Friday, 4 October 2024

Luahan Perasaan

 Saya memiliki printer di sekolah, tetapi tidak di rumah. Kebanyakan tugasan sekolah saya, saya akan siapkan di sekolah. Setiap hari, saya hadir awal ke sekolah berbanding rakan rakan lain kerana saya mahu siapkan tugasan saya sepenuhnya di sekolah.

Tuan tuan dan puan puan tahu di rumah saya buat apa? Saya membaca buku, membaca telefon, menonton tv, dan semua aktiviti yang memberikan saya tenang. 

Jadi, saya akan siapkan semua tugasan di sekolah, bukan di rumah. Melainkan jika terlalu banyak perkara yang perlu disiapkan, saya korbankan sedikit masa saya di rumah.

Ramai yang datang ke sekolah meminta bantuan saya membuat itu dan ini, dengan anggapan, saya mesti banyak masa sebab saya dah siap semua kerja di rumah, sebab di rumah saya tak buat apa apa.

Hello, saya bekerja di sekolah, bukan di rumah!

Saya juga seperti anda nak buat kerja di sekolah. Jadi, janganlah kacau saya di sekolah! Serabut sungguh lah saya!

Kebanyakan mereka meminta bantuan saya PRINT. Padahal, printer bilik guru hanya beberapa langkah dari meja saya. Saya bukan tak naka tolong, tapi saya pun banyak kerja. Sudahlah minta print, sebelum print, minta edit lagi. Saya rasa geram sangat. Wajah saya dah banyak kali rasanya tak berapa manis bersama ton suara yang tak merdu. Tapi tetap juga mereka datang.

Saya rasa gaji mereka lebih banyak dari saya. Kereta beberapa buah. Kereta myvi bukan level mereka. Tetapi, printer sebuah pun tak boleh beli ya. 

Saya ni lepas myvi, myvi juga lah saya beli. Tapi printer, ink dan kertas A4 alhamdulillah tak minta yang orang.

Sekian luahan perasaan. Saya harap pahala saya tetap ada. Tapi tak tahu lah. Saya dah tak boleh pendam.

Wednesday, 25 September 2024

Allah Yang Maha Melapangkan

Dua tiga hari ini, saya kusut. Mungkin beberapa perubahan dalam kehidupan yang saya perlu adaptasi menjadikan saya rasa gundah.

Malam tadi kemuncaknya apabila saya merasakan dada saya betul betul sempit (literally). Rasa seperti sebak menahan tangis. Saya tarik nafas dalam dalam.

Selepas solat isyak, saya mengaji al Quran, tangis saya pecah. Antaranya sebab saya fikir, lantaran kesibukan dan kesendatan masa mengadaptasi kehidupan, saya kurangkan masa membaca al Quran. Waktu yang selalunya saya baca, saya terpaksa kalut buat benda lain. Saya teresak.

Waktu tidur pun, suami saya sudah berdengkur. Saya pula masih rasa sesak jiwa, 'I know this is good for me, but it is heavy ya Allah.' Saya menangis lagi.

Padahal, saya bukan ditimpa ujian apa apa pun. Hanya sedikit jadual hidup saya perlu lari dari rutin biasa. Pun, saya sudah seperti ingin hancur. Lemahnya saya.

Ditambah pula fasa dalam kitaran wanita saya memang menunjukkan saya dalam fasa pre menstrual syndrome.

Tetapi alhamdulillah, hari ini Allah Al Basith sudi memberikan saya sedikit rasa lega lantaran selesainya satu yang saya serabutkan. 

Moga beban beban yang lain satu persatu Allah hilangkan

Monday, 23 September 2024

Bergaul dengan Orang

Saya ini benar benar suka sendirian. Saya selalu memohon kepada Allah supaya saya jadi selesa dengan orang (dan orang selesa dengan saya).

Sebab rasa sempitnya dada ketika perlu bergaul dengan orang, hanya Allah yang tahu. Sebelum berkahwin pun, saya selalu fikir, macam mana kalau saya tak suka suami saya ada dengan saya? 

Alhamdulillah, Allah memberi kelapangan rasa pada suami. Tapi kalau dia pergi kerja pun saya suka juga hihih.

Saya rasa cemburu dengan orang yang extrovert. Kalau lah beban bergaul dengan manusia ini Allah hilangkan, Allah menjadikan saya senang sahaja bergaul dengan manusia, saya fikir hidup saya mesti lagi mudah dan kurang tertekan.

Semoga Allah kurniakan saya jiwa yang baru, yang senang dengan orang.

Wednesday, 15 May 2024

Queen Of Tears

 


Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea.

Di Johor saya selalu pelik tengok kawan2 serumah saya menonton drama Korea, saya rasa banyak lagi perkara lain boleh saya buat selain menonton drama. 

 Tapi saya rasa sedap pula tengok suami saya asyik menonton Netfix. Tentulah saya tidak berminat melihat filem2 yang dia tonton. Jadi, saya cuba memilih drama Korea.

Saya menonton Marriage Contract, saya rasa drama tu best, tapi saya tak tengok sampai episod akhir pun. Rasa bosan dan macam dah tahu kesudahannya. Saya berhenti menonton.

Hampir setahun selepas itu, saya tertengok drama Queen of Tears di Netflix. Saya memang suka sangat kalau drama air mata ini. Saya terus tonton.

Tapi saya macam tak teruja sangat pun sebab hero dia muka jambu, saya tak minat. Saya tengok aje lah, sebab heroin dia cantik sangat sangat.

Rupanya cerita dia menarik sangat. Saya menangis teresak esak.

