Wednesday, 2 April 2014

Ke Johor



MEMBUAT  KEPUTUSAN

“Kak Teh suka Hello Kitty ke Barbie?”

“Emm..Hello Kitty.”

“Kak Teh suka merah ke oren?”

“Mesti la oren…”

Kali ini sudah masuk soalan ke 20 saya fikirkan.

“Su, tanya la lagi!” rengek, tetapi bernada tinggi.

Saya befikir lagi soalan yang wajar. Dua pilihan mesti diberi, dan dia akan memilih satu.

Perkara yang paling sukar dalam kehidupan ialah apabila kita diletakkan ditengah antara dua jalan. Dan kedua jalan itu tidak salah.

Saya paling tidak suka membuat pilihan. Saya selalu lambat memberi jawapan, atau keputusan saya seringkali berubah-ubah.

“Kak Teh, membuat pilihan dalam kehidupan tidak semudah Kak Teh membuat pilihan soalan Su.” 

Dia tidak melayan baris ayat saya tetapi terus mendesak supaya saya bertanya lagi.

Tetapi yang pasti setelah saya pilih, saya tidak suka mengenang atau berkalau-kalau jalan yang satu lagi. 

BERUBAH

“Kak Teh, bo lah duk kacau Su nya. Letih doh Su duk melayan Kak Teh.” Ibunya menegur.

Setelah ibunya tahu saya telah melukis tiga gambar hello kitty untuknya, kemudian dipaksa pula saya mewarna lukisan saya itu.

“Kak Nab, seminggu dua boleh lagi melayan, tapi kalau lama-lama...”

Saya terus memberitahu keadaan diri, supaya nanti tidak ada yang terkejut. Dahulu lain, sekarang lain.

Lagikan mesin yang sudah di ‘design’ supaya berkelakuan serupa setiap masa pun boleh berubah apabila tidak kena gaya apatah lagi saya yang belum berjaya men’design’ istiqamah dalam dada.

MAAF

“Su, ni tok ayah ke? Dia dah meninggal ke?”

Kak Teh menunujukkan gambar ayah dalam telefon saya. Dia menyambung lagi bicara.

“Nanti Kakak mati, Kak Teh nak doa banyak-banyak, pastu nak minta maaf dengan Kakak sebab Kak Teh sokmo baloh dengan dia. Kalu Kak Teh mati pun sama, Kakak minta maaf dengan Kak Teh.”

Tersentuh.

-sedikit coretan seminggu di Johor-


Friday, 21 February 2014

Hiatus



Sudah lama saya tidak menulis di sini. Ada sebabnya.

Saya sudah terlalu banyak mengingkari apa yang saya tulis. Tentang nasihat, berbuat baik, akhlak mahmudah dan semua yang saya berkongsi.

Justeru tiap kali mahu menulis sesuatu lagi, suara kegagalan saya datang membising di telinga.

Mahu menulis tentang sabar? Saya sendiri tidak sabar.

Menulis tentang berbuat baik? Saya juga tidak berbuat baik. 

Menulis tentang Nabi? Saya meninggalkan banyak akhlak Baginda.

Apa yang mahu saya tulis, akan sentiasa ada suara sebuana menilai diri saya.

Sebab itu saya berhenti.

Saya mungkin perlu berubat dengan masa. Biar saya melangkah ke hadapan dahulu, meninggalkan peristiwa kegagalan itu di belakang. Biar jauh. Baru mungkin suara itu akan hilang.

Setakat langkah yang saya teroka, sentiasa ada gelap semalam mengekori hingga kabur sudut hadapan yang cerah.

Saya teruskan juga walau apa pun, langkah itu.

Kerana saya tidak sabar untuk mempercepat masa. Saya terperangkap dalam maghrib yang resah, belum sampai sampai subuh yang cerah.

Dahulu pun, saya tidak rasa sempurna apabila sesuatu yang baik saya kongsi. Cuma dahulu tidak ada suara yang mengejek perkongsian saya.

Saya ingin bunuh pemilik suara itu, terkadang itu yang saya rasa.

Tapi pertama, saya tidak tahu siapa. Kedua, saya tidak jumpa. Ketiga, bukankah apa yang dia kata benar?

Saya termenung  sendiri. Saya munafik kah?

Dia atau saya yang perlu dibunuh?


