Wednesday 7 July 2021

Perempuan

 MENJADI PEREMPUAN


Harus apa perempuan itu? Menjadi lembut gemalai dikata bodoh seperti keldai. Menjadi gagah dan kuat dikata bongkak tiada siapa hendak. Lalu?

Sebenarnya tidak susah menjadi perempuan, yang sekalian paling payah adalah menjadi perempuan yang mendengar segala kata ‘perempuan harus begini - harus begitu..’. Itu, sulit sekali.

Ketika perempuan itu kuat dan berdikari, dikatanya apa kamu ini, mintalah suamimu mengurusi, apa guna bernikah jika engkau lakukan jua sendiri.

Ketika perempuan itu terlalu bergantung, dikatanya apa kamu ini, kita wanita perlu ada kekuatan kendiri, bagaimana hidupmu kalau engkau nanti ditinggalkan suami? 

Kalau perempuan itu gemuk, ditakutkan nanti suamimu mencari yang lain.

Kalau ia makin kurus, ditanya tanya apakah tidak kamu bahagia?

Justeru bagaimana harusnya menjadi perempuan itu. Katakanlah pada aku.

Aku lah orang yang begitu sejati hati perempuannya – tidak boleh sedikit mendengar orang berkata ‘perempuan harus begitu begini’ lalu aku mahu sekelip mata menjadi begitu begini.

Perit. Udara untuk perempuan bernafas penuh dengan ugutan dan ketakutan. Di mana kasih sayang untuk perempuan?

Paling melukakan yang berkata begitu begini adalah jua perempuan. Ah apalah sahaja ada dalam jiwa mereka, selain memegang watak pembuli?

Kawan kawan, kewujudan kita di sini bukan untuk menilai keperibadian orang lain. Tetapi untuk menilai peribadi sendiri.

Kalau perempuan itu kuat, katakan bahawa dia kuat.

Kalau perempuan itu bersifat bergantung, katakan bertuah ia punya tempat bergantung.

Kalau perempuan itu bekerja, katakan dia beruntung punya pendapatan.

Kalau perempuan itu suri rumah, katakan dia punya kelebihan boleh mengurus sempurna keperluan keluarga.

Asalkan segalanya di jalan yang betul, tiada satu sifat yang perlu kita persoalkan!

Dunia ini sudah cukup letih untuk kita hadapi, jangan tambah beban orang dengan menjadi pembuli.

No comments:

Post a Comment

Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...