Kisah rumahtangga pada tahun ketiga perkahwinan tanpa anak yang sangat membosankan, keluarga yang menyebabkan semua jadi stres.

Akhirnya si lelaki memutuskan untuk bercerai. Sebelum surat cerai diberi kepada isteri, isterinya didiagnos penyait tumor otak yang hanya boleh hidup 3 bulan sahaja.

Suaminya gembira mendengar berita itu. Fikirnya, ah tak payah cerai lah, tunggu sahaja bininya mati 3 bulan. Setel!

Sepanjang 3 bulan, suaminya cuba berbaik dengan isterinya dengan niat supaya isterinya yang kaya mengubah wasiatnya memberi harta kepada si suami.

Ketika si suami berbuat begitu, rupanya si suami baru tahu bahawa dia benar benar mencintai isterinya. Dia betul sayang rupanya. Dia sedih isterinya sakit. 

Tapi lepas tu, isteri dia jumpa surat cerai. Alamak, macam mana ni? 

Okay sekian ceritanya.

Monday, 18 March 2024

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40. 
Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang.

Cuaca meyimbah panas yang menyengat. 
Puasa Ramadan ketujuh hari ini terasa mencabar sekali.

Tekak kering. Mujur badan masih tidak longlai. Ada murid tingkatan 1 dalam kelas mengadu letih, rasa sedikit tak boleh bernafas katanya. Alahai kasihan. Saya minta dia berbuka sahaja, tidak mahu. Call parent juga tidak mahu. Saya suruh dia rehat di belakang, bawah kipas, keluar sedikit dari crowded rakan rakan yang menghimpit. Buka butang baju, stokin.

Sudah lah muridnya comel sekali, seiras Wajih, nampak baik dan sopan. Zarif namanya. 

Begitulah fitrah kita manusia. Akan letih serba serbi apabila tidak mendapat setitis air dan makanan. Betapa lemahnya insan. Sehari nan pendek pun sudah bergantung dengan titisan ringan sang air, tetapi masih bongkak berbangga diri menjadi tuan berhidung tinggi!

Tuesday, 31 October 2023

Ujian

Saya selalu percaya bahawa setiap orang ada ujian yang berbeza beza.

Kerana dunia ini adalah rumah ujian buat kita, maka tak ada siapa siapa pun yang hidupnya ibarat syurga.

Saya kira orang yang kaya dan kelihatan cukup serba serbi, pun akan Allah letakkan gusar resah dalam jiwa jiwa mereka. 
Allah Maha Adil, masakan diberi gusar dan resah hanya untuk orang orang miskin?

Cuma cerita gelisah kita mungkin berbeza. Tetapi wujudnya tetap sama. Tak ada siapa yang tidak ada resah.

Orang yang hidupnya riuh meriah, orang yang rumahnya sunyi sendiri, keduanya dalam ujian Tuhan.

Kitalah yang mengawal paras sabar tabah kita, panjang pendek nafas ketahanan kita.
Kita juga yang memperhias sedikit banyak syukur kita, agar hidup kita tumbuh indah.



Thursday, 13 April 2023

Perkahwinan Kita

Baru sebentar tadi, kakak sebelah meja bercerita mengenai suaminya yang mempuyai karakter jauh berbeza dengan dirinya.

Katanya, dia terlalu tertekan sehingga pernah lari dari rumah, pernah meminta cerai. Mujur suaminya tenang. Dan sekarang masing masing menerima karakter masing masing dengan hati yang terbuka, rupanya boleh sahaja bahagia katanya.

Setiap kali mendengar cerita cerita perkahwinan, mestilah kita memikirkan tentang perkahwinan kita.

Saya selalu memberitahu kepada Tuhan, bahawa saya memulakan pernikahan saya dengan sebuah tawakal yang paling tinggi saya serahkan pada Nya, lalu saya berharap Tuhan Al Wakeel memberi yang terbaik dalam sepanjang hari hari pernikahan saya, lebih dari apa yang saya harapkan.

Bukan semua sikap suami saya senangi, dan sikap saya juga pasti ada yang dia tidak berkenan. Saya kira begitulah juga dalam tiap tiap perkahwinan pun. Kerana kita tidak dibenarkan berkahwin dengan sang sempurna si malaikat.

Sebab itu, Tuhan menjadikan perkahwinan sebagai tanda tanda kebesaranNya yang boleh menyatukan dua insan walaupun berbeza sikap hari-harian, berbeza kegemaran, berbeza keutamaan, berbeza pengurusan. Sekian banyak perbezaan, semoga kita tidak berbeza dalam satu tujuan iaitu untuk menjalani ibadah perkahwinan dengan baik dan bertanggungjawab.

Kerana, perkahwinan ialah ibadah paling panjang yang kita laksanakan. Dan, mungkin juga paling rumit, boleh jadi juga paling indah dan menyenangkan.

Saya masih ingat bagaimana rasa tidak bahagia ketika di rumah sewa bersama housemate dahulu. Saya selalu berfikir, adakah begini rasanya orang yang tidak bahagia dalam perkahwinan? Rumah tidak menjadi syurga buat kita, butir bicara penghuni rumah sentiasa menyakiti kita. Selalu rasa ingin keluar daripadanya.

Dengan ujian Tuhan yang itu, saya jadi pandai syukuri kurniaan Tuhan yang ini, Bahawa pasangan saya, walaupun tidak sempurna, tetapi perkataannya tidak menyakiti, dan rumah itu walaupun bukan istana, tetapi kita boleh mencipta bahagia di dalamnya.

Semoga perkahwinan kita menjadi sesuatu yang kita syukuri, hari ini dan juga di akhirat nanti.





Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah.  Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...