Tuesday, 15 September 2015

Kenanglah Ibn Taimiyyah

Ada yang menjadikan jiwa bersedih. Hari-hari yang dititi ada yang perlu dirintih. Lemah, sungguh lemah jika syurga bahagia kita ada pada tangan orang lain.

Atau, yang lebih tepat, apabila kita menyerahkan syurga kita kepada orang lain.

Ibn Taimiyyah, ulama yang jauh dari kemewahan, sangat miskin. Hidupnya diancam kiri dan kanan kerana fatwa yang dikeluarkan. Diseksa dan dipenjara. Ibn Taimiyyah malah meninggal di dalam penjara.

Beliau manusia seperti kita. Manusia yang juga punya deria.

Tapi syurganya bukan terletak pada tangan orang lain.

Agung kata-katanya telah memberi rasa baru kepada jiwa-jiwa yang menghayatinya.

Katanya, "Apa sahaja yang boleh dilakukan musuh-musuhku? Syurgaku berada di hatiku. Ke mana aku pergi, syurga ada bersamaku."

Ibnul Qayyim mengakui tidak pernah melihat orang yang lebih nikmat hidupnya berbanding Ibn Taimiyyah. Beliau manusia paling lapang dadanya, paling kuat hatinya dan paling bahagia.

Masya Allah. Letaklah syurga dalam raga jiwa kita. Bukan pada persekitaran, bukan juga pada pasangan atau mana-mana teman.

Malah Ibn Taimiyyah juga terkenal dengan kata-kata, "Di dunia terdapat satu syurga. Siapa yang tidak memasukinya, tidak akan memasuki syurga akhirat."

Berbahagialah. Hidup ini terlalu indah untuk hanya lelah dan rebah. Ada, ada syurga untuk kita. Nikmatilah.

Kalau sekadar kata dari dua bibir manusia sudah memusnahkan seluruh bahagia, pandang mata mereka meruntuhkan syurga kita, kenanglah Ibn Taimiyyah yang bahagia. Tidak cemburukah kita? Di dunia dia merasa syurga, di akhirat juga bahagia.

Sunday, 6 September 2015

Pesan Buat Anak

Pesan Buat Anak

Kiranya nanti engkau dipanjangkan usia menjadi remaja, susurilah jalan remajamu sebagai seorang dewasa.

Kerna pada usia yang telah banyak ini, barulah nanti engkau akan rasa sesalnya menjadikan waktu muda tiada apa-apa. Ruginya waktu emas itu engkau buang untuk sekadar perkara yang ringan.

Harusnya remaja itu kau penuhkan saatnya dengan merapati ilmuwan. Bercinta dan berbahagia dengan orang sarat ilmu. Bagaimana bolehnya sehari-hari engkau bersama mereka?

Dengan buku.

Kau akan merasa enaknya membaca. Dalam jajaran buku di rak perpustakaan, engkau akan tahu dalamnya ada sebuah kehidupan. Dunia memang istimewa, namun buku lebih istimewa kerana ia membawa pelbagai jurus dan hala dunia dekat denganmu dari pandangan orang beribu.

Orang, akan kausakiti atau akan kau disakiti. Namun buku, ada saktinya sendiri.

Sampai satu ketika, ketika kau disakiti manusia, akan kau terus teringatkan buah-buah buku yang kaumiliki untuk memberi permai pada hati.

Akan segera engkau berlari mendapatkan ayat-ayat yang pernah kau khatam untuk kembali kau ulang.

Begitu anakku. Bercinta dengan buku hanya ada satu pengakhiran ceritanya, iaitu bahagia.

Itu satu saja pesanku. Membaca dan kau akan bahagia.

(untuk 14 orang anak yang ada, kerana ketika menyebut anak, siapa lagi yang ada di mata kalau bukan 14 itu?)

Tuesday, 25 August 2015

Tercari-cari

Saya sangat rindu. Keterujaan untuk menghadiri sesi ceramah yang membina ilmu dan sesi perbincangan yang menjentik minda sudah lama tidak saya rasa.

Kalau di Bangi dulu, Rumah Fikir ialah tempat yang paling indah. Hilang segala lelah dan tekanan.

Tapi di Johor ini, saya masih tidak jumpa tempat yang menarik. Semoga Tuhan lorongkan saya.

Benar, di Youtube ada banyak. Tapi ia tidak sekali kali sama dengan kewujudan kita di tempat itu. Lagi pula, di Youtube tidak ada ruang bertanya.

Indahnya jika Rumah Fikir wujud di Johor. Dan asatizah yang menguruskannya ialah asatizah yang melengkapi dirinya dengan segenap ilmu dan juhud.

Pernah di masjid di kampung, saya menemani ibu mendengar kuliah Subuh. Ustaz tersebut menjerit, marah, dan membebel dari awal. Saya tak boleh tahan. Saya keluar. Tunggu saja ibu dalam kereta. Sampai sekarang, saya takut-takut nak dengar ustaz ceramah di masjid. Takut kena marah. Heeeee..

Kalau di Rumah Fikir, ada buku, ada silibus dan ada nota. Tidak ada marah2, tidak ada membebel, dan tidak ada menjerit. Saya masih ingat sementara menunggu ketibaan Ustaz Adlan yang ada urusan, Ustaz Asyraf mengisi slot santai. Sepanjang slot santai sembang2 dia, berhelai2 saya menulis ilmu yang dia sampaikan. Banyak ilmu baru. Itu slot santai yang tak dirancang. Apatah lagi slot khas yang memang ustaz yang nak datang mengajar tu buat homework dulu. Memang puas dan kenyang.

Demikian yang saya cari. Di manakah di Johor ini? Di manakahhhh???

