When you want something,all the universe conspires in helping you to achieve it - Alchemist.
Tuesday, 31 October 2023
Ujian
Thursday, 13 April 2023
Perkahwinan Kita
Baru sebentar tadi, kakak sebelah meja bercerita mengenai suaminya yang mempuyai karakter jauh berbeza dengan dirinya.
Katanya, dia terlalu tertekan sehingga pernah lari dari rumah, pernah meminta cerai. Mujur suaminya tenang. Dan sekarang masing masing menerima karakter masing masing dengan hati yang terbuka, rupanya boleh sahaja bahagia katanya.
Setiap kali mendengar cerita cerita perkahwinan, mestilah kita memikirkan tentang perkahwinan kita.
Saya selalu memberitahu kepada Tuhan, bahawa saya memulakan pernikahan saya dengan sebuah tawakal yang paling tinggi saya serahkan pada Nya, lalu saya berharap Tuhan Al Wakeel memberi yang terbaik dalam sepanjang hari hari pernikahan saya, lebih dari apa yang saya harapkan.
Bukan semua sikap suami saya senangi, dan sikap saya juga pasti ada yang dia tidak berkenan. Saya kira begitulah juga dalam tiap tiap perkahwinan pun. Kerana kita tidak dibenarkan berkahwin dengan sang sempurna si malaikat.
Sebab itu, Tuhan menjadikan perkahwinan sebagai tanda tanda kebesaranNya yang boleh menyatukan dua insan walaupun berbeza sikap hari-harian, berbeza kegemaran, berbeza keutamaan, berbeza pengurusan. Sekian banyak perbezaan, semoga kita tidak berbeza dalam satu tujuan iaitu untuk menjalani ibadah perkahwinan dengan baik dan bertanggungjawab.
Kerana, perkahwinan ialah ibadah paling panjang yang kita laksanakan. Dan, mungkin juga paling rumit, boleh jadi juga paling indah dan menyenangkan.
Saya masih ingat bagaimana rasa tidak bahagia ketika di rumah sewa bersama housemate dahulu. Saya selalu berfikir, adakah begini rasanya orang yang tidak bahagia dalam perkahwinan? Rumah tidak menjadi syurga buat kita, butir bicara penghuni rumah sentiasa menyakiti kita. Selalu rasa ingin keluar daripadanya.
Dengan ujian Tuhan yang itu, saya jadi pandai syukuri kurniaan Tuhan yang ini, Bahawa pasangan saya, walaupun tidak sempurna, tetapi perkataannya tidak menyakiti, dan rumah itu walaupun bukan istana, tetapi kita boleh mencipta bahagia di dalamnya.
Semoga perkahwinan kita menjadi sesuatu yang kita syukuri, hari ini dan juga di akhirat nanti.
Hari Raya 2023
Raya kali ini adalah raya kelima saya bersama suami. Tahun 2020 dan 2021 kami beraya berdua di Pangsapuri Rimba Shah Alam, kerana PKP ketika itu.
Kami tiada baju raya tahun ini. Entah kenapa, saya bukan dalam mood untuk membeli baju. Saya tidak rasa semangat untuk memilih baju.
Raya tahun lepas, kebetulan saya dalam mood itu. Tapi tidak tahun ini. Memang kebanyakan tahun pun, saya memang jarang ada baju raya.
Kami membuat keputusan untuk memakai sahaja mana baju yang telah ada dan sesuai.
Semoga raya untuk kami tetap meriah walaupun tanpa baju raya.
Sunday, 4 December 2022
Hari Minggu
Sunday, 16 October 2022
DIARI
Sejak kecil, saya ingin sekali mempunyai diari kerana terinspirasi dari diari diari kakak-kakak yang penuh satu laci yang saya mencuri membacanya. Saya masih ingat saya bertanya kakak, apa itu diari? Jawab kakak, diari itu buku yang kita tulis tentang perkara yang berlaku setiap hari. Contohnya, hari ini saya makan ayam goreng. Saya masih ingat contoh itu.
Ketika sekolah rendah, saya mencuba cuba menulis diari. Ketika itu, tulisan pun senget benget. Saya menulis tentang perasaan saya ketika menjawab peperiksaan hari itu. Kerana terlalu kecil dan naif, buku itu sampai di tangan abang yang nakal. Abang menggelakkan tulisan saya dan menceritakan kepada semua orang tentang tulisan saya. Mereka tergelak kerana saya menulis, 'aku tak boleh jawab periksa, aku pakar jawab jah.'
Mereka terhibur dengan perkataan pakar itu. Saya jadi malu, dan sejak itu saya bersungguh sungguh menyembunyikan sehabis mungkin diari saya. Tapi, saya tidak berhenti menulis.
Setiap fasa dalam hidup saya akan ada tulisan yang menemani. Cuma ketika saya di USM, diari saya di adalam laptop. Dan, apabila laptop itu rosak, hilanglah semuanya.
Saya serik, dan saya menggunakan buku kembali. Sebenarnya, buku lebih dekat dengan nurani. Saya menulis keceriaan, kemarahan, harapan dan impian. Segala perasaan terkumpul di situ. Crush senyum pun saya tulis. Bakal suami lambat reply whatsapp pun saya tulis.
