Saturday 18 June 2016

Mengapa Saya Tidak Seronok Menjadi Guru


Saya terlalu sayangkan anak-anak murid saya. Saya memandang mereka sebagai anak saya sendiri.

Tapi dalam system pendidikan hari ini, saya tidak diberi ruang untuk menyayangi mereka seperti itu.
Saya disuruh membuat pelbagai perkara yang membelakangkan mereka. Saya disuruh meninggalkan mereka dan menomborduakan mereka. Saya dibebani kerja-kerja lain yang menyebabkan saya mengabaikan mereka.

Saya bukanlah guru yang baik apabila saya sehingga tengah malam menyiapkan data saham koperasi sehingga waktu untuk saya sediakan bahan pengajaran habis begitu sahaja. Sememangnya saya bukan guru yang baik apabila saya tidak mampu membahagikan masa seperti guru-guru baik yang lain.

Saya bukanlah guru yang baik ketika saya memberi murid saya masa dan ruang untuk cemerlang. Ketika saya memberi markah yang banyak atas hasil usaha gigih mereka yang saya Nampak. Tapi pihak atasan tidak Nampak usaha tetapi hanya Nampak hasil. Maka hasilnya jika tidak seperti dalam skema, mereka layak mendapat kosong sekalipun usaha mereka layak diberi 100.

Guru yang baik akan habiskan sukatan, buku nota pelajar penuh dengan nota yang disalin. Tapi itu semua hanya menjadikan guru itu cemerlang. Bukan untuk kebaikan pelajar. Masuk kelas, salin. Saya pun hairan, memang la buku nampak wow, tapi bila pelajar nak ada aktiviti, bila pelajar nak bercakap bersuara.

Kalau buat aktiviti yang kononnya fun learning tu, mestilah kelas akan bising. Bila kelas bising, tak boleh pulak. Saya pun tak faham adakah mereka betul2 faham fun learning tu apa. Apa sebenarnya yang mereka nak? Guru yang baik akan ikut kehendak mereka, tapi saya bukan guru yang baik. Saya ikut keperluan murid saya, bukan ikut kehendak mereka.

Saya bukanlah guru yang baik apabila saya tidak membenarkan murid-murid perempuan saya menyertai zapin dan tarian. Kerana saya khuatir budaya begitu menarik mereka kearah yang lain. Saya sayangkan mereka dan ingin menjaga sepenuhnya amanah ke atas saya. Saya menjadi guru yang sangat kolot dan menghalang keterlibatan pelajar.

Saya bukanlah guru yang baik apabila saya menghormati ruang cuti murid-murid saya dengan hanya memberi kerja rumah yang sangat sedikit supaya mereka ada ruang bersama keluarga dan explore perkara2 lain. Saya pastinya guru yang tidak baik begitu berbanding guru yang setiap hari memberi latihan yang banyak untuk pelajar siapkan.

Saya sesungguhnya sudah letih dan penat menjadi penurut kepada system yang tidak manusiawi.

Saya mahukan murid saya menjadi manusia yang baik, bukan menjadi mesin yang cekap.

Manusia yang ada dalam dadanya jiwa yang sejahtera.

Tapi untuk lahirkan manusia begitu, saya tidak mampu berada dalam sistem ini.

Bukan saya tidak tahu politik dalam pendidikan. Permainan untuk menampakkan akulah yang paling baik, paling bijak, paling banyak idea dan paling banyak buat kerja.

Bila baru dapat jawatan, gopoh nak tunjukkan pelan2 baru, dasar2 baru, strategi2 baru, yang jadi mangsanya ialah guru dan murid. Semata-mata nak naikkan diri sendiri sanggup pijak atas kepala generasi sendiri.

Semua orang macam tu lah, menteri ke pengarah ke timbalan ke pegawai ke, hatta guru2 sekalipun ada yang perangai macam tu.

Besar sangat ke keperluan kita pada pujian dan penghargaan manusia ya? Memang benda tu je ke yang kita kejar?

Serius, memang setakat tu je kita mampu fikir? Kesian.




No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...