Monday, 24 August 2015

Anak kecil

Saya sebak membaca "Father Forgets" oleh W.Livingston Larnes (1927) yang dikongsi oleh seorang teman di Facebook.

Selalu kita menganggap anak kecil itu ialah seorang lelaki yang matang.

Betapa dahulu ayah dan ibu bersabar dengan kehendak bermacam kita. Betapa dahulu kita juga begitu. Kita benar-benar sudah lupa.

Mengambil sunnah Rasulullah mendidik anak-anak baginda, adalah jalan yang paling benar.

Kerana terkadang kita buntu. Dimanja salah disergah juga salah.

Adalah kita, perlu beradab. Saya rasa itu sahaja kuncinya. Adab ketika marah (dengan tujuan mendidik), adab ketika memberi nasihat dan adab ketika menunjukkan rasa cinta.

Anak kecil tidak perlu diajar banyak. Hanya ajar dengan perilaku kita. Itu sahaja.

Anak kecil kita itu hanya ada sekali masa kecilnya. Jadikan ia sesuatu yang indah.

Saturday, 15 August 2015

Susah dan Menyusahkan

Saya tak faham bagaimana manusia workaholic boleh hidup.

Bagaimana dengan anak nya? Ibu bapa dan keluarganya?
Bagaimana peningkatan disiplin ilmu yang lain jika hanya tertumpu 100% dalam bidang yang sama? Tidak terasa sempitkah dadanya?

Allah menyukai orang yang ada itqan dalam kerja. Tapi bukan taksub.

Saya juga tak suka orang bekerja sambil lewa. Apa pun perkara perlu serius, ini kan pula punca rezeki, lebih perlu serius.

Tetapi keterlaluan dalam bekerja hanya membawa celaka.

Saya pernah kenal seorang teman yang taksub dalam belajar semasa di universiti. Tidak tidur, tidak makan, risau, dan macam2 perkara yang menyusahkan badan. Keputusan akhirnya tak dekan juga pun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

kalau pun anda gila nak capai kecemerlangan dalam kerjaya anda, janganlah heret orang lain memenuhi nafsu anda. Buatlah sampai anda terlentang terbaring kering pun, asalkan jangan menyusahkan hidup orang lain.

Imam-imam hadis yang merantau puluhan ribu kilometer untuk mencari hadis tidak menyusahkan sesiapa.

 Moga Tuhan pandu kita semua merasai nikmatnya sifat mahmudah yang Dia cipta. Nikmat merasai tawakal setelah menyempurna tugasan kita. Nikmat memeluk qanaah saat menerima segala tinggi rendah pencapaian yang Tuhan beri. Nikmat tuan-tuan, nikmat!

Hidup sesungguhnya jauh lebih indah dan mudah kiranya pada kehendak Tuhan kita turuti. Bagaimana mahu turuti jika apa kehendak Dia pun tidak kita ketahui? Belajar tuan-tuan, belajar!

Moga mati kita tidak didoai orang lain agar disegerakan.
Moga-moga tuan-tuan, moga-moga...

Tuesday, 28 July 2015

Hari Yang Akhir

Adapun nafas, tidak akan sentiasa ada. Akan ada untuknya hari yang akhir. Kasar atau lembut perginya perlu dirancang hari ini. Moga esok masih bukan hari yang akhir.

Kata orang-orang alim; Janganlah engkau mati sehingga tetap untukmu sebuah kediaman di syurga untuk kauhuni.

Untukku sudah ada, atau belum sempurna, atau seluruhnya tiada?

Wednesday, 22 July 2015

Sang Guru

Saya selalu menjadi terlalu sensitif dengan guru.

Apabila ada yang menghina guru saya, saya rasa sakit.

Guru saya disamakan dengan Abdullah bin Ubai. Tuhan sahaja lah yang tahu tangisnya hati mahu lerai di hadapan pencaci.

Jika dulu DrMaza dihina, juga rasa yang sama saya disakiti.

Hari ini guru saya yang lain dimunafikkan, sakit serupa juga saya alami. Gambarnya diburukkan. Niatnya dihitamkan bahkan diperlihatkan pemecah ummah seperti telah dibelah dadanya dibuat rincian sempurna.

Bahawa saya menyayangi guru-guru saya, tidaklah mereka itu tahu dalamnya. Jauh sekali memaksumkan sang guru, saya diajar hanya bertiang pada al Quran dan as Sunnah, bukan pada tokoh disandar kepercayaan dan kehidupan. Begitu sang guru mengajar. Ya saya tahu.

Cuma jiwa manusia ini ada rasa.

(Saya baru membaca pemuda parti Islam memburukkan Dr Maszlee. Munafik, pemecah belah, ada agenda tersembunyi.

 Pada mulanya saya rasa macam kelakar sebab baru sehari dua timbul isu ummah centric, taaddud jemaah, jamaah al muslimin atau jamaah minal muslimin, bukan main semua nak mengulas. Macam baru dengar je semua. Macam ahli2 akademik tu baru syarah isu ni sejak GHB. Padahal benda ni dah lama. Bukan ahli akademik tu tulis sebab nak sokong GHB. Dah lama kot diorang ulas. Korang yang baru terkial2 nak baca pastu nak relate dengan GHB. Amende laaaa..

Saya masih ingat masa di Matrikulasi saya diajak menyertai jemaah. Antara sebab saya tak join jemaah PAS di kampus ialah pengaruh tulisan Dr Maszlee di majalah i yang saya baca setiap bulan, masa tu masih Ust Maszlee, selain sebab saya pernah beberapa kali menyertai usrah mereka dan tak best langsung dan banyak yang saya rasa tak kena. Alhamdulillah saya selamat sampai sekarang )

Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah.  Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...