama dengan seorang doktor. Doktor tersebut datang berhujah dengan ulama mengenai satu pendapat ulama yang tidak dipersetujui. Ulama yang penuh hikmah itu lalu memberi jawapan :

 ‘Di luar sana, banyak klinik milik bukan muslim, dan kurangnya klinik orang Islam. Jadi, lebih baik doktor fokus kepada penubuhan klinik-klinik itu untuk maslahah masyarakat.’

Cerita itu kami kias sendiri kepada situasi kami. Bahawa fokuslah pada bidang sendiri. Walaupun soalan kami bukanlah mahu berhujah atau berdebat, cuma mahu bertanya kenapa dan apa alasannya.

Jawapan yang dimahukan tidak diberi. Kabur yang menyeliputi tidak dialih. Mereka seakan menyisih kami.

Tiba pula satu golongan agamawan lain yang lebih meraikan kami. Mengambil berat soalan-soalan kami. Memperincikan kemusykilan kami satu persatu. Menghidang semua yang kami mahu. Menjadikan kekeliruan kami jelas, yakin dan tersusun. Menyediakan alasan untuk setiap hukum. Berbagai pendapat ulamak yang berbeza dikemukakan. Kami nampak agama ini luas, mudah, dan menyeronokkan.

Tapi, tiba-tiba kedengaran, bahawa golongan yang meraikan kami itu Wahabi. Katanya, Wahabi itu sesat. Kalau tidak sesat pun, ia tidak sesuai. Kami tertanya-tanya kenapa sesat? Tapi, kami tidak berani bertanya ‘kenapa’ lagi. Takut ditanya lagi belajar jurusan apa.

Justeru, kami diam di sini. Mendekati agamawan yang tidak memberi jawapan adalah menyakitkan. Manakala mempelajari agama dari mereka yang Wahabi adalah menyesatkan.




Pesanan Imam Syafi’e : Janganlah kamu ikuti aku dengan kamu tidak tahu, tetapi lihatlah alasanku. (dinukilkan oleh Al Muzani)


Tidak pula Imam Syafi’e berkata orang yang belajar Sains jangan bertanya alasanku, hanya yang belajar agama sahaja boleh bertanya.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...