Saturday, 28 December 2013

Hari Jadi Mu



Aku tidak tahu apa yang disembunyikan pada hari-hari depan untukmu, peranan apa yang ditakdirkan ke atas mu dalam membawa risalah Allah. Aku tidak tahu jalan mana yang akan kaulalu, justeru sampai kepada matlamat Yang Satu, asal sahaja jalan yang kaulalu itu adalah satu dari jalan dakwah yang beribu.

Apa yang pasti, aku memiliki peranan yang belum habis aku langsaikan. Kalau telah tuntas aku kerjakan, harusnya belulangku pun telah hancur reput di tanah. 

Aku memuji Allah setelah Dia mengirimkan engkau ke muka bumi. Kiranya engkau menjadi harapan yang ada di tangan, tidak terosak tanpa keizinan. 

Justeru sekecil usiamu yang baru berkenalan dengan alif ba dan ta, aku coretkan semurah nilaian nasihat, daripada aku yang kosong, guna untuk kau tidak mencontohi aku dalam meniti tanpa mendaki.

Agar, engkau tidak menjadi kosong dan murah, sepertimana aku.

Aku membaca tulisan Ali Shariati seorang intelektual Syiah, serta doanya.

“Tuhanku, gariskan jalan hidupku. Agar ketika ajal tiba, aku dapat menggariskan jalan matiku sendiri. Biarkan aku yang memilihnya, asalkan Kau meredhainya.
Tuhanku, berikan aku keselamatan di tengah bencana besar penyakit kebodohan yang terlupakan kerana telah menyerang semua orang. Bahkan setiap orang yang belum menderita pun, tampak sakit. Tuhanku, selamatkan ku dari penyakit menyembelih hakikat di pejagalan syariat.”

Begitulah aku mendoakan juga untuk dirimu.

Agar Tuhan selamatkan kita semua daripada penyakit kebodohan. Seakan ditabur dari langit penyakit itu turun. Mungkin juga bala dari Sang Penjaga Langit kepada penduduk bumi, supaya menjadi lebih lembut kepada Muhammad.

Sudah terlalu kasar kita menderhakai Baginda. Menyelisihi adab dan akhlak Baginda telah berjuta hasta. 

Kerana itulah, aku sering berdoa kepada Tuhan, agar selamatkan kita. Biar kita terkecuali dari mereka, mereka yang dihurung kebodohan, tanpa bodoh itu sesekali berpuasa dari menghinggapi.

Bukanlah aku menghina mereka. Tetapi aku sedih menyaksi mereka memperbodohkan diri mereka sendiri, iaitu dengan menampakkan segala mazmumah yang dengan bangga diselak.

Anakku, kita semua punya nafsu. Aku dan kamu, kita mahupun mereka, ada garis hitam di hati. Adalah satu kebodohan apabila kita dengan kerelaan menyelak lapisan iman dan mempamer segala lendir nafsu yang kita simpan.

Sesungguhnya nafsu itu untuk kita berjuang melawannya. Ada hadiah dari Tuhan untuk kemenangan itu. Tetapi malang, apabila mereka yang dihurung kebodohan, berbangga dengan kekalahan mereka. Oh!

Kalaupun setelah tugasku langsai di bumi ini, kau pasti akan terus bernyawa.

Aku mahu kautahu, akan cintaku. Sebanyak-banyak cinta yang boleh aku beri. Bawalah risalah Allah sepanjang usiamu. Agar cintaku sentiasa bertemankan risalahNya biarpun telah hancur tulang-tulang ku.

Sekian.


-sempena hari jadi 5 tahun Areef Irsyad Muhammad hari ini.



Wednesday, 25 September 2013

Ustaz dan Mak Cik Liberal



Pagi itu, ibu bercerita tentang apa yang ditontonnya dalam Tanyalah Ustaz. Ada seorang ustaz ini berceramah, katanya wanita itu bersifat dengan kasih sayang kerana ada dalam tubuh mereka rahim. Jadi, jika wanita yang tidak mempunyai rahim, mereka itu kurang kasih sayang!

Teringat pula saya akan tulisan seorang makcik liberal yang tidak bertudung, katanya kepada wanita yang tidak berpeluang menjadi ibu, jangan sedih kerada semulia-mulia wanita Saidatina Aisyah pun tidak berpeluang menjadi ibu.

Itulah, dalam banyak ketika, pendekatan sang liberal lebih mudah dan adakalanya jauh LEBIH BENAR dari sang ustaz.