Tetapi, sejujurnya untuk tahun 2022, saya tidak lagi sempat menulis baris perasaan yang hadir. Mungkin usia yang tua menjadikan saya melepaskan sekian rasa di udara sahaja, bukan lagi di buku diari. Namun seharusnya, kedewasaan membawa saya ke daerah mendekati Tuhan. Melepaskan semua perasaan kepada-Nya.
Thursday, 15 September 2022
MUDAH
Selama ini saya ringan sahaja menulis untuk bersangka baik dengan takdir, berfikir positif, tetapi rupanya apabila hal hal yang tidak saya suka berlaku di depan mata saya, saya seolah tidak pernah tahu tentang semua nasihat itu.
Bagaimana untuk saya nyatakan bahawa perasaan saya benar benar terluka.
Saya bukanlah sempurna untuk saya berkongsi kisah saya dibuat contoh. Namun saya juga pernah muda. Saya tahu berontak dalam dada orang muda. Tetapi mungkin Tuhan tidak memberi beban serupa untuk setiap orang, barangkali begitu, kerana itu saya tidak faham. Barangkali.
Banyak juga yang saya ingin melawan. Budaya dalam keluarga, cara berfikir orang keliling, tidak setuju itu dan ini, semua ada juga.
Cuma, tidakkah boleh orang muda berfikir SATU SAHAJA hal yang boleh melenyapmatikan gelombang besar ombak nafsu dalam dada?
Satu hal yang sangat asas. Tidak perlu menjadi imam atau hafiz untuk merasa hal ini pun.
Bagaimana perasaan ibu ayahku?
Itu sahaja.
Tidakkah sebegitu mudah, anakku?
Friday, 22 April 2022
Kali Terakhir
Saya selalu dibayangi frasa 'kali terakhir'.
Ketika apa apa permintaan orang yang saya sayangi gagal saya tunaikan, saya selalu takut kalau kalau itulah permintaannya yang terakhir.
Saya selalu rasa takut kalau itulah panggilan telefon yang terakhir, itulah perjumpaan yang terakhir, itulah hidangan bersama yang terakhir.
Saya terlalu ingin dipinjamkan lagi oleh Tuhan segala kenikmatan dan kewujudan dan kesihatan orang orang yang saya sayang di sekitar saya. Saya jadi takut kalau suatu hari nanti Allah ambil dari saya.
Tiap kali itu yang saya rasa, saya cuba banyakkan menyebut, Hasbiyallahu La ilaha Illa Huwa Aialihi Tawakkaltu....
Biar saya sedar, bahawa sebenarnya saya perlu hanya merasa cukup dengan Allah.
Sebab itu saya selalu rasa kasih sayang dan cinta ini kadangkala ia beban yang memberat sarat dalam jiwa kita, sehingga kadangkala kita lupa ia bukan pun milik kita. Kita terlupa untuk membebaskan segala keterikatan kepada kasih sayang dan cinta, sehingga kita benar benar merasa kebergantungan mutlak kepada Allah.
Apatah lagi setiap kali anak anak kecil yang meminta kepada saya untuk nak pergi kedai kor contohnya, saya sentiasa rasa takut jika saya gagal tunaikan. hahaha..
Sebab itu, saya selalu rasa saya belum boleh jadi ibu yang baik sebab semua saya nak beri pada anak anak kecil. Hahahah.
Sama juga sebelum berkahwin. Saya tak pernah rasa takut suami mati. Tapi lepas kahwin selalu rasa takut kalau suami mati. Padahal perlu lebih takut andai diri sendiri yang mati.
Itulah saya kata, sayang dan cinta ni kan beban.
Dahulu masa saya kecil saya selalu risau kalau ma pergi rumah arwah kak zan atau mek yang perlu lalu titi tali air tu. Saya risau kalau ma jatuh dalam tali air. Kalau ma lambat balik, saya akan risau sangat dan tertunggu tunggu. Apbila ma sudah balik, saya jadi lega.
Tetapi apabila saya sudah dewasa, saya tinggalkan sahaja ma sendiri di rumah. Tuhan sahaja lah yang tahu risau saya bagaimana setiap hari.
Awal awal bulan puasa baru ini, saya meminta izin suami untuk balik kampung hujung minggu. Suami saya sentiasa bekerja pada hari Sabtu, jadi biarlah saya balik sendiri dengan kapal terbang kata saya. Dia diam. Saya minta lagi. Katanya, tunggulah dah tak lama nak balik raya. Selalunya, kalau dia tak bagi, saya akan minta lagi dan minta lagi sampai dia bagi. Tapi bila kali ketiga saya minta, dia diam juga, saya pun diam lah juga.
Sebenarnya, sebelum ini, suami saya tak pernah tidak mengizinkan jika saya mahu ke mana mana kalau banyak banyak kali saya minta.
Saya tahu suami saya mesti rasa tak selesa kalau saya tak ada di rumah. Tapi saya juga nak gembirakan ma.
Hari ini sudah 20 Ramadan dan nampaknya saya tak berjaya pulang sebelum hari raya. Saya rasa terkilan.
Tiada Daya
Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah. Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...
-
will you marry me? Nabi sedang berceramah di hadapan. Ada wanita di belakang mahu menutur sesuatu. Nabi memberi ruang. Kata wani...
-
My Sceintific English class yesterday was exciting. It magnetized my passion towards upgrading my English due to age and future career of mi...
-
Kebelakangan ni, banyak pula saya jumpa rakan2 yang berhenti menjadi guru. Ada yang sebaya saya yang baru setahun bekerja. Berhenti dan be...