Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.
Umumnya
terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala
yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman
Allah:
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]
Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]
Manakala
bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang
wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa
melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang
jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan
bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang
melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.
Ayat
al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak
tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya
merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada
keseluruhan ayat yang berkaitan:
Bahawa sesungguhnya itu ialah
Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih
suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah
56:77-80][2]
Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat
“fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz
manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]
Justeru
keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang
sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh
oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi
kepada manusia.
Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga
tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci
adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan
mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti
tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud
petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.
Perkataan
suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi
dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti
haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam
keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah
sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:
Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]
Oleh
itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di
atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana
ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat
itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada
campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar
adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh
oleh orang bukan Islam.
Himpunan antara asal usul hadis dan
rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah
kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas
sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis
sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau
mushaf al-Qur’an.
Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di
atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang
wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.
Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.
Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]
Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[5]
Adapun
hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an
seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh
al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang
dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya.
Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.
Namun sebahagian
ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada
membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan
junub.[6] Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:
1.
Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang
tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa
perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara
analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah
berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah
sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak
menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an,
maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.
2.
Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah
satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada
dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan
junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza
halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.
Sebahagian
lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an.
Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an
kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh
keberkatan.[7]
Pendapat ini juga dianggap kurang tepat
kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap
dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan
wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat,
puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas
berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia
suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat
najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan
al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam
keadaan haid.
Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh
mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah
bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan
bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu
Rasulullah bersabda:
Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]
Kata-kata
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum,
menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada
dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam
keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.
Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]
Sesungguhnya
para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas
mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu
'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan
mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan
dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun
(riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini
tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda
tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai
wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia
sememangnya tidak haram.
Kesimpulan:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Alif-Lam-Mim.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi
petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]
Setiap
individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang
memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa
dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid.
Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan
petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah
al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang
didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa.
Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang
lemah sekalipun masyhur.
oleh,
Hafiz Firdaus Abdullah