Apabila pendekatan liberalist lebih kita setujui daripada ustaz, apabila fakta orang liberal kita kata jauh lebih benar daripada fakta ustaz, kita pula dituduh liberal dan sesat. 

Kalau anda hidup di Malaysia dan tidak mahu sesat, taqlid sahaja pada ustaz!

Kita ini mengaku sahaja Ahlus Sunnah, apa tahu tidak kita akan manhaj sebenar Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu bagaimana?

ASWJ percaya tidak ada pun yang maksum kecuali Nabi. Imam Mahdi yang diikut Nabi Isa yang maksum nanti pun tidak maksum.

Tetapi, sekali orang menegur silap ustaz kita, sebahagian kita marah dan hilang segala rasional. Sehingga ada yang mengugut, jangan berani berkata buruk kepada pemimipin kami nanti kau akan ditimpa bala. Dicontohkan dengan kisah yang banyak akan keramat ustaznya itu. Di mana prinsip ‘semua orang tidak maksum kecuali Nabi’ itu diguna pakai tidaklah saya tahu.

Kalau kita Ahlus Sunnah, kita akan terbuka menerima kritikan orang terhadap ustaz-ustaz kita yang sememangnya sangat banyak perkara yang boleh dikritik. Seperti hari ini dalam program serupa di televisyen, ustaz tersebut berkata jika kita ingat mati, tidak ada masa berfikir mahu menikah lagi. Kenyataan sebegitu saya fikir sangat jauh dari kebenaran. Anda sendiri pun tahu di mana silapnya bukan? 

Mengingati mati bukan menatijahkan kepasifan. Apa sahaja lorong dalam kehidupan ini jika niat dan pelaksanaannya benar, maka ia ibadah yang layak menerima balasan baik. Lihat sahaja berapa ramai ulama yang berpoligami, adakah semua mereka itu tidak mengingati mati? Meletakkan generalisasi begitu adalah satu kesilapan yang keterlaluan.

Saya juga hairan dengan program agama di TV. Saya mengenali barisan pendakwah yang hebat, ustaz yang ilmunya jitu, tokoh yang padu dalam berhujah, berkelulusan tinggi, kesarjanaan yang diiktiraf.

Tetapi hairan, yang muncul di kaca TV bukan cream of the cream. Mereka yang selalu muncul sering boleh dibidas isi penyampaiannya. Medan dakwah yag begitu luas disia-siakan dengan begitu sahaja. Ibarat kita mempunyai jutaan ringgit, kemudian hanya membeli sofa murah di rumah, tv second hand, kipas buruk, kemudian merungut akan ketidakselesaan hidup. Usahlah merungut dakwah kita tidak sampai, jika kita tidak tahu berdakwah.

~bukan semua ustaz ya!


 

Monday, 9 September 2013

Merantau Ke Deli



Selesai mengenal Deli, sebuah daerah di Indonesia, mendalami adat Minangkabau di Padang, serta kasta dan beda bangsa yang meruntuh nilai. Hidup perlu terbuka, perlu BERANI MELANGGAR ADAT yang ditentang agama, malah rasional akal juga tidak boleh menerima adat-adat yang dangkal.

Payah hidup akan sentisa ada. Usaha terus usaha, adalah pelincir jalanan hidup.

Sekarang bertemu pulalah kesulitan dan gelombang yang lain kerana sudah demikian mestinya hidup ini, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirahat buat sementara, guna untuk mengumpulkan kekuatan menempuh perjuangan yang baru dan mengatasinya.
Sebab itulah maka tidak usah kita menangis pada waktu mendaki, sebab di balik puncak perhentian pendakian itu telah menunggu daerah yang menurun. Hanya satu yang akan kita jaga di sana iaitu kuatkan kaki supaya jangan tergelincir. Dan tak usah kita tertawa pada waktu menurun kerana kelak kita akan menempuh pendakian pula yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut daripada pendakian yang dahulu.
Dan barulah kelak pada akhir sekali, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu sawang luas terbentang bernama maut. Di sana akan bertemu alat datar, tak berpendakian tak turun lagi.

Sedikit inti yang saya hidangkan di sini, daripada buku Merantau Ke Deli karangan HAMKA.

Dan satu lagi yang ini.

“Duduklah dulu Poniem. Jawabmu itu belum memuaskan hatiku. Apakah engkau melepas aku beristeri seorang lagi dengan rela, dengan serela-rela hatimu? Izinkah engkau atau tidak? Katakanlah terus-terang, Yem!”
;)


Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah.  Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...