Dahulu pun saya selalu rasa sakit belakang, Tetapi on off dan ia tidaklah terlalu mengganggu pergerakan saya, kecuali waktu pagi saya sedikit terbongkok bongkok. Kadang kuat, kadang sedikit, kadang tak sakit pun.
Sehingga lah pada 29 Julai, saya tidur selepas Subuh, bangun sahaja, saya rasa teramat sakit. Lebih dari biasa. Sebelum ini, pernah juga tetapi ia makin beransur hilang setelah saya regangkan badan dan bergerak. Tetapi hari itu, ia benar benar pelik. Sehingga untuk saya memikul beg laptop, dan 2 botol air saya, saya tak mampu.
Saya bertahan. Dua botol air saya, saya tinggalkan di rumah. Saya hanya bawa laptop di sekolah. Saya bawa kereta rasa berat sangat stereng, saya susah nak putar sebab rasa tak ada kudrat di tangan. Saya menahan sakit dengan harapan ia akan beransur hilang seperti selalu. Saya menelan ubat tahan sakit. Sehingga petang, ia tidak langsung berkurang, Bahkan bertambah.Ketika bangun dari kerusi, saya akan mengerang kesakitan. Rasa macam nak lumpuh kaki saya. Mencucuk pinggang saya. Kaki saya berat sangat.
Kawan kawan saya meminta saya pulang awal. Tetapi saya bertahan sehingga waktu balik.
Waktu balik, saya ke Hospital Salam sebelah sekolah saya, dengan harapan untuk berjumpa doktor pakar menggunakan takaful saya. Suami saya akan datang ke hospital itu. Kaunter hospital cakap Hospital Salam bukan panel AIA. Saya keluar hospital masuk kereta menangis nangis. Suami saya telefon KPJ, KPJ cakap kalau nak jumpa doktor pakar, perlu datang waktu office hour. Saya menagis esak esak, kenapa susah sangat ni. Nak jumpa doktor je pun.
Saya dan suami ke klinik biasa di situ. Doktor cucuk. Kata doktor ubat cucuk ni akan hilang rasa sakit sehingga 6 jam. Malam itu, masalahnya rasa sakit tak hilang pun.
Esoknya, saya ke KPJ yang hanya 5km dari rumah saya. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.